PTPTN

TEMERLOH - Seramai 69,573 pelajar yang meminjam dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), telah diperintah agar membayar balik pinjaman mereka oleh mahkamah sehingga Oktober lepas.

Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohamad Said berkata, jumlah itu antara 104,083 peminjam disaman kerana gagal menjelaskan pinjaman mereka.

“Tindakan mahkamah ini terpaksa dilakukan setelah pelajar terbabit gagal membayar balik pinjaman, walaupun selepas dihubungi dan diberikan peringatan berkali-kali oleh PTPTN,” katanya selepas menghadiri majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Bee Yong, Kerdau, semalam.

Ismail, yang juga Ahli Parlimen Kuala Krau berkata, sehingga September lepas, PTPTN hanya berjaya me-mungut RM2.74 bilion iaitu 48.34 peratus berbanding RM6.2 bilion, jumlah sepa-tutnya diperoleh.

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 8,143 pelajar disenarai hitam Jabatan Imigresen membayar balik pinjaman mereka membabitkan kutipan kira-kira RM146 juta.

Katanya, jumlah itu masih rendah berbanding 132,801 pelajar disenarai hitam dan tidak boleh keluar negara kerana tidak menjelaskan pinjaman.

Sementara itu, beliau berkata, Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) kini mencecah RM456.02 juta membabitkan 1.03 juta pe­nyimpan sehingga 30 September lepas.