SEBAHAGIAN pengarah dan artis yang hadir pada Jelajah FFM24 di Johor.
Kedengaran suara Gayah Gebu di corong telefon. Katanya, ada gosip panas berhubung kemelut dalaman yang melanda penganjuran Festival Filem Malaysia (FFM) ke-24.
Kata Gayah Gebu lagi, kerana simpati dengan pemecatan tiga kakitangan urus setia terbabit, setiausaha GAFIM bertindak untuk meletak jawatan disebabkan tidak berpuas hati dengan pengurusan atasan persatuan itu.
Kenapa sampai macam itu sekali? Tidakkah mereka harus fikirkan tarikh acara yang semakin hampir, bukan bertelagah sesama sendiri. Sebelum ini ada pertelingkahan antara GAFIM dan Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), kini masalah dalaman GAFIM pula terjadi.
Kalau berterusan begini, Cik Normah risau juga mengenangkan acara berprestij itu nanti. Agaknya, macam manalah pula jadinya FFM24 nanti? Jangan huru-hara sudahlah, nanti akan mencacatkan industri perfileman kita juga. Kalau pihak luar tengok, industri kita juga yang malu.
Sudah 24 kali FFM dianjurkan, sepatutnya penganjur semakin matang dan memperbaiki kelemahan yang ada bukannya menambahkan lagi kemelut dalam penganjuran. Cik Normah takut nanti masyarakat akan pandang rendah pada FFM dan menganggap industri perfileman kita kucar-kacir.
Sepatutnya kemelut yang kian meruncing ini ada campur tangan daripada pihak berwajib kerana majlis ini diadakan bagi menghargai karyawan dan penggiat seni bukannya majlis untuk bertelagah sesama sendiri. Jadi fikir-fikirkanlah untuk kebaikan semua.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: