|
|
PUSAT Sains Negara (PSN) memang tidak pernah gagal dalam merencana pelbagai agenda penggalakan sains dan teknologi bagi membawa masyarakat terutama golongan muda mendekati bidang itu.
Hadir sebagai institusi pembelajaran tidak formal, PSN menyasarkan golongan pengunjung daripada kalangan pelajar-pelajar sekolah, institusi pendidikan dan juga profesional.
Selain mengetengahkan pendekatan santai, PSN turut dilengkapi kandungan bahan pameran interaktif terbaik yang mampu merangsang minat pengunjung di samping menawarkan pengalaman merasai sendiri fenomena saintifik secara total.
Sejak ditubuhkan pada tahun 1996, bangunan empat tingkat PSN yang terletak di kawasan seluas 5.7 hektar itu memang tidak pernah putus daripada menganjurkan aktiviti-aktiviti menaik menerusi sembilan buah galeri pamerannya.
Ia termasuk pameran bertema yang dijalankan secara berkala melalui kerjasama dengan syarikat-syarikat tempatan dan juga antarabangsa.
Sesuatu yang unik mengenai pusat itu, ia dikelilingi kawasan landskap luas dan sesuai dijadikan sebagai sebahagian daripada komponen pendidikan berteraskan sains.
Dahulu, kawasan tersebut telah dibangunkan sebagai Taman Pendidikan Sains yang lengkap dengan pelbagai hidupan alam seperti tumbuhan herba, kaktus dan juga serangga.
Mencari kelainan dalam mengeksploitasi kawasan itu, pihak pengurusan PSN baru-baru ini telah menambah baik konsep taman tersebut kepada Taman Keajaiban Sains (Science Wonderland) menerusi penerapan elemen inovasi dan kreativiti.
Menurut Pengarah PSN, Prof. Madya Dr. Irmawati Ramli, Science Wonderland memberi peluang kepada pengunjung mempelajari ilmu sains dalam persekitaran terbuka dan tidak hanya tertumpu kepada aktiviti dalam bangunan.
“Melaluinya, alam semula jadi akan bertindak seumpama bilik darjah dengan langit sebagai bumbung, rumput sebagai karpet dan pokok sebagai dindingnya.
“Galeri terbuka ini pastinya akan dapat membantu pengunjung memahami konsep biologi dan biodiversiti dalam ekosistem terbuka,’’ katanya pada pelancaran taman itu di PSN Bukit Kiara, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ia telah dirasmikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili.
Science Wonderland yang merupakan taman rekreasi moden dan terkini di PSN bakal memberi dimensi baru serta nilai tambah kepada rangkaian aktiviti pembelajaran secara tidak formal.
Melalui medium itu, pengunjung akan merasa lebih dekat dengan elemen alam secara natural sekali gus memberi pengalaman lebih inovatif dan mengurangkan tekanan.
“Eksplorasi di taman ini mampu menerapkan penghayatan terhadap ilmu sains fizik, kimia dan biologi dengan kehidupan seharian kita,’’ jelasnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: