Tuesday, November 8, 2011

Basket of Brands Bantu Percepat Penguatkuasaan KPDNKK

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDNKK Mohd Roslan Mahayudin (kanan) memeriksa kepingan video cakera padat (VCD) cetak rompak yang dirampas dalam satu operasi.

ANTARA kesukaran yang dihadapi oleh Bahagian Penguatkuasa di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) adalah meneruskan kes-kes rampasan barangan cetak rompak dan barangan tiruan.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana segelintir pemilik jenama atau pemilik cap dagangan enggan memberi kerjasama bagi membuat pengecaman dan pengesahan terhadap barangan yang dirampas.

“Jadi bagaimana kita hendak pastikan sama ada barangan tersebut adalah tiruan atau cetak rompak. Kita tidak boleh mendakwa begitu sahaja tanpa pengesahan mereka.

“Apa gunanya kita tangkap, kita rampas tetapi kes-kes itu ‘terlepas’. Jika situasi ini berterusan maka isu barangan tiruan dan cetak rompak tidak akan selesai,” katanya kepada Mingguan mStar, baru-baru ini.

Sebanyak 1,728 kes cetak rompak dicatatkan dengan rampasan bernilai RM30.42 juta dan 1,353 kes barangan tiruan dengan sitaan kira-kira RM14 juta pada tahun lalu.

Bagi tempoh dari Januari sehingga September tahun ini pula terdapat 457 kes cetak rompak dikesan melibatkan penyitaan barangan bernilai RM9.62 juta.

KPDNKK turut mencatatkan 1,015 kes barangan tiruan dengan nilai rampasan RM10.98 juta.

Beri keutamaan

Ismail Sabri berkata, satu mekanisme baru diperkenalkan iaitu Penyenaraian Pemilik Cap Dagangan Berdaftar atau lebih dikenali sebagai Basket of Brand (BOB).

“KPDNKK akan mendapat kerjasama daripada pemilik jenama dalam tempoh tujuh hari selepas rampasan dibuat oleh bahagian penguatkuasa.

“Jenama yang disenaraikan dalam BOB akan diberikan keutamaan dari segi penguatkuasaan secara proaktif.

“Setakat ini, kira-kira 74 jenama yang disenaraikan,” katanya.

Beliau berkata, bukan bermakna jenama-jenama yang tidak tersenarai dalam BOB bebas ditiru atau dijual.

“KPDNKK masih melakukan penguatkuasaan namun terpulang kepada pemilik jenama yang tidak tersenarai untuk melakukan tindakan sivil.

“Saya percaya BOB membantu menyelesaikan kes-kes berkaitan dengan barangan rampasan agar dapat diselesaikan di mahkamah dengan segera.

“Selain itu, ia turut dapat melancarkan proses penguatkuasaan sekali gus mengurangkan lambakan barangan rampasan di stor penyimpanan,” katanya.

Difahamkan, pemilik jenama di Hong Kong atau wakil mereka datang membuat pengecaman dalam tempoh dua jam selepas rampasan.

Beliau yang mengulas mengenai perkara itu berkata, KPDNKK bersikap fleksibel dan memadai dengan tempoh tujuh hari.

“Kita mahu komitmen yang lebih baik daripada mereka,” katanya.

Kesedaran pengguna

Bagaimanapun, isu kerjasama daripada pemilik jenama bukan masalah tunggal kerana ia turut melibatkan kesedaran pengguna.

Ini kerana pengguna merupakan penyumbang terbesar kepada perniagaan barangan tiruan dan cetak rompak di negara ini.

“Bila ada peniaga yang menjualnya, sudah tentu terdapat permintaan di kalangan pengguna yang hanya mementingkan diri sendiri (kerana membelinya).

“Pengguna seharusnya menyedari hal ini dan sepatutnya bertindak memboikot barangan berkenaan dan hanya membeli barangan yang asli sahaja,” katanya.

KPDNKK pada tahun lalu berjaya mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi 2010 iaitu pengurangan sebanyak 30 peratus bilangan premis yang menjual barangan tiruan dan cetak rompak.

Ismail Sabri berkata, pengurangan 35.4 peratus dicatatkan bagi bilangan premis yang menjual barangan itu daripada 460 premis kepada 297 premis berbanding tahun sebelumnya.

“Saya yakin pelaksanaan BOB turut membantu mencapai KPI tahun ini iaitu pengurangan sebanyak 50 peratus bagi bilangan premis yang menjual barangan tiruan dan cetak rompak,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: