Monday, February 7, 2011

Sitkom sindiran positif


AKSI Sabri Yunus (kanan) sebagai Pak Itam menyuntik elemen komedi dalam Moh Ke Kafe Kita.


BERLATAR belakang persekitaran Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sepenuhnya, sitkom berjudul Moh Ke Kafe Kita yang menggunakan medium Kafe Iktiraf tidak dinafikan akan mencetus sedikit sensasi apabila ia dilihat mempunyai sindiran dengan cara tersendiri buat golongan peneroka.

Biar apa jua tanggapan, hakikatnya, sitkom terbitan rumah produksi, Serangkai Filem Sdn. Bhd. itu berperanan memberi imej positif mengenai Felda dan komitmen peneroka menjana pembangunan negara selain mempersembah hiburan buat penonton.

Menyerapi semangat konsep 1Malaysia, Moh Ke Kafe Kita turut dibikin bagi mengikis tanggapan negatif segelintir pihak yang berniat jahat ingin meruntuhkan institusi tersebut.

Menjelaskan perkara itu, penerbit Moh Ke Kafe Kita, Habsah Hassan mengaku pihak produksi tidak melihat sebarang isu yang boleh menyinggung perasaan atau sensitiviti warga Felda kerana pengolahan setiap episod sitkom tersebut sifatnya terangkum umum.

"Kalau sudah namanya manusia, pasti ada kelemahan di sana sini. Tetapi, setiap episod yang cuba diketengahkan pada sitkom ini adalah hakikat. Tidak hanya berlaku di Felda, tapi boleh dihadapi di mana-mana.

"Jika tiada sebarang mesej, kalau macam itu nampaknya tiada drama. Tidak menarik sesebuah cerita dipertontonkan sebagai putih semata-mata. Ini sebenar kehidupan kita," jelasnya ketika ditemui pada pelancaran sitkom itu di Restoran Puteri di ibu negara baru-baru ini.

Turut hadir pada pelancaran program cetusan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu ialah Penolong Pengarah Kanan Komunikasi & Maklumat Seranta (Felda), Jabatan Perdana Menteri, Zamsari Jumani dan pengarah sitkom tersebut, Othman Hafsham.

Menceritakan awal pembikinan Moh Ke Kafe Kita, Habsah bersama panel sitkom tersebut dan Othman pada mulanya menyediakan konsep dan fokus diingini sebelum menyiapkan kertas cadangan untuk ditunjukkan kepada pihak Felda.

"Kami cukup bertuah kerana menerima khidmat nasihat dan tunjuk ajar daripada Pengarah Seranta (Felda), Noor Ehsanuddin Mohd. Harun Narrashid tentang penyediaan keseluruhan Moh Ke Kafe Kita yang menggunakan medium Kafe Iktiraf serta mempertaruhkan unsur humor.

"Enggan penonton bosan, kami bersepakat menampilkan variasi topik pada setiap episod termasuk soal kemanusiaan. Selain itu, kami sedaya upaya ingin berkongsi cerita peneroka Felda yang telah lama mengalami peningkatan taraf hidup.

"Secara tidak langsung, masyarakat dapat menyaksikan sendiri sama ada golongan peneroka Felda mula berubah sikap selepas mengecap kesenangan atau masih sarat dengan pemikiran sama seperti semasa awal menetap di penempatan itu," ungkap Habsah panjang lebar.

Berpengalaman mewujudkan sitkom menjadi sebutan ramai suatu ketika dahulu, Pi Mai Pi Mai Tang Tu sekitar 18 tahun lepas, Othman Hafsham enggan menipu diri tentang gemuruh yang bersarang di jiwa tatkala menggarap naskhah Moh Ke Kafe Kita awal November lalu.

"Sejujurnya, saya agak berdebar apabila hendak mengarah sitkom ini. Kita tidak tahu sebab benda kreatif kebiasaan terpulang kepada penerimaan penonton. Yang pasti, ada pihak menjangkakan kualiti saya seperti menghasilkan Pi Mai Pi Mai Tang Tu.

"Tetapi, lebih baik penggiat seni terutama pelakon kena ada perasaan debaran ini. Kalau terlebih yakin, saya percaya, hasilnya kurang bagus. Lantaran itu, saya mengarah secara santai tanpa menganggap ia sebagai pekerjaan bagi memberi impak buat sitkom ini," terangnya.

Sementara itu, Sabri Yunus yang menerajui karakter Pak Itam meluah keterujaan ditawarkan kesempatan terlibat dalam Moh Ke Kafe Kita bersama Habsah dan Othman serta disatukan dengan rakan-rakan pelakon senior dan baru dalam industri seni tanah air.

"Biarpun awal-awal lagi tahu berlakon dalam sitkom agak terkejar-kejar dan memerlukan sepenuh komitmen, ia bagaimanapun memberi pengalaman berharga kepada saya.

"Paling penting, saya ingin beritahu di sini, walaupun sitkom ini berlatar belakang Felda, ia sebenarnya tidak hanya disasar kepada penonton Felda. Senang cerita, ia bersifat umum," luah Sabri bersungguh.

Selain Sabri, Moh Ke Kafe Kita turut dibintangi oleh Sheila Mambo yang memegang watak Mak Itam, Bea Rameshan (Melati), Maya (Ija), Yus Raja Lawak (Ujang), Pak Lah Cecupak (Pak Imam), Lan Zailan (Yeob Kasim), Munir (Alang), Julia Hana (Freeda) dan Gana (Muthu).

Bersiaran sebanyak 13 episod, Moh Ke Kafe Kita yang menggunakan studio Universiti Multimedia Cyberjaya sebagai lokasi rakaman mula ditayangkan di televisyen sejak 18 Januari lalu di TV3 setiap hari Selasa, Rabu dan Khamis pukul 10.30 pagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: