TURUN PADANG...Hazimah melihat pekerja di kilang melakukan pelbagai tugas dan penyelenggaraan.
KOMITED...kenangan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika satu pameran di Kuala Lumpur.
MELIHAT susuk tubuh dan riak wajahnya yang lembut, pasti tidak ramai menyangka Datuk Hazimah Zainuddin, 49, pernah melalui satu pengalaman menakutkan hingga menyebabkan nyawanya hampir melayang.
Bagi wanita yang tidak kuat semangat, mungkin serik untuk meneruskan legasi perniagaan ke luar negara, terutama apabila berdepan situasi membabitkan nyawa seperti dialaminya.
Insiden mendebarkan di Sri Lanka itu berlaku tahun lalu apabila letupan bom mortar menyebabkan 44 nyawa melayang dan wanita ‘besi’ ini menyaksikan peristiwa tragis itu.
Ketika itu beliau dan delegasi syarikatnya hanya dipisahkan selang enam kereta di depannya ketika dalam perjalanan bertemu menteri berkaitan petroleum negara itu, Susil Premajayantha.
Peristiwa itu langsung tidak melemahkan semangat Hazimah, sebaliknya dianggap asam garam, cabaran dan dugaan dalam usaha meluaskan empayar niaga untuk mengejar impian bergelar usahawan ‘glokal’ - bukan saja hebat di arena tempatan, malah mampu menggegar di persada antarabangsa.
Itulah kelebihan Hazimah - pengasas dan Pengarah Urusan Hyrax Oil Sdn Bhd. Sepanjang 20 tahun mengabdikan diri dalam perniagaan, beliau berbangga syarikatnya kini mampu menembusi pasaran 40 negara, berkat kegigihan dan sikap tidak pernah berputus asa dalam mengejar impian untuk berjaya.
Syarikat yang membangunkan produk berasaskan petroleum seperti minyak pelincir berkualiti tinggi untuk kegunaan automotif dan industri itu, ditubuhkan pada 1991 dengan kilangnya beroperasi di Klang, Selangor.
Biarpun diterajui wanita, syarikat itu berjaya menghasilkan 14 produk berasaskan petroleum hingga menarik minat syarikat multinasional, Kementerian Kewangan, Kementerian Pertahanan, Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebagai pelanggan utama di samping beberapa syarikat tempatan lain.
Pacuan langkahnya ke peringkat global, syarikat beliau mampu menjengah pasaran Singapura, Indonesia, Thailand, Filipina, Vietnam, Turki, Nigeria, Nepal, Australia, New Zealand dan Tanzania.
Selain Asia Tengah, Bangladesh dan India, wanita berhati waja ini mengeksport minyak ke Afrika Selatan dan Arab Saudi bagi memenuhi skala besar perniagaan iaitu merealisasi impian bergelar usahawan sejak di alam persekolahan.
Lebih unik, syarikat beliau mampu menembusi pasaran Djibouti, Cyprus, Ghana dan Guinea - negara yang mungkin masih asing bagi syarikat diterajui usahawan lelaki sekalipun.
“Tidak dinafikan, berniaga di peringkat global risikonya lebih besar dan sangat tinggi, selain terdedah kepada pelbagai perkara di luar jangkaan. Jika tidak berhati-hati akan mengakibatkan sesuatu musibah, sekali gus boleh memusnahkan apa yang sudah kukuh dibina.
“Lagi pula, saya tidak bersendirian dalam hal ini kerana dibantu kakitangan yang cekap dan sentiasa bersedia untuk bekerja membangunkan syarikat ini bersama-sama.
“Mungkin disebabkan sikap saya yang tegas bertempat, sentiasa menjadi pendengar setia serta memberi kepercayaan atas kebolehan pekerja.
“Kena ingat, ketua tidak selalunya betul dan seharusnya kita mesti ada sikap tolak ansur. Yang tidak kurang pentingnya, kekuatan turut diperoleh daripada semangat dua ikon hebat negara yang menjadi idola sejak dulu iaitu mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang bergiat aktif dalam perniagaan dan misi ke luar negara untuk mengembangkan perniagaan, sasaran utama adalah memperkenalkan produk tempatan kerana ia juga mampu melakar sejarah tersendiri.
Untuk itu, bersandarkan kerja keras tanpa mengira penat lelah, beliau melakukannya dengan penuh rasa tanggungjawab untuk memartabatkan produk anak tempatan.
“Walaupun kebanyakan negara yang berurus niaga bukan negara bertaraf maju, saya anggap ia penguat semangat saya dan orang lain untuk terus mencipta kegemilangan. Selebihnya, saya berserah kepada Allah.
“Bukan sedikit tenaga, kepakaran, strategi perniagaan serta pelaburan terpaksa dipertaruhkan untuk melakar kejayaan. Namun, saya bertuah dapat melakukannya kerana dokongan kuat pekerja yang dedikasi serta komited,” katanya.
Hazimah berkata, minatnya untuk terbabit dalam dunia perniagaan bercambah ketika mula berkhidmat sebagai Pengurus Pemasaran Kedah Marble di Langkawi pada 1988.
Tiga tahun kemudian, beliau mengorak langkah dengan menjadikan perniagaan alat ganti dan minyak pelincir secara runcit sebagai permulaan perjalanannya dalam perniagaan.
Bagaimanapun, beliau mengakui bukan sedikit laluan berliku terpaksa dilalui pada awal perniagaan. Antaranya, Hazimah pernah membawa van untuk berurusan dengan pelanggan, selain mendapatkan stok.
Ujian pertamanya bermula apabila bekalan terjejas sehingga memaksanya mencari alternatif lain untuk meneruskan perniagaan yang baru bermula itu.
“Ketika itu saya bertemu syarikat dari Korea dan melalui perjanjian perpindahan teknologi, pembekal itu jadi rakan kongsi. Apabila harga mulai naik dan pada 1996 duti import dihapuskan, sekali lagi saya berdepan masalah kerana semua yang dirancang terjejas, manakala kontrak kepada kerajaan dan agensinya turut mengalami masalah.
“Pada 1997 pula, sekali lagi diuji apabila berdepan kegawatan ekonomi dan memaksa diri ini membayar balik modal rakan kongsi serta mencari pelabur lain.
“Daripada situ, saya terus bertatih dan lali dengan apa saja cabaran, dan berkat kesabaran serta kegigihan itu saya berjaya hingga sekarang,” katanya.
Komitmennya yang tinggi dalam menjalankan kajian dan pembangunan produk membolehkan syarikatnya memperoleh sijil ISO 9002.
Beliau pula diiktiraf apabila terpilih selaku penerima Anugerah Belia Negara (Kategori Keusahawanan 1998), Anugerah Usahawan Wanita (1998), Usahawan Wanita oleh firma Ernst & Young (2002) dan Anugerah Kecemerlangan Eksport (Dagangan) dalam Anugerah Kecemerlangan Industri (2009) daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Pada masa sama, beliau masih memberi bimbingan dan tenaganya untuk membangunkan wanita yang menceburi dunia perniagaan menerusi Persatuan Wanita Bumiputera dan Profesion Malaysia (Peniagawati) selaku presiden, selain Ahli Lembaga Matrade dan Pengerusi Persatuan Usahawan Wanita Malaysia (FEM).
Pada saat beliau menikmati kejayaan dalam perniagaan, Hazimah diuji dalam kehidupan peribadinya. Sesuatu yang sukar dikongsi wanita jelita ini adalah kisah peribadi iaitu rumah tangga dibina selama 20 tahun runtuh pada 2005, namun kegagalan itu bukan penghalang untuk terus meningkat maju.
Katanya, kekuatan semangat diperoleh daripada rangsangan ibunya, Zaharah Mohd Khalid, 78, yang banyak berkongsi susah senang bersama di samping 'permata kembar' yang dianggap denyut ‘nadi’ serta pemangkin kejayaan hidupnya.
PROFIL
NAMA: Datuk Hazimah Zainuddin
LAHIR: 3 Februari 1962
ASAL: Taiping, Perak
JAWATAN: Pengarah Urusan Hyrax Oil Sdn Bhd
AKADEMIK: Diploma Kajian Perniagaan (Institut Teknologi Mara)
STATUS: Ibu tunggal
ANAK: Adam Malik dan Intan Munirah Che Roslan (pasangan kembar berusia 18 tahun)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: