Friday, February 18, 2011

Suria FM Tidak 'Pancing' Johan (Raja Lawak)

Johan (Raja Lawak)

PETALING JAYA: Desas-desus stesen radio Suria FM akan “memancing” pelawak Johan (Raja Lawak) sebagai penyampai baru stesen radio itu dinafikan oleh Ketua Pegawai Penyiaran Suria FM, Yusri Abu Samah.

Yusri berkata, perkara tersebut merupakan cerita lama dan telah kedengaran sebelum mereka mengambil Sharifah Shahirah (Shira) sebagai penyampai baru untuk segmen pagi Breakfast @Suria.

“Saya akui Johan pernah di senarai pendek sebagai penyampai baru Suria FM dan kami juga ada berjumpa dan berbincang dengannya tentang hal ini.

“Namun begitu kami telah memilih Sharifah Shahirah kerana dia menepati ciri-ciri yang kami cari. Selain Johan, Zizan Raja Lawak juga antara selebriti yang di senaraikan,” ujarnya ketika dihubungi mStar Online, di sini, bagi mengulas gosip menerusi ruangan pojok di sebuah akhbar berhubung perkara tersebut.

Tambah Yusri pemilihan Shira adalah berdasarkan karisma dan sikap versatil yang ada pada pengacara tersebut, selain memberi keseimbangan pada aura lelaki Zizi dan Halim pada segmen pagi.

“Semasa buat pemilihan ini kami memang mencari seorang pengacara yang boleh berlawak bagi menceriakan suasana pagi.

“Dan setelah membuat beberapa penilaian, kita lihat Sharifah Shahirah sebagai calon yang tepat terutama untuk bergandingan dengan Zizi dan Halim sebagai “The Kerinting 3,” ujarnya.

Dalam pada itu, Yusri turut memberitahu tiada sebarang perancangan bagi menambah penyampai dalam stesen radio tersebut terutama di kalangan artis.

“Setakat ini tiada sebarang perancangan untuk menambah bilangan penyampai Suria FM. Cukuplah dengan barisan yang sudah ada ini dan kita lihat bagaimana perkembangannya,” ujar Yusri.

Mengulas tentang gandingan ‘The Kerinting 3’, Yusri memberitahu sudah menampakkan keserasian antara ketiga-tiga penyampai itu.

“Perkembangan yang baik sejak dari awal kehadiran Shira, kami sedar dia mampu membawa pengikutnya dan penambahan bilangan pendengar.

“Kami menerima maklum balas yang positif dari pendengar tentang segmen pagi terutamanya melalui Facebook dan khidmat pesanan ringkas (SMS),” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: