Friday, February 18, 2011

Pelanggan pandang kualiti bukan jenama

ANGGUN...mendapat sokongan penuh daripada keluarga terutama suami.
ANGGUN...mendapat sokongan penuh daripada keluarga terutama suami.

PERTAMA kali bersua muka dengan wanita kecil molek ini sudah cukup membayangkan yang dia sangat komited dalam kerjaya diceburinya. Keyakinan diri yang tinggi dan sifat tidak mudah berputus asa jelas terpancar pada wajahnya ketika memulakan bicara.

Pada awal pembabitan dalam dunia perniagaan, Ketua Pegawai Eksekutif Accuwest Sdn Bhd, Shariffa Nisa Rashid, 48, ingin melakukan sesuatu yang berlainan bukan saja merangkumi pasaran tempatan, tetapi lebih kepada pasaran global.

  • Foto

    BANGGA...antara produk yang dipasarkan Syariffa Nisa melalui Accuwest Sdn Bhd.

  • Foto

    COMEL...Chubby Man USB receiver.

  • Foto

    PELBAGAI...antara produk keluaran Accuwest Sdn Bhd yang dipasarkan di luar negara.

  • Foto

    ELEGAN...peranti pengecas telefon bimbit, i-pad jenama Zelite.

Menurutnya, dia tidak ingin mengeluar dan memasarkan produk yang sama kerana jika dilihat melalui bentuk perniagaan sedia ada di pasaran lebih bersifat sama seperti tiada kelainan yang dapat membezakan antara semuanya.

“Saya ingin keluar daripada konsep itu dan disebabkan itulah kebanyakan produk keluarannya lebih tertumpu kepada peringkat antarabangsa terutama Amerika Syarikat dan negara Eropah.


“Pelanggan di pasaran berkenaan amat menghargai kualiti barangan yang dipasarkan bukan bergantung kepada jenama barangan terbabit,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Plaza Damas, Sri Hartamas, baru-baru ini.Ibu kepada seorang cahaya mata perempuan ini tidak lagi menoleh ke belakang apabila berjaya memasarkan beg tangan jenama Zelucci di pusat beli-belah terkemuka dunia, Harrods.

Katanya, bukan mudah untuk memasarkan barangan jenama sendiri di Harrods malah, dia perlu berulang kali bersemuka dan berbincang dengan pihak pengurusan Harrods semata-mata untuk mendapatkan peluang berkenaan.

“Saya amat bernasib baik kerana mereka jelas tidak mengamalkan sebarang diskriminasi kerana memberi peluang kepada saya mengetengahkan jenama baru kerana bagi mereka apa yang penting ialah kualiti bukan kuantiti produk yang ingin dipamerkan.

“Sungguhpun pada ketika itu jenama yang saya ketengahkan belum pernah didengari, tetapi apa yang penting adalah usaha yang ditunjukkan untuk menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.

Selain itu, Accuwest Sdn Bhd yang dikendalikan Shariffa Nisa turut menghasilkan peranti elektronik di bawah jenama Zelite yang berfungsi sebagai pengecas bateri sama ada untuk telefon bimbit, i-pad, e-book ataupun kamera yang sesuai digunakan bagi mereka yang sering berhadapan dengan kerja luar.

Malahan, syarikat berkenaan turut mengeluarkan USB Receiver yang dikenali Chubby Man yang berupaya menerima 5,000 rangkaian TV seluruh dunia, 2,500 permainan dan juga 20,000 saluran radio melalui rangkaian Internet yang digunakan.

Di samping itu, bagi rangkaian beg tangan Zelucci yang dikeluarkan tertumpu pada penggunaan kulit sebagai bahan utama dan untuk itu pelbagai barangan penjagaan kulit turut disediakan iaitu krim antipenuaan dan pelembap bagi membantu mengekalkan jangka hayat beg kulit dimiliki.

Oleh itu, usahanya dalam membuka laluan perniagaan ke peringkat global seperti ini boleh dikongsi wanita lain yang bercita-cita untuk mencipta sesuatu yang unggul dan bukannya hanya tunggu dan lihat saja apa yang perlu dilakukan.

Malah, sepanjang enam tahun berkecimpung dalam bidang perniagaan ini kata�nya, perbezaan jantina bukan suatu halangan untuk berjaya, sebaliknya dengan usaha gigih tanpa mengenal penat adalah penanda kemajuan dalam semua bidang diceburi.

Tidak dinafikan bukan mudah untuk berjaya terutama di pasaran tempatan apabila bergelar usahawan wanita membabitkan bidang teknologi yang kebanyakannya dimonopoli kaum lelaki, tetapi semua itu tidak lagi menjadi masalah utama.

Shariffa Nisa berkata, sekurang-kurangnya dia ingin cuba mengubah persepsi dan pemikiran pengguna di Malaysia mengenai corak pemikiran daripada berterusan menjadi pengikut kepada pencetus teknologi terkini.

“Untuk itu, kita perlu membuka minda dalam menjadi pencetus gaya dan bukannya pengikut saja dalam semua situasi kerana tidak semua barangan luar negara lebih baik daripada produk hasil keluaran tempatan.

“Saya cukup berbangga apabila memasarkan barangan yang dihasilkan sendiri ke luar negara kerana mengetahui ia diterima baik oleh masyarakat luar berbanding di tempat sendiri,” katanya.

Bagaimanapun, segalanya tidak akan berhasil sekiranya tidak mendapat sokongan daripada keluarga terutama suami yang banyak memberikan dorongan untuk terus mencipta nama dalam bidang yang diminati ini.

Walau sesukar manapun katanya, keyakinan diri amat penting dan semangat itu perlu dipupuk sejak mula lagi bagi menempuh cabaran yang akan dilalui sepanjang menceburi bidang perniagaan.

Menurutnya, keluarga juga memainkan peranan dalam memfokuskan diri menceburi bidang perniagaan seperti ini kerana kesan kesibukan yang dirasai mungkin boleh menjejaskan perhubungan dalam keluarga itu sendiri.

“Bagaimanapun, saya amat bersyukur kerana suami seorang yang memahami dan sentiasa menyokong penuh segala yang dilakukan terutama apabila membabitkan perniagaan.

“Tanpa sokongannya saya pasti tidak mampu untuk berada di sini seperti sekarang kerana cabaran dan dugaan yang perlu dilalui sememang�nya besar dan tinggi,” katanya.

Sungguhpun begitu secara peribadi katanya, dia menggambarkan kehidupan waktu lapangnya amat ringkas dan sederhana kerana seperti isteri dan ibu lain dia gemar memasak sendiri hidangan untuk santapan keluarga.

Malah, katanya tidak sah jika keluar beriadah dan tidak mengunjungi kedai buku kerana pastinya ada saja buku resipi yang akan dibeli sekiranya resipi masakan yang disediakan menarik minatnya.

“Walaupun hanya ada satu saja resipi digemari pastinya buku berkenaan akan saya beli kerana keinginan untuk mencuba masakan terbabit amat tinggi.

“Saya amat menghargai masa bersama keluarga terutama pada hujung minggu kerana pada waktu itulah dapat berkumpul bersama selepas masing-masing sibuk dengan pekerjaan sendiri,” katanya.

PROFIL

NAMA: Syariffa Nisa Rashid
UMUR: 48 tahun
PENDIDIKAN: Pengurusan dan Pentadbiran Perniagaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
KERJAYA: Ketua Pegawai Eksekutif Accuwest Sdn Bhd
PENCAPAIAN: Mengeluarkan beg tangan jenama Zelucci dan memasarkannya di pusat beli-belah terkemuka dunia, Harrods, mengeluarkan peranti elektronik berfungsi sebagai pengecas bateri sama ada untuk telefon bimbit, i-pad jenama Zelite.
MINAT: Kerja, memasak dan membaca buku

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: