Friday, February 18, 2011

Rasa loya pegang tahi kambing

CERIA...Naz, Annahita dan Danny X-Factor akan tampil dalam Agro-Xplorasi 10 episod.
CERIA...Naz, Annahita dan Danny X-Factor akan tampil dalam Agro-Xplorasi 10 episod.

PERNAHKAH penonton melihat Danny X Factor meredah kolam menang�kap udang, Nazrudin Habibur Rahman (Naz) memandu traktor padi dan Annahita Bakavoli memberi anak kambing minum susu?

Kini, aksi artis serta dua personaliti itu dapat ditonton apabila bergabung menjayakan program baru, Agro-Xplorasi. Program berkonsep pertanian ladang (Agro Farm) itu menjadi penampilan pertama menyelami dan mendapatkan gambaran evolusi perladangan yang sering dipandang sepi golongan muda.

  • Foto

    MENARIK...program Agro-Xplorasi ketengah banyak maklumat baru kepada penonton terutama golongan muda.

  • Foto

    Annahita Bakavoli Mehdi Bakavoli

  • Foto

    Nazrudin Habibur Rahman (Naz)

  • Foto

    Mohd Khardanie Anwa (Danny X-Factor)

Dengan aksi bersahaja, mereka bertanya soalan spontan kepada pengusaha ladang, kolam ikan dan pertanian dalam program 10 episod Agro-Xplorasi, yang akan disiarkan di TV3 selama satu setengah jam bermula 28 Februari, jam 7.30 malam.

Tiga karakter dan berlainan konti, program baru berkonsep aktiviti luar ini membawa Annahita, Danny dan Naz meninjau pelbagai bentuk pertanian dan peladangan moden diusahakan di beberapa daerah di Malaysia.Antaranya, meninjau ternakan lembu dan kambing integrasi, tanaman sayur-sayuran organik, penternakan ikan arowana, kolam udang, sarang burung walit berkualiti tinggi dan banyak lain memenangi pelbagai anugerah kecemerlangan dalam bidang diceburi.Dengan watak ceria, Naz dan Danny tampil dalam lima episod masing-masing, bergandingan dengan pengacara wanita, Annahita yang akan muncul dalam semua episod.

Naz yang juga pengacara The Breakfast Show NTV7 berkata, Agro-Xplorasi satu program pengembaraan bersifat interaktif.

“Program melihat lebih dekat setiap sektor pertanian dan penternakan. Penggambaran ada kepelbagaian dan padat dengan info. Selepas beberapa minggu, saya seronok menjayakannya kerana terlalu banyak benda baru dipelajari.

“Pengalaman menarik? Pertama, berpeluang memandu traktor seperti program saya minati iaitu ‘Bob The Builder’. Kedua, berasa loya ketika merakam babak di tapak timbunan najis lembu dan memegang tahi kambing.

“Apapun, Agro-Xplorasi memberi perspektif lebih segar ter�hadap golongan muda menceburi pertanian. Saya kagum sewaktu bertemu seorang jurutera kapal terbang menceburi bidang perladangan disebabkan minat mendalam sejak kecil.

“Dia sendiri membuat peralatan digunakan di ladang seluas kira-kira 12 hektar,” katanya.

Pelakon drama dan filem, Danny yang meminati pertanian, berkata, mengendali program berkonsep ‘outdoor’ memberi penanda aras baru dalam kariernya.

“Saya memang sukakan pertanian dan aktiviti luar. Jika dapat program masuk ke ladang getah, lebih baik kerana atuk saya memang penoreh getah. Saya suka tugas dilaksanakan dengan sabar walaupun terpaksa berdepan serangan nyamuk!

“Jika di lokasi penggambaran filem atau drama, kebebasan tidak sama seperti apa dinikmati dalam penggambaran Agro-Xplorasi. Malah, mencari maklumat tepat untuk dikongsi bersama penonton menjadi satu cabaran baru. Jika silap, sudah tentu memberi impak besar.

“Pada satu tahap, melihat ternakan udang dan ikan arowana membuat semangat berkobar-kobar mendalami definisi istilah ‘petani moden berteknologi tinggi’.

“Perladangan satu benda asing jarang diberi perhatian golongan muda kerana tidak ‘glamor’. Saya harap penonton saksikan program ini.

“Jika rajin dan dedikasi, ini bidang untuk golongan muda. Saya harap lebih ramai golo�ngan muda mendapat manfaat dan mendapat gambaran baru terhadap potensi perladangan atau pertanian untuk dijadikan kerjaya menjamin masa depan,” katanya.

Danny atau Mohd Khardanie Anwa, 31, bakal mengikat tali pertunangan pada 20 Mac depan. Selain berlakon, Danny baru selesai menyiapkan program pengacaraan Kuali O Kuali untuk TV3.

Annahita, bekas pengacara Malaysia Hari Ini (MHI) dan mengacara program baru, Kronologi Eksklusif Siasatan (KES), berkata, cara penyampaian Agro-Xplorasi menyeronokkan dan lebih relaks.

“Penonton menyaksikan pengacara mengajukan soalan spontan seolah-olah mereka sendiri bertanya pengusaha ladang berkenaan.

“Program sangat ‘real’ dan jarang diketengahkan. Ia seperti gabungan Jalan-Jalan Cari Makan dan Cuti-Cuti Malaysia ditambah elemen baru lebih menarik.

“Kami harap menerima reaksi baik memandangkan setiap personaliti ada peminat berbeza. Apapun, banyak aspek menarik dan baru untuk ditonton. Paling penting, saya tidak terburu-buru menjayakan program ini kerana dapat memberikan 100 peratus komitmen,” katanya.

Program Agro-Xplorasi membawa tiga pengacara berkenaan menjelajah ke Kuala Kangsar (Perak), Endau Rompin (Johor), Jerangau (Terengganu), Jelebu (Negeri Sembilan), Tok Bali (Kelantan) dan beberapa lokasi lain. Majlis pelancaran program ini berlangsung di Sri Pentas, jam 9 pagi ini.


PROFIL

Nama: Nazrudin Habibur Rahman (Naz)
Tarikh Lahir: 9 November 1978
Tempat Lahir: Kuala Lumpur
Karier: Pengacara program dan pelakon
Mengacara: Disney Malaysia, My Australian Adventure, Mystarz LG (TV3), Celebriti Karaoke (NTV7)
Drama: Ghost (Pelakon Utama, 8TV)
Pencapaian: Pemenang Best Drama Series (Shout Awards 2009), Pemenang Acara Pengacara Kegemaran (Favorite TV Host, Shout Awards 2009) dan kini sebagai pengacara The Breakfast Show NTV7, Agro-Xplorasi.


PROFIL

Nama: Annahita Bakavoli Mehdi Bakavoli
Tarikh Lahir: 25 Ogos 1982
Tempat Lahir: Pulau Pinang
Karier: Pelakon dan pengacara
Mengacara: Hit1(RTM) selama tiga musim bersama Azwan Ali, Sihat Jelita (RTM), Wanita Hari Ini (hos jemputan), Tmnet streamlive Karnival Jom Heboh, Kronologi Ekslusif Siasatan (Kes)
Pendidikan: Sarjana Muda Undang-undang (UiTM).
Pencapaian: Dewi Remaja Karangkraf 2003.
Sitkom: Spanar Jaya (NTV7), Pak Tam Masuk Kondo (RTM)
Drama: Marikas (Slot Samarinda TV3)
Filem: Bujang Senang dan Cinta Terakhir


PROFIL

Nama: Mohd Khardanie Anwa (Danny X-Factor)
Tarikh Lahir: 19 April 1980
Tempat Lahir: Kota Bharu, Kelantan
Karier: Penyanyi berkumpulan, pengacara, pelakon dan penerbit
Mengacara: Kuali O Kuali, Agro-Xplorasi
Drama: Sitkom Fara (TV3), Drama Bersiri 2x5, Sari Maya (TV9)
Filem: Budak Kelantan, Seri Dewi Malam, Idola, KL Menjerit, Belukar (Pelakon dan Penerbit)Pendidikan: Sedang mengikuti Diploma Pengajian Perniagaan (DBS-PJJ-UiTM)

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: