Tuesday, November 15, 2011

Lontar kisah pahit

AMAN...kolam ikan di Kompleks Penempatan Asnaf, Kampung Pahang menjadi sebahagian daripada terapi kesihatan buat penghuninya.
AMAN...kolam ikan di Kompleks Penempatan Asnaf, Kampung Pahang menjadi sebahagian daripada terapi kesihatan buat penghuninya.

SEBAIK kaki melangkah masuk ke ‘istana hinggap’ yang dikhususkan untuk golongan asnaf, dikenali sebagai Kompleks Penempatan Asnaf di Kampung Pahang, Kuantan, Pahang, perasaan cuba menyelami dan berkongsi rasa bersama penghuni mengenai bait kehidupan silam masing-masing membuak-buak.

Penulis tidak mempunyai pilihan selain mahu membongkar kisah silam penghuni
di kompleks berkenaan.

  • Foto

    JALIN UKHUWAH... bersama-sama menikmati makanan untuk eratkan hubungan kekeluargaan.

  • Foto

    KUNJUNG...Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkunjung ke kompleks berkenaan, baru-baru ini.

  • Foto

    SUBUR...Hadijah (kanan) bersama Jah Awang (kiri) dan Zaitun Abdul Ghani memanfaatkan masa lapang dengan bercucuk tanam.


Tatkala mula bercerita, terbit rasa sayu dan hiba apabila satu persatu kisah hidup masa lalu dilerai penuh emosi dan ada kalangan warga emas menitiskan air mata ketika bercerita kisah hidup yang penuh ranjau.

Pasrah dan akur dengan ketentuan Ilahi, Hadijah Mat Ali, 60, seakan cuba melontar sejauh mungkin kisah pahit yang mewarnai perjalanan hidupnya sejak ibu angkat tersayang meninggal dunia ketika usianya baru 11 tahun.

Tanpa menyalahkan sesiapa termasuk bapa angkat yang merahsiakan status dirinya, Hadijah meneruskan kehidupan seperti biasa sehingga dia mendirikan rumah tangga dan meninggalkan kampung halamannya di Kuala Kangsar, Perak untuk mengikut suami merantau.

“Kami mengambil keputusan berpindah ke Pahang dan menjalani kehidupan dengan melakukan pelbagai jenis pekerjaan seperti berkebun, berniaga dan menjadi pe-ngawal keselamatan,” ujarnya cuba menyeka air mata yang membasahi pipi.

Hadijah yang tidak dikurniakan cahaya mata terpaksa berpisah dengan suami selepas jodoh mereka tidak panjang.

“Sejak itu, saya hidup merempat, menumpang di sana sini, bekerja tanpa mengira penat sehinggalah tergerak hati memohon bantuan daripada Majlis Agama dan Adat Resam Melayu Pahang (Maip), Julai lalu.

“Saya sangat bersyukur kerana akhirnya dapat ‘memiliki’ sebuah rumah yang sempurna di sini.

“Tiada apa yang lebih membahagiakan saya selain menghabiskan sisa hidup dengan mengabdikan diri kepada Allah melalui al-Quran dan fardu ain yang dipelajari
di sini,” katanya.

Bagi Ahmad Wah, 60, yang lebih senang dengan panggilan Pak Ngah, kehidupan serba daif dan melarat membawanya berhijrah ke kompleks berkenaan.

Warga emas berasal dari Kampung New Zealand, Maran dan tidak pernah berkahwin tinggal bersendirian di kampungnya walaupun mempunyai seorang kakak.

Ahmad tidak mahu menyusahkan kakaknya yang sudah uzur dan lebih selesa tinggal berseorangan sambil mengusahakan kebun pisang, betik dan ubi kayu.

“Tetapi sejak diserang pelbagai jenis penyakit, saya tidak dapat bekerja dan mengharap-kan bantuan jiran sehingga mereka membuat keputusan untuk menempatkan saya di sini.

“Selain menghabiskan masa belajar agama di surau, kami membela ikan di kolam dan berkebun di belakang rumah untuk menghabiskan waktu terluang,” ujarnya yang meng-usahakan tanaman betik dan mempelam di belakang rumah-nya di kompleks berkenaan.

Dua saudara baru, Ahmad Shukri Sugumaran Abdullah, 62, dan Fatimah Abdullah, 67, bersyukur kerana mempunyai tempat berlindung sempurna berbanding sebelumnya.

Ahmad Shukri memeluk Islam sejak 25 tahun lalu mengakui melakukan pelbagai pekerjaan sejak berpisah dengan keluarga yang tidak rela melihat dia menukar agama.

“Ibu mahu saya meneruskan kehidupan sebagai seorang Islam dan tidak sesuai menetap bersama mereka. Sedih tetapi saya akur dengan permintaan ibu.

“Saya ingin berterima kasih kepada Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakub yang sudi mendengar rentetan peristiwa ‘pahit’ masa silam saya hingga membolehkan saya berada di kompleks ini,” katanya yang suka berkebun dan membersihkan kawasan persekitaran bagi memenuhi masa lapang.

Ahmad Shukri berkata, setiap hari dia ke surau untuk mengaji dan belajar fardu ain dan dibawa ke masjid negeri pada hujung minggu untuk belajar agama dengan lebih mendalam.

“Alhamdulillah, saya beroleh ketenangan dan menjalani kehidupan lebih baik sebagai seorang Islam dan ingin terus berkhidmat di sini,” katanya yang berasal dari Bentong.

Fatimah yang memeluk Islam sejak 16 tahun lalu berkongsi pengalaman sama dengan Ahmad Shukri yang terpaksa meninggalkan keluarga untuk meneruskan kehidupan.

“Selepas memeluk Islam saya berpisah dengan suami dan meneruskan kehidupan sendirian tanpa arah tuju dan tiada tempat bergantung.

“Saya ke Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kuala Lumpur untuk mendalami Islam dan selepas beberapa tahun di sana, saya berpindah ke Kuantan untuk mencari pekerjaan,” katanya yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Walaupun mengalami sakit lutut, Fatimah bijak menggunakan masa lapangnya dengan bertanam sayur-sayuran dan pokok bunga di rumahnya untuk mengelak rasa bosan.

“Saya berpeluang mendalami al-Quran, menjalani kehidupan Muslim sejati yang saya belum sempurnakan suatu ketika dahulu dan menikmati kehidupan hari tua dalam suasana yang jauh daripada keluarga sebenar,” katanya.

Warga emas dari Kampung Mat Kilau, Jerantut, Jumat Togak, 75, bersyukur kerana mendapat perlindungan di kompleks berkenaan selepas sekian lama duduk bersendirian di kampungnya.

“Terima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat daerah yang prihatin dengan nasib saya yang tinggal sendirian di rumah dan mengharapkan ihsan penduduk kampung.

“Saya suka berkebun kerana ia dapat menyihatkan badan dan saya suka memberi ikan makan kerana ia begitu tenang dan mendamaikan.

“Saya tidak pernah merasai kebahagiaan seperti ini sebelumnya,” katanya yang tidak mempunyai anak hasil perkongsian hidup bersama bekas isteri.

Walaupun mempunyai keluarga yang mampu menjaga dan menguruskan makan minum-nya, Siah Usman, 80, pula memilih untuk menjadi penghuni di kompleks berkenaan untuk mendalami agama.

“Saya mahu belajar agama, beramal ibadat dan solat berjemaah bersama penghuni di sini yang jarang dapat dilakukan di rumah kerana masalah kesihatan.

“Walaupun pergerakan saya terhad kerana sakit lutut dan sendi, saya gagahkan diri untuk ke surau mengaji dengan kawan-kawan,” katanya yang berasal dari Kampung Kempadang, Kuantan.

Sementara itu, Penolong Pengurus Kompleks Penempatan Asnaf, Nor Rosyidah Mohamed Tahir, berkata seramai 24 asnaf terpilih menetap di situ berdasarkan syarat dan peraturan yang ditetapkan.

“Kami terlebih dulu menyiasat latar belakang bakal penghuni dan melihat kemampuan mereka menguruskan diri.

“Antara syarat kemasukannya ialah beragama Islam, fakir, miskin, mualaf, ibu tunggal, warga emas dan tidak menghidap penyakit kronik dan bermastautin di Pahang,” katanya.

Nor Rosyidah berkata, dia gembira kerana diberi amanah menjaga penghuni sejak kompleks itu beroperasi Oktober tahun lalu.

“Hati orang tua, kita harus faham. Mereka mudah terusik dan jika tersilap cakap, boleh merajuk. Mereka dahagakan curahan kasih sayang daripada anak-anak dan keluarga tetapi ada antara mereka yang tidak mempunyai keluarga malah ada yang tidak pernah berkahwin,” katanya.

Nor Rosyidah berkata, dua anak lelakinya, Abdul Hadi Abqari Mohd Shaharuddin, 4, dan Abdul Hannan, 2, menjadi pengubat sepi, penawar dan teman setia kepada penghuni di situ.

“Anak-anak saya mesra dengan datuk dan nenek tidak rasmi mereka dan saya tidak sampai hati menyekat kebebasan anak-anak untuk bermesra dengan penghuni di sini.

“Saya juga terharu kerana mereka menganggap saya seperti anak sendiri dan hubungan saya dan semua kakitangan kompleks memang rapat,” katanya.

Menurutnya, Kompleks Penempatan Asnaf bernilai RM3.5 juta dirasmikan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah pada 22 Mac 2011 dibina di atas tanah wakaf seluas kira-kira 1.8 hektar menempat-kan 10 unit rumah berkembar 20 bilik dan dua blok rumah teres 10 bilik.

Ia turut menyediakan kemudahan tempat rehat dan rekreasi, surau, dewan makan selain ruang untuk melakukan aktiviti berkebun dan menternak ikan sebagai terapi minda dan kesihatan penghuni.

Antara aktiviti diadakan ialah kelas pengajian agama Islam dengan fokus kepada mengaji al-Quran, kelas fardu ain, fardu kifayah dan kelas kemahiran hidup serta rawatan perubatan secara percuma dan diurus tadbir oleh Maip.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: