Wednesday, February 9, 2011

Kisah penggalas watak negarawan




PEMENTASAN Teater Muzikal Tun Mahathir (TMTM) sudah pun 10 hari berlalu. Kepada yang berpeluang menonton teater yang mengambil masa hampir tiga jam setengah itu pasti pulang dengan pelbagai mesej yang cuba disampaikan.

Selain babak-babak yang membawa maksud yang tersirat, jalan ceritanya pasti menyentuh rasa kepada penonton.

Rata-rata mungkin bersetuju jika dikatakan antara aspek yang paling terkesan tentulah mereka yang menggalas watak utama teater itu. Meskipun dilakonkan oleh tiga individu yang berbeza untuk menyesuaikan fasa kehidupan yang dilalui, ketiga-tiga pelakon itu mampu menterjemahkan diri wira negara dalam diri masing-masing.

Benar, bukan mudah untuk menyerap dan menjiwai keperibadian seorang pemimpin tersohor dalam diri, meskipun tidak 100 peratus, sekurang-kurangnya Mohd. Shafeiq Shazwan Zamrus, 13, Ezany Nizariff, 37, dan Esma Daniel, 42, berjaya membawa penonton pada setiap fasa kehidupan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Bagi Esma Daniel, asalnya dia tidak menyangka akan membawakan watak utama sebagai Dr. Mahathir ketika pertama kali disunting penerbit Siti Rohayah Attan. Namun, beliau mengakui tanggungjawab yang dipikulnya sangat berat.

“Orang ramai pasti akan membandingkan saya dengan Dr. Mahathir pada masa kini, maka itu adalah cabaran kepada saya untuk memberi mutu lakonan yang terbaik di pentas dan merealisasikan watak seperti beliau walaupun sedar diri tidak sempurna seperti individu asal,” ungkapnya ketika ditemui di belakang Panggung Sari Istana Budaya sebelum memulakan persembahan baru-baru ini.

Selain memberikan hasil lakonan yang lebih mantap berbanding musim pertama TMTM pada tahun lalu, Esma menceritakan dia sentiasa membuat kaji selidik sendiri mengenai perwatakan dan latar belakang Dr. Mahathir.

“Kita sayang Dr. Mahathir dan kita akan melakukan sebarang cara untuk mengenang jasa beliau. Jadi inilah peluang untuk saya tunjukkan betapa saya terhutang budi dengan jasa yang telah beliau taburkan,” bicaranya lanjut.

Menurutnya, selain merujuk karakter sebenar Dr. Mahathir melalui perkembangan dan berita sejak kecilnya, Esma juga menjadikan buku Dilema Melayu yang dikeluarkan pada tahun 1970 sebagai rujukannya.

“Apabila kita mengetahui sejarah beliau, kita akan dapat meneliti bagaimana corak pemikirannya dan setelah itu baru dapat memahami apa yang disampaikannya.


MOHD. SHAFEIQ berjaya membawa penonton kembali ke zaman kanak-kanak Dr. Mahathir.


“Penulisan Tun Mahathir dalam blog dan buku-bukunya sudah mencerminkan siapa dan bagaimana dirinya yang sebenar, menerusi hasil tulisannya saya mendalami watak beliau selain mengimbau kembali sejarah kegemilangan pentadbirannya ketika zaman saya kanak-kanak dan remaja,” tambahnya yang mengakui sentiasa gemuruh dan gementar melakonkan watak Perdana Menteri Malaysia Keempat yang disanjungnya sejak kecil.

Tambah bapa kepada empat cahaya mata itu , menerusi pembacaan skrip juga dapat membantu dirinya sedikit sebanyak mengaplikasikan jiwa Dr. Mahathir ketika beraksi di pentas.

“Dalam pada itu, Rosminah Tahir selaku pengarah teater ini juga banyak membantu memberikan panduan dan mekanisma yang betul mengenai seni persembahan di pentas” ujarnya yang menyifatkan dirinya perlu mengeluarkan semula apa yang telah diperoleh sejak kecil.

Karakter daripada keluarga

Ezany Nizariff yang mendukung watak Dr. Mahathir ketika usia remaja pula merasakan penglibatannya dalam TMTM2 adalah satu peluang yang jarang diperoleh dalam hidupnya.

Bercerita mengenai pengalamannya berlakon dalam Produksi CTRA milik Siti Rohayah Attan, pemilik nama sebenar Mohd. Zaini Mohd. Nizariff menganggap durasi masa yang singkat yang diperuntukkan kepadanya untuk berlatih adalah kekangan utama.

“Cabaran paling hebat apabila saya perlu berlatih dalam jangka masa yang sangat singkat iaitu kurang daripada tempoh tiga bulan,” katanya yang pertama kali mementaskan teater besar di tempat berprestij seperti Istana Budaya.

Ezany, 37, yang menjawab pertanyaan perbandingan yang dibuat antaranya dengan pelakon teater muzikal itu pada musim pertama, memandang setiap perbandingan berlandaskan kualiti lakonan daripada sudut positif.

“Orang ramai pasti akan membuat perbandingan antara pelakon yang memegang watak yang sama, tetapi saya memandang semua teguran, kritikan mahupun komen dari sisi yang positif kerana bagi saya setiap pelakon ada cara dan acuan tersendiri.


SEIRAS. Esma Daniel banyak melakukan penyelidikan dalam menjiwai watak Dr. Mahathir.


“Setiap audiens ada perspektif sendiri dan terpulang kepada diri masing-masing untuk memberikan label sejauh mana tahap pencapaian saya dalam arena seni teater,” tegasnya yang memegang prinsip setiap hari adalah lembaran baru untuk terus belajar.

Tiada rujukan khas

Menurut Ezany, tiada sebarang rujukan khas dibuat melainkan pembacaan biografi pemimpin ternama itu untuk mendalami watak sebagai Dr. Mahathir ketika remaja.

“Kebanyakan panduan saya tertumpu pada skrip yang sememangnya banyak menceritakan personaliti Tun Mahathir selain bergantung pada pengarah yang banyak membantu saya meneroka karakter sebenar beliau.

“Dalam pada itu, saya menjadikan bapa dan nenek saya di kampung sebagai panduan menyelami perwatakan Dr. Mahathir ketika zaman muda mereka sebelum membuat kupasan sendiri,” singkapnya yang menganggap Dr. Mahathir adalah seorang yang lincah tetapi pemalu ketika remaja.

Detik cemas yang dilaluinya ketika pementasan dianggap Ezany sebagai pengajaran bernilai malah setiap jerih perihnya berbaloi apabila mendapat tepukan gemuruh daripada penonton.

“Saya rasa gembira apabila ada audiens yang bertepuk tangan setiap kali saya di pentas. Tetapi pada masa yang sama saya tidak lupa untuk sentiasa memperbaiki mutu lakonan,” tutur Ezany.

Tidak sah kiranya setiap persembahan itu berjalan lancar tanpa sebarang masalah, begitu juga bagi Ezany yang mengalami kekejangan kaki ketika hari pertama beraksi di hadapan ribuan peminat.

“Pada hari pertama pementasan (21 Januari), kaki saya kejang ketika babak menggunakan kasut roda.

“Jadi, saya terpaksa keluar ke tepi dan membuka kasut roda sebelum masuk semula ke pentas untuk meneruskan lakonan,” jelasnya.

Ezany menambah dia juga terpaksa menghantar pakaian yang dipakainya untuk dicuci setiap hari selepas tamat pementasan.


EZANY mengakui dia berdepan dengan cabaran untuk membuat latihan dalam tempoh masa yang singkat.


“Seluruh pakaian saya akan basah lencun dengan peluh setiap kali persembahan, barangkali saya orang yang kuat berpeluh,” ujarnya.

Komik suntik inspirasi

Jarak zaman yang berbeza lebih separuh abad dengan usia kanak-kanak Dr. Mahathir yang mesra dengan panggilan Che Det tidak memutuskan harapan pelakon cilik berbakat, Mohd. Shafeiq Shazwan Zamrus, 13, untuk memberikan persembahan yang mantap.

Selain tanggungjawab terhadap pelajaran, pelajar Sekolah Menengah Taman Klang Utama, Selangor itu juga menjadikan komik Mahathir Mohamad yang diilustrasikan oleh E.Yu sebagai panduan meneliti biografi pemimpin ulung ini.

“Saya sudah membaca komik itu lebih 10 kali untuk mengetahui bagaimana perwatakan sebenar Tun Mahathir ketika zaman kanak-kanak,” katanya yang turut menjadikan Bapa Pemodenan itu sebagai inspirasi utama ketika mentelaah pelajaran.

Selain itu, karakter Che Det ketika kanak-kanak juga diperoleh melalui pembacaannya menerusi Internet dan buku-buku di Perpustakaan Negara.

Mohd. Shafeiq menambah, dia tidak pernah menduga akan memegang watak penting seperti watak Che Det dan pada asalnya terasa takut untuk berlakon.

“Syukur Alhamdulillah berkat doa dan hasil bimbingan pengarah, saya mampu membawa karakter Che Det pada zaman kanak-kanak dan berjaya sampai ke tahap ini,” ujarnya yang mengharapkan pementasan TMTM akan diteruskan untuk musim yang seterusnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: