Monday, November 7, 2011

AIM lancar Strategi Inovasi Nasional


Kemahiran dan pengetahuan luas disamping tenaga kerja yang mencukupi juga dapat menjamin pengembangan budaya inovasi selaras dengan kemajuan negara. - Gambar hiasan


BAGI mencapai cita-cita menjadi negara maju pada tahun 2020 pastinya sektor pembangunan dan pengembangan teknologi perlu dititikberatkan.

Seiring dengan kemajuan yang semakin berkembang pesat di negara maju, Malaysia juga tidak seharusnya ketinggalan malah perlu bergerak dengan lebih pantas.

Justeru itu, kerajaan di bawah Agensi Inovasi Malaysia (AIM) telah mewujudkan pelan khas bagi mempromosikan inovasi sebagai komponen penting dalam memacu Malaysia ke arah Wawasan 2020.

Dikenali sebagai Strategi Inovasi Nasional (NIS), ia akan dijana oleh AIM, sebuah badan berkanun yang ditubuhkan oleh Parlimen untuk menguatkan ekosistem inovasi negara.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif AIM, Datuk Dr. Kamal Jit Singh, pelan tersebut dapat memastikan agar negara dapat menjana pendapatan dan kekayaan dalam pelbagai aliran melalui inovasi.

"Untuk mencapai matlamat ini, AIM akan melaksanakan NIS melalui tiga teras utama di mana setiap teras dibahagikan kepada tiga mekanisma," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pengumuman NIS kepada media di Cyberjaya, Selangor baru-baru ini.

Jelas Kamal, tiga teras utama tersebut bermula daripada usaha untuk memperkukuhkan asas inovasi melalui pembinaan Kemahiran Masa Hadapan Hari Ini.

"Untuk membina tenaga kerja masa hadapan yang mempunyai kemahiran , kualiti dan kebolehan untuk menghasilkan inovasi ia perlu dimulakan hari ini," katanya.

'Futureskills' ini membolehkan rakyat menjadi lebih kritikal, analitikal, konstruktif dan kreatif apabila mereka memasuki pasaran kerjaya.

Seterusnya berusaha memupuk dan membangunkan modal intelek baru seperti mentransformasikan pengurusan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D).

NIS akan mengenalpasti penyelidikan yang mempunyai potensi nilai komersial dan menghasilkan kekayaan melalui komersialisasi.

Ia dapat dijalankan melalui Model Quadruple Helix yang melibatkan empat pihak iaitu para akademik, industri, kerajaan, dan rakyat dalam projek-projek inovasi.

Selain itu, NIS juga akan mewujudkan saluran pelaburan yang berpanjangan untuk inovasi bertujuan memastikan hanya inovasi dan aplikasi yang terbaik dan meyakinkan akan diberi pembiayaan awam.

"Ini adalah satu amalan normal di negara-negara yang mempunyai inovasi yang berjaya, di mana sumber wang hanya akan dibelanjakan untuk aplikasi yang bermanfaat.

"AIM akan menyelaraskan operasi agensi-agensi pembahagian pembiayaan ini," kata Kamal Jit.

Teras kedua adalah untuk mengerakkan pemangkin menggunakan platform teknologi dan ICT dalam meningkatkan sistem penyampaian.

Di bawah teras kedua ini ia turut melibatkan rakyat melalui teknologi informasi sekali gus untuk menghubungkan pihak industri dan pusat penyelidikan.

Ia bertujuan agar pihak industri sentiasa mendapat maklumat terkini berkenaan sebarang penyelidikan di universiti dan pusat penyelidikan awam (PRI) agar ia dapat dikomersialkan dengan pantas.

Terakhir adalah teras ketiga iaitu memupuk semangat cemerlang melalui penubuhan PRI dan Pusat Kecemerlangan Bertaraf Dunia (COE) di dalam bidang yang lebih khusus.

"NIS mensasarkan 33 buah PRI yang menyelesaikan apa jua isu pentadbiran untuk membolehkan mereka menjadi lebih relevan kepada semua yang mempunyai kepentingan dalam bidang inovasi," ujar Kamal Jit.

NIS juga akan menggalakkan firma agar lebih fokus ke atas bidang di mana mereka mempunyai kelebihan kompetitif dan mampu bersaing dipasaran terbuka biarpun tanpa bantuan kerajaan.

"Syarikat-syarikat 'middle tier' akan digalakkan untuk menjadi pemangkin kepada pembangunan jika inovasi diterapkan didalam 'value chain' mereka," katanya.

AIM akan menjadi fasilitator atau pemangkin namun syarikat-syarikat ini harus menjana sumber pendapatan daripada inovasi yang dihasilkan melalui kebolehan mereka sendiri.

Terakhir adalah untuk merangsang rakyat agar berusaha sebaik mungkin dalam bidang inovasi melalui pemberian ganjaran.

Di bawah NIS, cabaran di peringkat kebangsaan, sektor khusus dan khas akan diadakan bagi merangsang budaya inovasi di kalangan rakyat negara ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: