SEBUT sahaja pemilik nama Stephen Rahman-Hughes, pastinya umum sudah mengenali sosok gagah yang sering memegang watak sebagai pahlawan yang cukup berkesan dalam sanubari.
Dia yang mula menyinari persada seni tanah air dengan memegang karakter sebagai jelmaan Laksamana Hang Tuah moden menerusi pementasan Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM) di Istana Budaya terus mendapat perhatian.
Meskipun sukar untuk berbahasa Melayu dengan fasih, rezeki kerjaya sebagai pelakon tetap dihujani dengan tawaran hebat.
Wajahnya yang kacak dan bakat yang dimiliki merupakan pakej lengkap untuk Stephen. Potensinya dalam industri hiburan sekali lagi membuka mata penerbit filem KRU Studios Sdn. Bhd. untuk menjadikan Stephen sebagai pemegang watak utama filem Hikayat Merong Mahawangsa.
Jarang sekali berada di Malaysia, kesempatan bersua dengan jejaka kacukan Inggeris-Melayu selepas tayangan dokumentari Hikayat Merong Mahawangsa di pawagam Tanjong Golden Village (TGV) Kuala Lumpur City Centre (KLCC) semalam, memberi peluang untuk bertanyakan perkembangan peribadinya.
Ini kerana khabarnya Stephen yang cukup berahsia tentang umurnya ini sudah menamatkan zaman bujangnya. Adakah dia juga mahu merahsiakan tentang status terkini dirinya?
Kosmo!: Benarkan anda sudah mendirikan rumah tangga?
STEPHEN: Ya (sambil tersenyum). Saya berkahwin pada bulan September tahun lalu. Majlis perkahwinan berlangsung di Tuscany, Itali dengan dihadiri oleh keluarga terdekat kedua-dua belah pihak sahaja.
Siapakah wanita yang berjaya mencuri hati anda?
Dia seorang wanita bernama Anjali Mehra Hughes. Kerjayanya bukan seorang pelakon tetapi penari dan koreografer. Dia berdarah kacukan. Bapa Anjali berasal dari New Delhi, India manakala ibunya pula berbangsa Inggeris.
Bagaimana terdetik untuk menjadikan Anjali sebagai isteri?
Kami telah berkawan dan mengenali antara satu sama lain selama lapan tahun. Kami tidak bercinta, tidak mempunyai sebarang hubungan yang eksklusif, tetapi dia sering ada di sisi bila saya memerlukan.
Saya langsung tidak terfikir dan mempunyai peluang untuk serius dengannya memandangkan kami sibuk dengan kerjaya masing-masing.
Lagipun dengan jadual kerja yang ketat dan sering berjauhan membuatkan hubungan itu masih kekal sebagai kawan. Namun, mungkin disebabkan sudah mengenali hati budi membuatkan saya selesa untuk jadikannya sebagai teman hidup.
Adakah anda gembira dengan kehidupan sekarang?
Sudah tentu kerana saya tidak lagi keseorangan. Sudah tiba masanya saya mempunyai seorang isteri untuk memperlengkapkan lagi perjalanan kehidupan saya.
Dia juga akan datang ke Malaysia untuk tayangan perdana filem Hikayat Merong Mahawangsa Mac nanti.
Berapakah usia Anjali?
Itu rahsia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: