Saturday, February 19, 2011

Usahawan BSN ke Hong Kong, China


JOANNITA ZALEHA (tengah), Hafreez Aizat (tiga dari kiri), Siti Nurulzulhijah (tiga dari kanan) bersama para pelajar yang terpilih dalam program Bank Simpanan Nasional (BSN) - SVC di Wisma BSN, Jalan Ampang baru-baru ini.


BANK SIMPANAN NASIONAL (BSN) berjaya membuktikan bahawa institusi kewangan juga mempunyai tanggungjawab dalam melahirkan para usahawan di kalangan graduan.

BSN menawarkan hadiah bernilai RM150,000 untuk siri kedua cabaran Usaha Niaga Sosial Antara Universiti (SVC) iaitu pertandingan yang memerlukan penuntut universiti mengemukakan cadangan beserta pelan program perniagaan yang mampu memberi impak positif dan manfaat kepada orang ramai.

Pada program yang julung-julung kali diadakan pada tahun lalu, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dinobatkan sebagai juara, sekali gus membawa pulang sebuah trofi pertandingan, wang tunai berjumlah RM25,000 dan sijil penghargaan.

Lebih menggembirakan, dua pelajar terbaik dari program tersebut terpilih untuk menghadiri Program Kepimpinan Remaja di Hong Kong dan China pada 14 hingga 16 Februari ini.

Siti Nurulzulhijah Kamaruddin, 21, daripada pasukan UMT dan naib johan, Hafreez Aizat Hasni, 23, dari Universiti Teknologi Petronas (UTP) pertandingan SVC 2010 dipilih mewakili negara menyertai program selama dua hari itu.

Siti Nurulzulhijah pelajar tahun akhir Fakulti Sains dan Teknologi UMT gembira dengan pemilihannya menyertai program kepimpinan remaja (YLP) itu.

Dalam pertandingan BSN SVC tahun lalu, Siti Nurulzulhijah dan pasukannya memberi cadangan perniagaan untuk meningkatkan pendapatan pengumpul gula nira di kampung-kampung dengan mempelbagaikan penggunaan produk itu dalam mufin, jem, jeli dan makanan lain.

"Memang ramai yang bertanya rahsia kejayaan kami yang tidak mempunyai latar belakang kursus perniagaan atau ekonomi mengetengahkan pelan perniagaan keusahawanan.

"Semua yang kami peroleh adalah hasil kerjasama dan bimbingan daripada dekan fakulti kami selaku penasihat.

"Selepas tamat pengajian nanti kami dengan bantuan BSN akan cuba meyakinkan syarikat atau agensi swasta untuk menyokong projek kami," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di Wisma BSN, Ampang baru-baru ini.

Dalam pada itu, Hafreez Aizat menjelaskan, pemilihannya mewakili negara ke program YLP turut tidak dijangka sama sekali.

"Kami hanya memenangi tempat kedua sahaja dalam pertandingan SVC 2010. Mungkin persembahan saya dalam sesi soal jawab dapat memenangi hati juri sekali gus menyebabkan saya dipilih menyertai program selama dua hari itu," katanya.

SVC kini merupakan acara tahunan BSN. Pada tahun ini pertandingan tersebut melalui beberapa perubahan konsep dan idea.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan merangkap Ketua Jabatan perkhidmatan Korporat BSN, Joannita Zaleha Yusof berkata, pertandingan SVC bagi tahun ini akan dilancarkan pada Mac ini.

"Tahun ini kita akan membawa idea baru pada SVC bagi memastikan ia mencabar selain memastikan pelan projek perniagaan yang dihasilkan oleh pelajar-pelajar ini dapat diimplementasi di pasaran.

"Kali ini, kita menyasarkan penyertaan yang lebih banyak berbanding tahun lalu iaitu 37 daripada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan dua dari institusi pengajian swasta (IPS).

"Kami juga menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM150,000 dan piala," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: