Sunday, February 6, 2011

Klasik cara Tiz


DIULIT populariti, Tiz Zaqyah juga berdepan sensasi dan gosip yang tidak berkesudahan. Ada sahaja nama lelaki yang dikaitkan ke dalam kisahnya.


BINTANG Tiz Zaqyah menyinar bersama kualiti kerja dan sensasi yang menghimpitnya. Barangkali itulah pakej yang harus ada pada selebriti jelita sebelum membentuk nama, harus ada aneka warna yang melingkari perjalanan mereka.

Mula-mula mengukir nama, ada yang cepat melabelkannya gadis nakal yang suka bersosial, kemudian terkait pula dalam drama ‘cinta’ Fasha Sandha, Jejai dan Fizz Fairuz sebelum digosip bercinta dengan heronya sendiri, Remy Ishak.

Tidak habis, ada angin berbisik kononnya Tiz sedang mengenali anak seorang Ahli Parlimen, Aizat Fikri namanya. Kisah hati Tiz diintai-intai dan dalam masa yang sama, gosip itu tetap dinafikannya.

“Ramai yang bertanyakan saya sama ada benar saya sedang bercinta dengan anak seorang Ahli Parlimen.

“Sebenarnya saya berkawan dengan pelbagai golongan orang. Saya tidak kisah berkawan dengan sesiapa.

“Tetapi jujurnya saya tidak mengenali Aizat Fikri. Mungkin saya ada menemaninya ke majlis-majlis tertutup.

“Mungkin juga orang tersilap pandang, ataupun wanita bersama Aizat Fikri itu ada iras-iras saya, sebab itu ramai yang fikir saya bercinta dengannya,” jelas Tiz.

Begitu juga dengan Remy Ishak, kerap benar sudah dijelaskan bahawa dirinya dan Remy tiada hubungan berpaksikan perasaan selain bersahabat serta mempunyai keserasian di luar dan semasa di lokasi.

Citra pesona wanita bernama Siti Zaqyah Abd Razak itu dikesan menerusi Nur Kasih.

Pesona Nur Amina yang dikendalikan masih melekat walaupun bertahun drama itu meninggalkan lokasi.

Tiz membesar di bawah telunjuk Khabir Bhatia dengan judul-judul lain seperti Keabadian Cinta dan 7 Lagu, menjadikan namanya semakin manis untuk disebut.

Jika Nur Amina menjadi bunga Nur Kasih, watak Cikgu Asma, yang sedang menjalarkan pengaruh di Institut Gemilang menerusi slot Zehra di TV3 sejak mula bersiaran pada 24 Januari lalu, tetap tidak kurang hebatnya.

Sepintas lalu, judul Gemilang sangat patriotik bunyinya. Sungguh ia bertiangkan nusa dan bangsa yang jarang-jarang digunakan lagi untuk sesebuah program televisyen yang mahu menambat hati penonton.

Memeranjatkan, baru dua episod disiarkan, Gemilang sudah menunjukkan taring. Bisa Khabir Bhatia selaku pengarah dan Mira Mustafa sebagai penulis skrip drama berkenaan, segera menawan mata penonton.

“Saya selesa membawa watak Asma, dia guru yang ada matlamat yang jauh untuk pelajarnya.

“Watak Asma sendiri berbeza, dia seorang yang cepat membuat kesimpulan dan kuat prasangka terhadap Saifullah (Shahz Jaszle),” seronok cerita Tiz yang berkebaya sepanjang penggambaran.

Bagi Tiz juga, Gemilang sebuah judul yang banyak definisi.

“Judulnya sangat biasa, tapi penceritaan, latar masa dan suasana zaman 70-an serta dipersembahkan dengan cara yang berbeza. Ini drama era klasik pertama lakonan saya,” ujarnya.

Disiarkan setiap Isnin, pukul 9 malam di TV3, drama terbitan Filmscape itu diperkuatkan lakonan Datuk Jalaluddin Hassan, Shahz Jaszle, Kamal Adli serta Tasha Shilla.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: