Friday, November 18, 2011

Berwakaf di Kemboja


Masjid di Kg. Tedap ini juga adalah hasil dana wakaf di bawah AIS.


KEMAJUAN ekonomi dan lebihan pendapatan yang dimiliki oleh penduduk Malaysia membolehkan semakin ramai umat Islam melaksanakan pelbagai program amal jariah untuk saham akhirat termasuklah berwakaf.

Wakaf adalah salah satu cara mendekatkan diri kepada Allah menerusi harta kekayaan.

Wakaf daripada segi bahasa bermaksud tahan atau berhenti. Daripada segi istilah ia bermaksud menahan sesuatu benda atau harta yang suci dan halal bentuk zatnya supaya digunakan untuk tujuan kebaikan dan mendapat manfaat daripadanya.

Pelbagai bentuk wakaf dilakukan oleh umat Islam Malaysia di Kemboja. Antaranya wakaf masjid, wakaf sekolah, wakaf telaga dan juga wakaf tanah.

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Akademi Imam Syafie (AIS) adalah di antara yang aktif menguruskan program wakaf di beberapa daerah terutama penempatan orang Islam di Kemboja.

Pengerusinya, Mohd. Zamerey Abdul Razak berkata, antara kejayaan dana wakaf yang diuruskan oleh AIS adalah Kompleks Pendidikan Imam Syafie di Kampung Keh, Kampot.

Katanya, hasil sokongan material dan spiritual oleh umat Islam, bangunan sekolah dua tingkat yang merangkumi lapan kelas, rumah guru sebanyak 10 unit, bangunan asrama yang bersaiz 30 meter x 8 meter x tiga tingkat telah siap.

"Alhamdulillah, kumpulan pertama pelajar Tingkatan 1 telah memulakan pengajian pada 3 Oktober 2011.

"Sebanyak 34 pelajar menetap di asrama manakala 70 lagi pelajar berulang-alik. Perasmian sekolah dijangka pada 25 Disember ini," katanya kepada Mega, baru-baru ini.

Daripada jumlah 104 pelajar, 34 yang tinggal di asrama ini mengikuti program 3 dalam 1 (akademik, agama & tahfiz), 68 pelajar (akademik dan agama) dan baki dua pelajar bukan Islam yang mengikuti aliran akademik.

Selepas kejayaan projek tersebut, Zamerey berkata, pihaknya memikirkan projek wakaf di Kemboja untuk menampung aktiviti kebajikan termasuk membiayai pengurusan sekolah berkenaan.

Alhamdulillah dengan sokongan umat Islam yang prihatin, AIS berjaya membeli kebun getah seluas 13.5 hektar di Wilayah Ratnakiri.

"Insya-Allah ia bakal mengeluarkan hasil pada hujung 2012. Kebun ini memberi peluang pekerjaan kepada sekurang-kurangnya 13 ketua rumah.

"Ia juga bakal menyumbang kepada kos operasi Maahad Imam Syafie dan aktiviti kebajikan di Kemboja," katanya.

Pada masa yang sama, Zamerey memberitahu, dua sekolah Fardu Ain dengan dua bilik darjah berjaya disiapkan masing-masing di Kg. Prai Tenor, Kampot dan di Kg. Prek Sekai, Wilayah Kg Som.

"Sekolah Fardu Ain ketiga di Kg. Tepiang Tepau, Wilayah Kampot, sedang dalam pembinaan," tambahnya.

Memandangkan bekalan air pili yang masih belum menyeluruh, AIS turut menerima sumbangan wakaf untuk membina perigi untuk keperluan seharian dan kemudahan umat Islam beribadat.

Sebanyak 22 perigi berjaya disiapkan di Kg. Prai Tenor, Kg. Mak Prang, Kg. Priang Pring, Kg. Prek Sekai, Dai Reb dan Kg. Keh.

AIS turut menguruskan kerja-kerja pembinaan masjid hasil sumbangan wakaf yang diterima. Setakat ini, enam masjid berjaya disiapkan.

Masjid tersebut adalah empat di Wilayah Kampot iaitu Kg. Priang Pring, Kg. Tedap, Kg. Andong dan Kg. Tepiang Tepau dan masing-masing sebuah di Kampung Kilometer 8, Phnom Penh dan Kg. Dai Reb, Wilayah Koh Kong.

"Kebanyakan masjid ini berharga antara RM30,000 ke RM80,000 sebuah dan boleh memuatkan antara 100 ke 350 jemaah pada sesuatu masa," jelasnya.

Sebuah lagi masjid yang diwakafkan oleh orang Malaysia iaitu Masjid Saadah dan sedang dalam pembinaan di Kg. Kar Khnor, Wilayah Kg Cham.

Imam masjid, Ahmad Abdul Rahman berkata, kos pembinaan masjid itu adalah sekitar RM300,000 dan boleh memuatkan kira-kira 800 ke 1,000 jemaah pada suatu masa.

"Masjid baru ini sebagai menggantikan masjid sedia ada di mana usianya sudah melebihi 100 tahun dan terletak di tebing sungai Mekong," katanya.

Sementara itu, Zamerey berkata, untuk masa depan, AIS mengenal pasti lokasi baru tanah wakaf di Wilayah Kampung Som untuk pembangunan pendidikan.

Katanya, usaha itu perlu kerana keluasan tapak wakaf sedia ada di Kg. Keh, Kampot agak terhad untuk dibangunkan infrastruktur tambahan.

"Tapak baru ini luasnya lapan hektar dan berharga USD8,000 (RM24,000). Tapak ini bakal dibeli dalam tempoh terdekat dan dibangunkan dengan kelengkapan pendidikan yang sempurna," katanya.

Projek fasa kedua ini adalah pelengkap kepada Kompleks Pendidikan di Kg. Keh yang hanya mampu menampung keperluan pelajar sehingga ke tingkatan tiga sahaja.

Zamerey menambah, pihaknya mengalu-alukan sumbangan untuk Dana Kemboja.

Sumbanganboleh disalurkan ke akaun Maybank Islamic (553083023763) atas nama Akademi Imam Syafi'e-Dana Kemboja dan maklumkan tujuan sumbangan melalui e-mel akademimamsyafie@gmail.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: