Sunday, November 13, 2011

Ilman obses fesyen dan sukan




DALAM memilih pekerjaan, seseorang itu tidak boleh main terima sahaja. Sebaliknya perlu tahu ruang lingkup kerja yang selari dengan kehendak dan keupayaan diri.

Kalau tersilap pilih kerja, pasti hati tak akan berasa senang berada di tempat kerja. Akibatnya prestasi menjunam dan lebih parah tak akan kekal lama dengan kerjaya itu.

Muhammad Ilman Zanzari pernah ada pengalaman memilih kerjaya yang tidak sesuai dengan jiwa. Kerana bosan dengan tugas, dia hanya mampu bertahan sebulan sahaja.

“Sebelum ini saya pernah bekerja sebagai jurujual di butik. Saya memang seronok dengan kerja itu kerana setiap hari akan berjumpa dengan pelanggan berbeza.

“Ia juga tidak membuatkan saya rasa terkurung. Entah macam mana saya cuba berubah angin dan memilih kerja lain yang hanya memerlukan saya menyiapkan kerja di pejabat.

“Kebetulan bos tempat kerja baru itu kenalan ibu saya, jadi saya mendapat peluang berkerja di sana. Ternyata saya cepat rasa bosan bila tak dapat keluar dan hanya duduk di pejabat.

“Saya hanya bertahan selama sebulan sahaja. Saya tidak mahu meninggalkan nama buruk, jadi saya berhenti kerja dengan cara baik,”kata Ilman kepada Pancaindera.

Selepas berhenti kerja di pejabat dia kembali bekerja di sebuah butik pakaian sejak dua minggu lalu. Bila kembali kepada kerjaya yang dia gemar, hatinya sentiasa senang sepanjang bekerja.

“Memang kerja apa-apa pun akan ada masalah, tapi sebab kita suka, kita boleh melaluinya. Kerja sebagai jurujual juga ada cabaran, misalnya kita akan berdepan dengan pelbagai kerenah pelanggan.

“Kalau kita membuat kerja dengan baik, pelanggan juga akan senang dengan cara kita. Menjadi prinsip kepada pekedai yang akan sentiasa mengutamakan pelanggan.

“Saya pernah juga berdepan dengan pelanggan yang cerewet, misalnya ada pelanggan yang mati-mati mahukan pakaian yang kita peragakan kepada patung kerana dia berkenan dengan yang itu,” jelasnya lagi.

Ilman seorang yang periang dan mudah tersenyum. Memang kerjaya yang memerlukan dia menjalin hubungan baik dengan pelanggan amat sesuai. Dia mahu terus maju dalam kerjaya itu.

“Lagipun kerjaya sebagai jurujual di butik ini membolehkan saya terus menyimpan rambut panjang,” ujarnya yang sudah bertahun menyimpan rambut panjang.

Sementara itu Ilman seorang yang obses dengan sukan. Dia gemar bermain futsal dan ke gimnasium. Tiga atau empat kali seminggu dia peruntukkan masa untuk ke gimnasium.

“Kalau saya kerja syif pagi, saya akan ke gimnasium pada sebelah malam. Habis sahaja kerja saya akan segera pulang ke rumah untuk bersiap ke gimnasium,” katanya.

Perasan tak gaya Ilman ada sedikit persamaan dengan pelakon kontroversi Gambit Saifullah? Sebenarnya sebab itulah dia ditampilkan dalam rungan Kacak Bergaya minggu ini.

Seorang kawannya mencantumkan gambar Gambit dan Ilman yang nampak ada persamaan di dalam laman sosial Facebook. Selepas itu ramai yang perasan persamaan gaya mereka. Lebih-lebih lagi kedua-duanya berambut panjang.

“Ramai kawan saya kata penampilan saya ada persis Gambit. Bila saya perhatikan gambar yang dicantumkan itu, baru saya perasan sedikit sebanyak persamaannya, tapi pastilah Gambit lebih kacak dan glamor daripada saya,” kata Ilman.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: