Wednesday, February 9, 2011

Pelajar antarabangsa hijaukan UPM


AWANG (duduk empat dari kanan) bersama pelajar luar negara UPM menanam pelbagai jenis pokok seperti resak, jambu, kapur dan nangka di sekitar kawasan universiti itu.


KEPRIHATINAN Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang terhadap pemanasan global yang melanda dunia mendorong universiti berkenaan menganjurkan program menanam pokok hutan bersama pelajar antarabangsa mereka baru-baru ini.

Seawal pukul 8 pagi lagi, pelajar antarabangsa dan pihak pengurusan UPM berkumpul di Kompleks Perumahan Universiti, Tadika Islam Koputra dengan penuh semangat untuk menghijaukan universiti berkenaan.

Dalam program berkenaan sebanyak 50 batang pokok daripada pelbagai jenis seperti resak, jambu, nangka dan kapur ditanam di sekitar premis tersebut untuk memastikan UPM terus kekal sebagai kampus yang mementingkan kehijauan.

Pengarah Pusat Antarabangsa UPM, Profesor Madya Zelina Zaiton Ibrahim berkata, program berkenaan dianjurkan untuk memupuk semangat cintakan alam sekitar dalam kalangan pelajar antarabangsa dan pihak pengurusan UPM.

“Justeru, program berkenaan diadakan di bahagian penginapan pelajar antarabangsa. Ia juga diadakan bertujuan untuk mengeratkan hubungan mereka dengan pihak pengurusan UPM.

“Sebagai kampus yang memberi penekanan terhadap aspek kehijauan, pihak kami sentiasa akan menerapkan kepentingan alam sekitar kepada golongan pelajar,” katanya.

Beliau ditemui Kosmo! selepas merasmikan Program Penanaman Pokok oleh Pelajar Antarabangsa UPM baru-baru ini.

Hadir sama ialah Dekan Fakulti Perhutanan, Dr. Awang Noor Abd. Ghani dan Ketua Seksyen Khidmat Sokongan Antarabangsa, Jivananthan Arumugan.

Lebih manis lagi, UPM menduduki tangga keenam antara 95 universiti di dunia yang menyertai penarafan GreenMetric World University Ranking 2010 (Green Metric) anjuran Universitas Indonesia baru-baru ini.


PROGRAM penanaman pokok turut melibatkan ahli keluarga pelajar antarabangsa UPM.


Penarafan tersebut dengan mengukur indikator sesebuah universiti dalam komitmen menghijaukan kampus, penggunaan sumber tenaga mesra alam, pembangunan yang terancanga dan sistem pengangkutan.

UPM merupakan satu-satunya institusi pengajian tinggi dari Asia yang berjaya menempatkan diri dalam kalangan 10 universiti terbaik dunia.

Zelina Zaiton menambah, program penanaman pokok itu juga dapat memberi pendedahan kepada pelajar secara tidak formal mengenai kepentingan pokok kepada alam sekitar.

“UPM juga akan meneruskan usaha melestari kehijauan di universiti berkenaan secara berperingkat-peringkat. Ia adalah sejajar dengan kedudukan kami di tangga keenam dalam penarafan Green Metric,” ujarnya.

Sementara itu, Pemangku wakil Pelajar Antarabangsa UPM, Ommar M. Cessay, 27, berkata, dia dan rakan-rakan yang lain mengalu-alukan program sedemikian kerana dapat memberi kesedaran serta pendedahan mengenai kepentingan alam sekitar.

“Ia sesuatu yang bagus kerana dapat merapatkan lagi pelajar-pelajar antarabangsa dan pihak pengurusan UPM.

“Malah, dengan sebahagian pelajar antarabangsa yang melanjutkan pengajian di UPM juga sudah berkeluarga, ia menjadi platform untuk mendidik anak-anak mengenai alam sekitar,” kata pelajar dari Gambia itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: