
BEIJING 1 Nov. – China hari ini melancarkan sebuah kapal angkasa tanpa angkasawan untuk melaksanakan satu misi berlabuh yang penting, bagi membawa negara ini selangkah lagi ke arah matlamat membina stesen angkasa lepasnya yang pertama menjelang 2020.
Kapal angkasa Shenzhou VIII berlepas dari gurun Gobi, barat laut China pada 5.58 pagi (waktu sama di Malaysia) sebelum berpisah daripada roket pengangkutnya kira-kira 200 kilometer di atas paras Bumi, lapor agensi berita Xinhua.
Ia dijadual bercantum dengan modul eksperimen Tiangong-1 atau ‘Istana Kayangan’ dalam masa dua hari, untuk menyempurnakan misi berlabuh pertama di angkasa lepas bagi negara ini, iaitu langkah penting dalam program angkasa lepas China yang bermatlamat besar.
Keupayaan untuk berlabuh dengan selamat amat penting dalam mencapai cita-cita China untuk membina sebuah stesen angkasa yang boleh didiami oleh angkasawan selama beberapa bulan, seperti di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) yang dikendalikan oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).
Teknologi itu sukar dikuasai kerana kedua-dua kapal yang ditempatkan dalam orbit sama dan mengelilingi Bumi dengan kelajuan kira-kira 28,000 kilometer sejam mesti menghampiri satu sama lain secara beransur-ansur untuk mengelakkan kemusnahan kedua-duanya.
China memulakan program penerbangan angkasa lepas bagi membawa angkasawan pada 1990 selepas membeli teknologi Rusia dan pada 2003 menjadi negara ketiga selepas bekas Kesatuan Soviet dan Amerika Syarikat (AS) untuk menghantar manusia ke angkasa lepas.
Pelancaran Tiangong-1 pada 29 September lalu, menjelang Hari Kebangsaan China pada 1 Oktober, dihadiri oleh Perdana Menteri, Wen Jiabao, manakala Presiden Hu Jintao menyaksikannya dari sebuah pusat kawalan penerbangan angkasa di Beijing.
Namun China masih jauh ketinggalan dalam bidang penerokaan angkasa lepas kerana misi berlabuh Shenzhou VIII yang dirancangkan itu hanya meniru apa yang dicapai oleh AS dan Rusia pada 1960-an.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: