Sunday, February 6, 2011

Mercu Zikay RM190j di Kampung Baru


NAJIB melihat model bangunan Mercu Zikay Kampung Baru selepas merasmikan majlis pecah tanah projek berkenaan di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Sebuah bangunan hotel dan kondominium setinggi 40 tingkat dikenali sebagai Mercu Zikay akan dibina di Kampung Baru di sini.

Pengarah Urusan Zikay Group, Datuk Mohd. Khay Ibrahim berkata, projek mercu tanda Zikay bernilai RM190 juta itu merangkumi 289 bilik hotel dan 130 unit kondominium.

“Kondominium ini akan dijual pada harga RM850 bagi satu kaki persegi selain turut disediakan perkhidmatan helikopter di bumbung bangunan,” katanya melalui satu kenyataan semalam.

Akhbar baru-baru ini melaporkan projek Mercu Zikay akan bermula pada suku kedua tahun ini dan dijangka siap dalam tempoh 36 bulan.

Mohd. Khay berkata, selain kemudahan helikopter, penghuni Mercu Zikay akan turut menikmati kemudahan bertaraf lima bintang lain termasuk gimnasium.

Majlis pecah tanah projek berkenaan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di tapak projek yang terletak bersebelahan Masjid Kampung Baru semalam.

Terdahulu Najib melancarkan Program Ziarah Masjid di Masjid Kampung Baru dan merasmikan penubuhan Kelab Belia 1Masjid Kampung Baru.

Pada majlis itu juga, Najib mengumumkan peruntukan sebanyak RM20 juta untuk menaik taraf dan membaik pulih masjid berkenaan.

Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Fuad Ismail.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: