Sunday, February 20, 2011

Siti Saleha dahagakan publisiti




DI pangkal pengenalannya, terhias nama anak kacukan ini sebagai Siti Saleha. Sebagai penyuluh aksi, kelibatnya menjengah ke mata ramai sebagai gadis penyeri iklan komersial.

Dari satu titik kecil, dia menjadi putik yang sedang berkembang. Benang sari daripada kelopaknya mulai manis di mata ramai, lantas satu demi satu peluang diraih.

Dalam tempoh dua tahun, wanita yang mesra dibahasakan Siti itu sedang enak menggilap tumpuan.

Hasilnya sudah disaksikan menerusi Habil dan Qabil, Awan Dania, Ustaz Amirul dan terbaru Sudu dan Garpu.

Kerdipan populariti sudah terbias ke wajahnya dan Siti harus bersedia privasinya tidak seperti dahulu.

"Soal populariti itu, kalau boleh saya mahu lebih dikenali dan biarlah populariti itu datang daripada hasil kerja bukan daripada kisah peribadi yang digembar-gembur," katanya.

Hati sudah dimiliki

Tidak perlu menipu diri, menolak populariti dengan alasan bekerja untuk seni, Siti menambah: "Sebagai artis populariti itu penting, fotografi dan publisiti itu juga penting untuk artis baru seperti saya.

"Tahun ini, fokus saya lebih besar. Jika ada peluang, saya teringin ke layar perak.

"Tapi kalau belum ada yang nampak kemampuan saya, saya tetap akan berusaha kerana lakonan sudah menjadi cinta saya."

Tanpa menunggu banyak waktu, hati wanita berdarah campur Melayu-Inggeris ini dirisik soal hati.

Jika lakonan sudah menjadi cinta, bagaimana pula dengan si jantung hati.

Tidak sekadar menembak secara rawak, nama pemain bola pasukan Sabah, Syed Adney Syed Hussin yang juga bekas pemain skuad Kelantan dibidik menjadi peluru.


MENARUH harapan untuk muncul di layar perak, Siti Saleha juga tidak mahu ketinggalan dalam bidang akademik.


Tersenyum sedikit kelat oleh soalan yang tidak diundang, Siti cuba menjadi natural. Pada awal perkenalan kepada privasi yang kian terhakis, dia cuba menjadi sejujur mungkin.

"Memang dulu saya dan Syed Adney pernah rapat, saya dah lama mengenalinya tetapi sekarang kami kawan biasa sahaja.

"Lagipun saya sudah ada teman lelaki," satu pengakuan tulus terluah daripada bibirnya.

Jiwai watak isteri

Sekali lagi Siti membuat percaturan, kalau boleh biarlah kisah peribadi ditolak ke tepi sementara fokusnya mahu melebarkan nama di bidang lakonan.

"Tapi saya tidak mahu berbohong apabila ditanya tentang teman lelaki. Ya, saya sudah berteman tetapi tidak perlulah ia menjadi bahan publisiti.

"Lagipun dia bukanlah artis," beritahu Siti sedikit bayangan gerangan pemilik cintanya.

Menurutnya, si dia yang dimaksudkan itu juga anak kacukan sepertinya.


KEMASUKKAN Siti Saleha ke dalam sinema tempatan menambahkan lagi warna wajah-wajah kacukan sedia ada. Biarlah, wajah cantik serta pakej fizikalnya setanding bakat. Itu sahaja yang menanti untuk dibuktikannya.


Entah kenapa kata Siti, secara tanpa sedar, pandangannya mudah tertarik kepada lelaki berdarah campur.

Apabila perihal personal semakin digali, nada suaranya sedikit gusar, barangkali memikirkan impak di hari depan. Siti masih berpegang kepada prinsip menjual bakat.

Fikirannya berputar terhadap senario semasa, tentang kisah panas yang kerap membabitkan selebriti.

Kepada dirinya, si Saleha ini mahukan ruang yang lebih besar, ruang untuk bekerja bersama nama-nama besar, pengarah, pelakon mahu naskhah yang punyai harga di mata khalayak.

"Industri ini sangat kompetitif apatah lagi ada ramai wanita yang cantik-cantik, saya pilih untuk dikenali kerana bakat tetapi tidak menolak bahawa gosip mahupun cerita sensasi boleh menyumbang 'sesuatu' kepada seseorang artis itu.

"Cuma, saya tidak mahu terganggu oleh perkara sebegitu," pintanya seolah-olah mahu menoktahkan cerita tentang kisah peribadi.

Sedang mengepung emosi dengan watak isteri dalam sebuah drama bersiri, Kasih Yang Suci, adik kepada Sam, vokalis Bunkface itu cukup bersemangat.

Masih berbaki lima episod sebelum berehat seketika, drama arahan Jet Li itu disifatkannya satu cabaran besar yang harus dipikul.

"Ia sebuah drama kekeluargaan, ada konflik dan cinta yang harus saya tangani, ada juga babak yang menonjolkan kemesraan suami isteri. Nasib baik hero saya, Aaron Aziz banyak membantu.


DUA tahun aktif dalam lakonan, Siti Saleha mahukan mekarnya terus mendapat perhatian umum. Ketepikan kisah peribadi selagi boleh, lebih besar lagi, dia juga mahukan sebuah impak yang akan menempatkan namanya sebagai antara pelakon yang serius dalam industri.


Sambung belajar

"Di lokasi, saya bahasakan dia sebagai 'uncle' tetapi dalam penggambaran, kami kena jadi suami isteri," ucap Siti mengaku lebih gemarkan watak perempuan jahat.

Mujurlah juga kata Siti, watak Munirah yang sedang dipersembahkan menerusi slot Zehra itu memiliki sedikit perasaan dendam. Itu menjadikan karakter itu seimbang sifat manusiawinya.

Bercerita lagi tentang karakter, dia yang baru sahaja menghiburkan penonton dengan cerekarama Sudu dan Garfu berkongsi keseronokan sepanjang menghabiskan kisah komedi romantik itu.

"Sebelum ini saya pernah berlakon dalam drama komedi Di Bawah Ketiak Isteri, dalam Awan Dania pun watak saya agak komedi tetapi bukan watak utama.

"Saya semakin bersyukur sebab dapat variasikan watak," katanya lagi.

Mengakui jadualnya sendat dengan rutin kolej dan lokasi penggambaran, pemilik nama lengkap Siti Saleha Mohd. Baharom, 21, tidak mahu mengeluh penat

"Saya seronok menjadi orang yang paling sibuk, saya tak mahu memikirkan soal tekanan kerana belajar dan berlakon, kedua-duanya mengisi hidup saya.

"Tapi, selepas habis penggambaran Kasih Yang Suci nanti, saya mahu berehat lama sedikit, mahu fokus dengan pelajaran.

"Masih tinggal tiga semester sebelum pengajian peringat diploma saya selesai.

"Selepas itu, saya berhajat mahu sambung pengajian ke peringkat ijazah," katanya yang memilih Britain sebagai destinasi ilmu.

Memandangkan dia juga dilahirkan serta mempunyai saudara-mara yang menetap di Britain maka tidak hairan negara itu menjadi pilihan terbaik.

Namun, itu cuma perancangan. Dia serius mahu membina nama sebagai pelakon, segulung ijazah pula sebagai bekalan untuk memenuhkan ilmu di dada.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: