Friday, November 4, 2011

Kena serang ulat korek batang

MASRUP (kiri) dan Abdullah menunjukkan batang padi yang diserang bena perang.
MASRUP (kiri) dan Abdullah menunjukkan batang padi yang diserang bena perang.
50 hektar padi Sungai Manik rosak, serangga perosak bertambah

SUNGAI MANIK: Masalah bena perang, ulat pengorek batang kuning, padi angin dan karah daun membabitkan kawasan seluas di 50 hektar kawasan jelapang padi Sungai Manik di sini, menimbulkan kerisauan di kalangan pesawah kerana berdepan kerugian besar.
Lebih memeritkan petani, serangan serangga perosak semakin meruncing ketika masa tuaian padi hanya tinggal kira-kira 20 hari lagi.
Kawasan yang diserang makhluk perosak meliputi Permatang Parit 7A, 11A, 12A, 13A dan 14 dalam projek Mini Estet Padi di bawah kawal selia Pembangunan Pertanian Bersepadu Kerian-Sungai Manik.

Bena perang atau nama saintifiknya ‘Nilaparvata lugens stal’ menghisap cairan pokok menyebabkan tumbuhan itu bertukar menjadi kuning dan kering, manakala ulat pengorek batang kuning atau nama saintifiknya ‘Scirpophaga/tryporyza incertulas wik’ memakan tisu lembut bahagian dalam pelepah daun sebelum mengorek masuk ke dalam batang menyebabkan pokok padi mati dalam tempoh singkat.

Karah daun pula berpunca serangga halus yang hinggap di daun dan batang padi muda lalu menghisap cairan hingga pokok menjadi lebam kemerahan dan akhirnya tangkai mereput.

Tinjauan Berita Harian mendapati petani yang menanam padi menggunakan benih MR219 sudah diserang makhluk perosak itu, membabitkan kerugian antara RM1,000 hingga RM1,500 sehektar atau kerugian keseluruhan mencecah RM50,000.
Seorang pesawah, Masrup Sukir, 57, dari Parit 13A, berkata serangan bena perang berlaku terlalu pantas dan boleh memusnahkan pokok padi dalam tempoh seminggu.

“Petani disaran menyembur racun serangga tetapi tidak ramai yang berbuat demikian kerana harga bagi 250 mililiter racun serangga mencecah hingga RM104,” katanya di sini, semalam.

Beliau mendakwa mengalami kerugian hampir RM18,000 pada musim menuai tahun lalu apabila 24 hektar sawah padinya diserang bena perang.

Pesawah lain, Abdullah Harun, 43, dari Parit 9A pula merayu kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani supaya memberi bayaran ehsan melalui Tabung Bencana Alam kepada pemilik sawah yang diserang serangga makhluk perosak itu.

“Serangan makhluk perosak di kawasan sawah di Sungai Manik berlaku setiap tahun,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: