PERSAHABATAN yang terjalin sejak di bangku sekolah membolehkan dua rakan karib, Hanirah Mohamad Nur dan Azyanti Mohd. Agos masing-masing 36, saling memahami antara satu sama lain.
Selain persefahaman yang jitu, kedua-dua sahabat karib yang bertugas sebagai pensyarah rangkaian komputer di Kolej Komuniti Cawangan Tanjung Piai, Pontian, Johor itu turut mempunyai minat yang serupa.
Justeru, tidak hairanlah apabila Hanirah dan Azyanti yang berasal dari Pontian dapat bekerjasama untuk menghasilkan sebuah buku resipi Cara Mudah Membuat Roti meskipun pada asalnya, kedua-dua mereka tidak mempunyai asas mengenainya.
Menurut Hanirah, semuanya bermula apabila mereka ditugaskan menyertai kursus masakan Soft and Crusty Bread di Muar anjuran Kementerian Pengajian Tinggi pada tahun 2009.
“Apabila pulang daripada kursus selama 10 hari tersebut, kami bertanggungjawab mengadakan kursus pendek masakan setiap hujung minggu di kolej.
“Daripada maklum balas positif yang diterima kami bertambah berminat dalam bidang masakan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Jelas ibu kepada tiga orang cahaya mata itu, hasil cadangan peserta kursus pendek tersebut jugalah dia dan Azyanti berpeluang menghasilkan 45 resipi pelbagai jenis roti yang diabadikan dalam buku setebal 98 muka surat terbabit.
“Sebelum ini, saya dan Azyanti sering membawa empat atau lima jenis resipi membuat roti dalam setiap kursus untuk dikongsi bersama peserta.
“Namun, ada antara mereka yang memberi cadangan agar saya menggabungkan semua resipi tersebut dalam sebuah buku dan inilah hasilnya, buku resipi Cara Mudah Membuat Roti.
“Niat asal kami ketika menulis buku ini hanya satu iaitu untuk membantu masyarakat untuk mendapatkan ilmu mengenai pembuatan roti,” katanya.
Jelas Hanirah, ketika mendapat tawaran daripada penerbit Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd. untuk menghasilkan buku terbabit, dia dan Azyanti kurang berkeyakinan.
Namun, dengan bantuan penulis bersama iaitu Julia Abdul Rahman, seorang ibu yang berpengalaman lebih tiga dekad dalam bidang masakan, mereka lebih yakin dan bersemangat untuk menulis buku terbabit.
“Kami juga bersyukur kerana niat untuk menghasilkan sebuah buku mendapat kelulusan daripada Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Kolej Komuniti, Kementerian Pengajian Tinggi, Prof. Madya Kamarudin Kasim.
“Tanpa kelulusan beliau, tidak mungkin kami sebagai penjawat awam boleh menghasilkan buku terbabit,” katanya.
Sementara itu, Azyanti mengakui bukan semua resipi yang terkandung dalam buku terbabit merupakan idea asal mereka. Sebaliknya, ia adalah resipi yang telah diubah suai untuk disesuaikan dengan cita rasa tempatan.
Katanya, keunikan buku tersebut apabila hampir semua bahan bagi setiap resipi mudah didapati dan halal.
“Kami merujuk daripada beberapa buku resipi dan membuat penambahbaikan agar lebih sesuai dengan cita rasa rakyat Malaysia.
“Setiap resipi yang diberikan telah kami cuba berkali-kali sebelum yakin ia adalah resipi yang terbaik dan termudah. Kami lebih gemar menggunakan bahan-bahan yang mudah didapati dan yang lebih penting, ia mestilah halal,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Kolej Komuniti Tanjung Piai, Radzuan Othman berkata, kejayaan Hanirah dan Azyanti menghasilkan buku terbabit merupakan satu kebanggaan buat kolej itu sendiri.
Jelasnya, pihak kolej sentiasa memberi sokongan kepada mana-mana tenaga pengajar mereka yang mempunyai inisiatif untuk memajukan diri sendiri.
“Ini adalah salah satu usaha positif dan membanggakan kerana dalam kesibukan menjadi tenaga pengajar, mereka masih mampu mencuri masa untuk menghasilkan buku ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: