Sunday, February 20, 2011

Pukauan Deftones


AKSI Chino (kiri) dan Sergio Vega di KL Live Center malam Isnin lalu.


RAMAI yang teruja sebaik Deftones diuar-uar akan menjejakkan kaki di Malaysia.

Kumpulan yang digawangi oleh Chino Moreno (vokal), Stephen Carpenter (gitar), Abe Cunningham (dram), Frank Delgado (keyboards) dan Sergio Vega (bass) itu membuat persembahan tepat pukul 9 malam di KL Live Center, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur pada 14 Februari lalu.

Sergio menggantikan posisi pemain bass setelah Chi Cheng terlibat dalam satu kemalangan baru-baru ini.

Diawali dengan lagu Birthmark, salah sebuah lagu kegemaran Chino yang dipetik daripada album perdana mereka, Adrenalin, Chino bertindak menaikkan antusias dan ghairah khalayak terhadap mukadimah konsert ini.

Tanpa banyak berkata, dia memberi terus peluru utama konsert ini dengan vokal dan gaya energetiknya.

Kepanasan malam Isnin lalu diteruskan dengan lagu yang pernah dimasukkan dalam filem Law Abiding Citizen iaitu Engine No.9. Deftones memberi kepuasan yang maksimum buat para pencinta mereka.

Sebanyak 24 buah lagu dinyanyikan bersama-sama, sesekali Chino bersuara mewakili grup dari Amerika Syarikat (AS) yang ditubuhkan pada 1988 ini.

Sempat juga dia mengucapkan perkataan 'Kuala Lumpur' dan 'terima kasih' sebagai tanda dia sudah berpijak di bumi Malaysia.

Muncul dengan album studio keenam mereka, Diamond Eyes pada 4 Mei lalu, Chino menyanyikan enam buah lagu daripada album tersebut iaitu Diamond Eyes, CMDN/CTRL, Royal, Sex Tape, Rocket Skates dan Beauty School.

Konsert itu sempena jelajah Deftones Diamond Eyes 2011 ke bandar-bandar di negara negara Pasifik dan Asia seperti Auckland, Gold Coast, Sydney, Jakarta, Tokyo dan Manila sebelum muncul di Kuala Lumpur.


INTERAKSI antara Chino dan penonton menghangatkan suasana.


Rata-rata penonton konsert yang kebanyakannya dikategorikan penonton generasi Y sangat berpuas hati dengan kemunculan Deftones yang menggembalikan kenangan mereka bersama grup tersebut sejak album Adrenalin.

Mempamerkan kecintaan yang bukan sedikit, para peminat grup ini menunjukkan kolaborasi mereka dengan gaya 'head banging' dan 'mosh' penuh bergaya.

Deftones menutup tirai konsert mereka dengan lagu 7 Words yang merupakan antara lagu paling diminati dan lagu terawal yang ditulis oleh Chino.

Deftones hadir penuh gaya di Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: