![]() |
| Barisan pelakon Siti Zulaikha, (dari kiri) Roy Sayan, Ani Maiyuni, Pool, Azza AF dan Khaty Azean. |
TIDAK seperti rakan artis lain, baru setahun jagung menceburkan diri dalam bidang lakonan terus diberi peluang menjadi pengarah.
Lain halnya dengan Raja Azrey atau Raja Azri Raja Kamaruzzaman, 33, yang sudah 14 tahun bergelar pelakon, baru kali ini diberi ruang menunjukkan bakat sebagai pengarah.
Bukan drama atau filem yang bakal menguji kebolehan Raja Azrey sebagi pengarah tapi teater bangsawan, Siti Zulaikha, yang bakal dipentaskan secara percuma pada 26 dan 27 Februari ini di Auditorium Taman Budaya Negeri Melaka, Ayer Keroh, Melaka.
Kata Raja Azrey, kesempatan itu diberi oleh Pertubuhan Teater Klasik Perak setelah rancangan untuk berlakon dengan teater tersebut tidak terlaksana sebelum ini.
"Saya tidak fikir lama apabila ditawar mengarah bangsawan Siti Zulaikha ini. Pada saya inilah masanya untuk saya melangkah setapak lagi dalam bidang seni.
"Memang berdebar kerana Siti Zulaikha merupakan projek pertama dan saya harap ia mampu menjadi platform untuk saya terus melebarkan saya sebagai pengarah seperti orang lain," katanya.
Beliau yang ditemui pada sidang akhbar Siti Zulaikha di Mini Auditorium, Matic, Kuala Lumpur, baru-baru ini berkata, kebanyakan pelakon yang dipilih untuk bangsawan ini pernah berlakon bersamanya.
Raja Azrey yang sering berpasangan dengan penyanyi dan pelakon Ani Maiyuni dalam beberapa siri pentas lakonan berkata, bekerjasama dengan barisan pelakon yang biasa memudahkan kerjanya.
"Bila sudah pernah berlakon bersama, mereka tahu apa kehendak saya dan ia memudahkan saya untuk menumpukan perhatian pada arahan," katanya.
Menurut Azrey, untuk permulaan semua pelakon menjalani latihan empat kali seminggu dan selepas itu barulah mereka melakukan latihan dengan iringan muzik.
Untuk teater durasi persembahan selama dua jam itu, sebanyak lapan lagu bakal diperdengarkan, di mana dua daripadanya adalah lagu baru, Keluh Zulaikha dan Joget Raja.
Pool belajar dari CD
Besar tanggungjawab yang perlu dipikul oleh deejay Pool atau nama sebenarnya, Syaiful Bahrin Ahmad Dolbar, 37, untuk watak Sultan Zainal Ulung.
Bangsawan Siti Zulaikha merupakan pementasan pertama Pool yang sebelum ini pernah muncul dalam filem Kemarau Cinta (2005) sebagai hero bersama Nasha Aziz.
Bagi memastikan watak sultan dapat dilakukan dengan berkesan, Pool memberitahu yang beliau telah membelanja kira-kira RM450 untuk membeli cakera padat (CD) lama cerita bangsawan.
"Saya beli CD lama untuk lihat dan kaji watak sultan agar memudahkan lakonan saya nanti. Walaupun pertama kali berlakon bangsawan, saya tidak rasa tertekan sebaliknya berterima kasih kepada pengarah kerana memberi saya kesempatan untuk mencuba bidang baru ini," katanya.
Menurut Pool, Siti Zulaikha merupakan platform untuknya meraih kepercayaan daripada pengarah lain untuk muncul dalam pementasan kedua kelak.
Selain berlakon, Pool yang terikat dengan rutin harian sebagai deejay di stesen radio KLFM, juga aktif sebagai penyanyi bersama Kumpulan Awan.
Katanya, Awan akan tampil dengan album baru dan setakat ini sudah ada lima lagu dan salah satu lagu yang bakal dimuatkan dalam album tersebut adalah lagu dendangan kumpulan Junction.
"Sekarang ini Awan dalam proses mengumpul material. Selain sibuk dengan album, saya juga tidak menolak jika ada tawaran berlakon.
"Tugas sebagai dee jay tidak menghalang saya aktif dalam seni. Selagi saya minat dengan perkara-perkara yang dilakukan, masa bukan penghalang kerana saya dapat mengaturnya dengan baik," katanya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: