SEMANGAT...pasukan Malaysia sahut cabaran.
TIDAK padan dengan gayanya yang genit, dia berani menongkah permukaan tasik di Putrajaya yang berombak akibat bot laju membawa dirinya meluncur.
Lagaknya seperti penari luncur ais di kejohanan dunia, tampak berbeza dengan kehadiran percikan air sambil tubuhnya disokong tali dan papan ski khas untuk dirinya terus tenang beraksi.
Bukan lagi jagoan picisan kerana kredibilitinya dalam sukan ini dilihat hampir menyaingi nama besar dalam sukan lasak berkenaan.
Kehadiran kelibatnya menggamit reaksi bukan saja penonton, malah pesaingnya dalam Kejohanan Ski Air dan Wakeboard Nautique Asia IWWF 2011 di Tasik Putrajaya, Presint 5, Putrajaya, baru-baru ini.
Bagi Aaliyah Yoong Hanifah, 8, dia berasa bertuah kerana pertama kali menyertai perlawanan peringkat Asia, prestasinya menyerlah sehingga dilihat berpotensi menyinari sukan lasak air negara ini.
Menurutnya, dia mahu menyaingi kakaknya, Phillipa Yoong, selaku pemegang rekod kebangsaan dalam sukan air selama 15 tahun.
“Meskipun Asia dibanjiri peluncur berbakat baru, saingan terdekat saya masih kakak (Phillipa) saya.
“Tahun lalu, kejayaan memecahkan rekod kebangsaan dipegang kakak memberi semangat kepada saya untuk terus maju dan bekerja keras supaya mampu menyaingi kecemerlangannya dalam sukan ini.
“Disebabkan itu setiap kali beraksi, saya masih melihat dia dan tidak lupa abang Alex (Alexander Charles Yoong) sebagai saingan terhebat dan juga idola saya setiap kali bertanding,” katanya yang turut mengagumi peluncur air dunia seperti Clementine Lucine serta Jimmy Siemers.
Selain Aaliyah, turut menyerlah ialah Shamal Norman Abd Rahman, anak pelumba drift wanita serta personaliti televisyen RTM, Nurul Alis Aidil Akbar atau Kiki.
Shamal berjaya mengutip pingat perak menerusi acara wakeboard bawah 17 tahun selepas bersaing hebat dengan peserta Indonesia dan Singapura.
“Saya memperoleh 2,495.88 mata di belakang peluncur Indonesia, Safaraldi Widodo yang meraih emas dengan kutipan mata 5046.63.
“Dalam acara wakeboard saya tidak menaruh harapan tinggi kerana kategori ini masih baru. Berbanding acara slalom dan ‘jump’ ski air, peluang saya untuk mengutip mata lebih baik.
“Saya perlu tingkatkan usaha dalam memberi saingan kepada peserta tuan rumah di Sukan Sea di Palembang, Indonesia,” katanya yang menamatkan saingan dengan memperoleh pingat perak keseluruhan ski air kategori lelaki bawah 17 tahun.
Shamal berkata, kejohanan Asia dilihat sebagai ‘batu loncatan’ sebelum beraksi di Sukan Sea, bulan ini.
“Cabaran saya untuk perlawanan akan datang pasti lebih getir disebabkan saya kena bersaing dengan senior, Alex Yoong.
“Kejohanan ini membantu saya membuat persiapan di samping mengenali pesaing saya dengan lebih dekat sebelum bersemuka di kejohanan sebenar,” katanya yang mensasarkan dua emas untuk acara kegemarannya, Slalom dan Jump.
Setia menemani Shamal, adiknya, Sophea Ayna Yein, 11, dalam kategori wakeboard wanita bawah 17 tahun.
“Meskipun hanya mara ke separuh akhir, saya tidak putus asa dan berharap dapat mengutip mata sebanyak mungkin untuk melayakkan saya menyertai Sukan Sea.
“Untuk hari ini saingan hebat pasti daripada Indonesia dan Singapura kerana mereka mempunyai pengalaman lebih lama berbanding saya.
“Saya melihat penyertaan pertandingan ini bukan untuk menang semata-mata, tetapi membantu saya meningkatkan prestasi sebagai peluncur wakeboard,” kata pelajar tahun lima sekolah Kebangsaan USJ 12, Subang Jaya ini.
Pengurus merangkap kapten pasukan Wakeboard dan Ski Air Malaysia, Phillipa Yoong berkata, pertandingan ini membantu pasukannya berlatih dan bersaing secara sihat.
“Ia pertandingan adil di mana peserta muda bertanding dengan pesaing sebaya dan mempunyai tahap sama, manakala dewasa akan beraksi seusia dengan mereka.
“Ini kerana jumlah ahli yang terhad mencabar pasukan kami untuk mewujudkan persaingan sihat, berbanding pengalaman melalui pertandingan ini,” katanya yang turut aktif menyertai pertandingan berkenaan.
Phillipa turut berkata, prestasi pasukannya memuaskan kerana berjaya mencapai ramalan awal sasaran pingat.
“Dengan saingan hebat daripada Indonesia dan Singapura, kemampuan Malaysia mengumpul pingat ternyata membuka peluang cerah untuk beraksi cemerlang pada Sukan Sea,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Waterski & Wakeboard World Cup Sdn Bhd, Norzeela Sulaiman berkata, penganjuran kejohanan Ski Air dan Wakeboard Nautique Asia IWWF 2011 ialah kali kedua selepas 20 tahun penganjurannya.
“Pertama kali kami menganjurkan kejohanan ini pada 1991 di Tasik Desa Kuala Lumpur. Ia hampir 20 tahun berlalu.
“Lebih mencabar kami sebagai penganjur ialah terpaksa mengubah lokasi pada saat akhir daripada Kompleks Sukan Air ke Kelab Tasik Putrajaya bagi memastikan kawasan pertandingan sesuai untuk atlet.
“Secara tidak langsung kerja bertambah tetapi perubahan tempat ini membantu kami melaksanakan pelaksanaan kejohanan dengan lebih lancar,” katanya.
Norzeela berkata, pada pertandingan kali ini pihaknya menerima penyertaan 100 peserta daripada 14 negara seluruh Asia.
“Pertandingan ini bertaraf dunia turut menarik penyertaan peserta Asia Barat seperti Arab Saudi, Iran, Kuwait dan Lebanon.
“Kejohanan ini bagaikan pertemuan tiga penjuru antara Asia Timur, Barat dan Tenggara bersaing hebat bagi menguji pesaing daripada negara lain,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: