Thursday, November 17, 2011

Bakal gegar tiga negeri

pix_gal0
Konsert Fenomena 30 Tahun Search janji persembahan terbaik

SEMPENA tiga dekad pembabitan kumpulan Search dalam arena seni muzik tanah air, legenda rock ini akan muncul dalam tiga siri konsert mereka, masing-masing di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang, pada 19 November, diikuti dengan Stadium Larkin, Johor Bahru (3 Disember) dan Padang Astaka, Kuala Lumpur (17 Disember).
Konsert berkenaan dianjurkan sebagai penghargaan buat peminat yang sentiasa berdiri di kukuh di belakang Search, menyokong karier muzik kumpulan ini sejak mula diasaskan pada 1981 lagi.
Anggota kumpulan ini sendiri menjanjikan persembahan terbaik buat penyokong kuat mereka, dengan lebih 20 lagu popular bakal dipersembahkan pada konsert terbabit.

Lebih menggembirakan, mereka tidak akan menyampaikan lagu secara medley, bagi memastikan kepuasan maksimum buat penonton.

Bukan sekadar kumpulan berkenaan yang akan menggegarkan konsert terbabit, malah ia turut dihangatkan lagi dengan kemunculan artis dan kumpulan undangan seperti Datuk M Nasir yang bakal muncul di Kuala Lumpur (KL), Sofea (Pulau Pinang), Koffin Kanser (Johor) dan Projek Pistol (KL).

Kumpulan lain yang turut memeriahkan konsert itu nanti ialah Bittersweet dan Pesawat.
Pengacara sampingan konsert terdiri daripada Burn, Nana, Jehan Miskin, Nabil, Angah dan Jep untuk persembahan di Pulau Pinang, sementara Johan pula tampil menghiburkan penonton di Johor dan KL.

Istimewanya juga, konsert terbabit menawarkan tiga kereta Perodua Viva 660 BXA sumbangan penganjur, Oracle Accord, untuk peminat bertuah, manakala setiap penonton yang hadir akan menerima sehelai baju-T eksklusif sebagai cenderamata.

Habuan hebat itu tentu saja menambahkan lagi tarikan untuk peminat menyaksikan persembahan kumpulan legenda ini.

Bagi peminat yang tidak ingin ketinggalan menyaksikan kehebatan Search pada tiga konsert terbabit, mereka boleh mendapatkan tiket di cawangan Petronas yang mengambil bahagian, Rock Corners dan wakil jualan sah yang tersenarai di www.ticketonline.com.my. Peminat juga boleh melayari laman rasmi konsert di www.facebook.com/search30.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: