Wednesday, November 2, 2011

12 ekor tenggiling dirampas


SEBAHAGIAN tenggiling yang dirampas dalam serbuan di Lebuhraya Timur-Barat, Gerik, Perak Sabtu lalu.


GERIK 1 Nov. - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri menahan dua lelaki dan merampas 12 ekor tenggiling bernilai RM50,000 yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran di Lebuhraya Timur-Barat, dekat sini, awal pagi Sabtu lalu.

Dalam kejadian pukul 4 pagi itu, enam pegawai penguat kuasa Perhilitan mengekori kereta dinaiki dua lelaki sebelum menahannya di Bersia.

Pengarah Perhilitan negeri, Shabrina Mohd. Shariff berkata, kedua-dua suspek cuba melarikan diri sehingga memaksa pegawai penguat kuasa mengejar kenderaan terbabit sejauh kira-kira 20 kilometer.

Katanya, pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut menemui 12 ekor tenggiling disorokkan di dalam but belakang kereta berkenaan.

"Siasatan awal mendapati semua tenggiling berkenaan dibeli daripada penduduk sekitar Kelantan dan dibawa ke utara tanah air untuk dihantar ke pasaran luar," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Shabrina, pihaknya percaya haiwan itu hendak dijual ke negara jiran ekoran permintaan tinggi bagi sajian atau perubatan tradisional.

Kedua-dua suspek kini direman dan disiasat mengikut Seksyen 68(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: