Wednesday, November 16, 2011

Henry Golding teruja pergi New Zealand


HENRY GOLDING sememangnya terkenal sebagai hos program berbentuk pelancongan. Terkini, dia diberi kepercayaan mengendali program Now Everybody Can Fly To New Zealand.


SELEPAS mengacarakan program Welcome To The Rail World dan Without Boundaries - Islands and Beaches, Henry Golding sekali lagi diberi kepercayaan pihak 8TV untuk mengemudi program terbaharu mereka iaitu Now Everybody Can Fly To New Zealand.

Program terkini 8TV itu akan membawa penonton menerokai negara yang terkenal dengan jolokan middle earth yang mempunyai pelbagai aktiviti lasak dan menarik.

Telah bersiaran sejak 6 November lalu pada setiap hari Ahad, pukul 10.30 malam, Henry ketika ditemui melahirkan rasa gembira kerana diberi peluang merasai pengalaman melancong ke negara yang belum pernah dijejakinya.

“Sejujurnya, pengalaman melancong ke New Zealand merupakan satu pengalaman bermakna buat diri saya. Saya tidak dapat menjangkakan apa yang ada di sana sehingga ia berada di depan mata.

“Setiap hari saya melalui pengalaman yang berbeza di sana. Saya telah melakukan pelbagai aktiviti di luar imaginasi seperti bungy jumping, menunggang kuda dan pelbagai lagi. Malah, saya berjaya mengatasi ketakutan untuk melakukan aktiviti-aktiviti lasak seperti itu,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran program Now Everybody Can Fly To New Zealand di Sri Pentas, Petaling Jaya.

Sementara itu, menurut Pengurus Pemasaran Kreatif dan Komunikasi 8TV, Farah Shamsudin, program itu bakal membuatkan penonton teruja untuk melihat keindahan dan keistimewaan destinasi-destinasi menarik di New Zealand.

“Dalam program lapan episod ini, anda juga dapat menyaksikan perbezaan budaya dan cara hidup sekali gus melancong tanpa perlu mengeluarkan bajet yang banyak,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: