|
|
MEMULAKAN kariernya sebagai pengarah filem bermula tahun 2004 menerusi filem Buli, Afdlin Shauki memang cukup sinonim dengan genre komedi.
Genre yang dipertaruhkan Afdlin itu ternyata berjaya meletakkan dirinya sebagai salah seorang pengarah filem generasi baru yang berada di dalam kelasnya yang tersendiri.
Komedi yang dihasilkannya bukanlah komedi murahan, slapstik dan menjelikkan penonton seperti mana yang terlalu kerap dihidangkan. Sebaliknya, Afdlin memberikan sesuatu yang baru kepada audiens tanpa perlu memaksa mereka ketawa mengikut rentak jalan ceritanya.
Selain Buli, filem-filem Afdlin yang lain seperti Baik Punya Cilok, Sumo-Lah, Los dan Faun, Papadom, My Spy dan Appalam semuanya sukses di panggung dan juga meraih pengiktirafan di acara anugerah berprestij di negara ini.
Memang sedari awal menceburkan diri dalam bidang pengarahan filem, anak kelahiran Johor Bahru, Johor ini cukup selesa dengan genre komedi yang bagaikan sudah menjadi cop mohornya.
Sehinggalah apabila Afdlin memberanikan dan mencabar dirinya untuk mengarahkan filem bercorak cinta yang sememangnya bukan makanan ruji Afdlin.
Baginya, filem cinta adalah sesuatu yang klise dan tiada apa yang menarik untuk diceritakan kerana ia pasti akan menjadi sebuah cerita cinta biasa seperti mana yang kerap dimomokkan kepada penonton selama ini.
Namun, pandangan Afdlin perlahan-lahan berubah apabila dia membaca skrip filem Untuk Tiga Hari yang baginya merupakan sebuah naskhah yang tidak patut dilepaskan begitu sahaja.
Tawaran daripada pihak Tarantella Pictures begitu sukar untuk ditolaknya kerana merasakan inilah masanya untuk dia mencuba sesuatu yang baru dan belum pernah diterokainya selama bergelar seorang pengarah.
Kalau ditanya kepadanya, dengan jujur Afdlin memberitahu selain genre komedi, dia juga merupakan peminat tegar filem-filem bercorak fantasi seperti siri trilogi The Lord of the Rings.
Kerana itu jugalah, dia sendiri tidak menyangka akhirnya dia mengarahkan filem cinta pertamanya selepas hampir sedekad menceburkan diri dalam bidang pengarahan filem.
"Bagi saya, Untuk Tiga Hari sebuah naskhah yang bukan memaparkan kisah cinta biasa seperti mana yang sudah ditonton sebelum ini kerana ia memaparkan kisah yang sedikit pelik.
"Pelik di sini menceritakan tentang bagaimana dua pasang kekasih yang terpaksa berkahwin dengan pilihan orang tua dan memutuskan untuk bercerai selepas tiga hari mereka mendirikan rumah tangga.
"Dalam tempoh tiga hari itu juga, mereka mula sedar bahawa itulah jodoh yang terbaik buat mereka seperti mana yang telah ditentukan oleh Allah SWT.
"Daripada naskhah itu, ia telah membuka hati saya untuk mengarahkan filem cinta yang sebelum ini tidak pernah menjadi pilihan saya," ujar Afdlin atau nama sebenarnya, Afdlin Shauki Aksan ini memberikan pandangannya.
Pengarah kreatif ini ditemui pada hari terakhir penggambaran filem Untuk Tiga Hari di Rawang, Selangor, baru-baru ini.
Untuk Tiga Hari merupakan sebuah kisah yang diadaptasi daripada salah sebuah novel terlaris tulisan Ahadiat Akashah yang juga penulis bagi novel Lagenda Budak Setan.
Untuk pengetahuan, Tarantella Pictures juga merupakan syarikat produksi yang bertanggungjawab mengadaptasi novel Lagenda Budak Setan sehingga menjadi salah sebuah filem tempatan terlaris sepanjang tahun lalu.
Selain mengarah, Afdlin juga bertindak sebagai salah seorang pelakon utama dalam filem ini di samping Rashidi Ishak, Vanidah Imran dan Ayu Raudhah.
Memantapkan lagi filem ini, ia turut dibarisi ramai pelakon popular lain seperti Dira Abu Zahar, Zizan Nin, Ainul Aishah, Nabil Ahmad, Zizan Raja Lawak, Fauziah Ahmad Daud, Zaibo, Khatijah Tan dan Atilia.
Menyambung bicara, bukan mudah Afdlin untuk mengarahkan sebuah filem cinta seperti Untuk Tiga Hari yang disifatkannya cukup mencabar terutama untuk membangkitkan emosi serta penghayatan dan persembahan para pelakonnya
"Tetapi, Alhamdulillah kerana setiap pelakon tahu apa yang diinginkan oleh skrip dan mereka juga memberikan apa yang saya mahukan sebagai seorang pengarah.
"Sepanjang 43 hari menjalani penggambaran, ia merupakan satu pengalaman yang cukup berharga dan tidak mustahil untuk saya mengarahkan filem cinta selepas ini seandainya skrip serta jalan ceritanya menarik," ujar pelakon filem Sepi dan Setem ini penuh teruja.
Biarpun Untuk Tiga Hari merupakan sebuah adaptasi, Afdlin memberitahu dia tidak mengambil bulat-bulat kisah dari novel itu.
Sebaliknya, dia melakukan sedikit rombakan sebanyak 40 peratus dan selebihnya adalah jalan cerita yang asal.
Walau bagaimanapun jelas Afdlin, perubahan itu langsung tidak menjejaskan jalan cerita. Sebaliknya, dia mahu mencantikkan dan mengemaskan lagi naskhah itu menjadi sebuah filem yang mampu meninggalkan kesan.
Dalam masa yang sama juga, Afdlin melahirkan rasa bertuahnya kerana dapat bekerjasama dengan muka-muka baru yang belum pernah berlakon di bawah arahannya sebelum ini.
"Salah seorangnya ialah Fauziah Ahmad Daud yang pertama kali membintangi filem arahan saya dan begitu juga dengan nama-nama lain seperti Dira, Zizan Nin dan Atilia.
"Apa yang boleh saya katakan, filem ini juga menghimpun ramai nama-nama popular dan ini merupakan gabungan pelakon popular teramai untuk sebuah filem arahan saya.
"Menariknya juga, pelakon yang cukup sinonim dengan genre komedi seperti Nabil dan Zizan Raja Lawak lari daripada genre itu apabila mereka mencuba watak yang sedikit serius.
"Kalau ada sentuhan komedi pun, ia jauh berbeza dengan apa yang pernah saya tampilkan dalam filem-filem saya sebelum ini. Itu menjadikan Untuk Tiga Hari unik dan lain daripada yang lain," kata Afdlin yang merupakan pemenang anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia sebanyak tiga kali ini lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: