Saturday, February 19, 2011

Kisah peminat tegar Hot Wheels




SUASANA di restoran makanan segera McDonald’s di Seksyen 15, Subang Jaya kelihatan sibuk. Biarpun jarum jam sudah menunjukkan pukul 10 malam, namun kenderaan masih bertali arus memasuki perkarangan restoran 24 jam itu.

Di satu sudut, kelihatan sekumpulan lelaki berkumpul sambil mengelilingi sebuah meja panjang di ruang khas berhawa dingin di restoran itu. Perhatian mereka tertumpu pada litar perlumbaan sepanjang lebih tiga meter yang diletakkan di atas meja itu.

“Perhatian, sekejap lagi kita akan mulakan pertandingan,” kata seorang lelaki yang dilihat sibuk mencatatkan sesuatu pada kertas di hadapannya.

Dua buah kereta dilepaskan serentak di atas litar dan meluncur laju ke garisan penamat. Kereta yang tiba dulu akan diumum sebagai pemenang dan layak memasuki pusingan seterusnya.

Gelagat kumpulan lelaki berkenaan nyata mengundang perhatian beberapa pelanggan lain. Tidak pasti sama ada mereka teruja melihat pertandingan yang diadakan atau pelik melihat permainan yang sering dikaitkan dengan kanak-kanak itu didominasi oleh orang dewasa.

Bagi Rafeei Wakiman, dia tidak kisah apa jua persepsi yang diberikan. Apa yang penting, keseronokan berkumpul bersama rakan-rakan Kelab Hot Wheels Collectors Malaysia (HWCM) saban minggu.

Lebih dikenali dengan nama forum, Wild Spirit, lelaki berusia 37 tahun itu mula mengumpul Hot Wheels sejak enam tahun lalu.

Eksekutif syarikat swasta itu mengakui meminati permainan kereta sejak zaman kanak-kanak dan filem atau drama yang melibatkan kenderaan seperti Starsky and Hutch, Knight Rider dan B.J. and the Bear.

“Sebelum ini saya membelinya hanya suka-suka dan sekadar perhiasan di rumah dan kereta.

“Namun, hati saya semakin tertarik selepas membeli model Datsun 240Z keluaran awal 70-an, lagi pun ia memang kereta idaman saya selama ini. Sejak itu saya mula menjadikannya sebagai hobi,” kata anak kelahiran Muar, Johor itu.


RAFEEI meminati kereta mainan sejak zaman kanak-kanak.


Perkenalannya dengan ahli-ahli HWCM di laman forum dan pembacaan melalui buku-buku menyebabkan dia semakin teruja. Sejak itu, dia mula mengumpul pelbagai siri keluaran Hot Wheels sama ada di dalam dan di luar negara.

“Bagi pengumpul Hot Wheels, mereka bukan sekadar mencari kuantiti sebaliknya berusaha keras untuk mendapatkan model-model tertentu daripada edisi khas, terhad dan unik,” katanya.

Rafeei berkata, dia kini memiliki lebih 2,000 kereta Hot Wheels yang tersimpan rapi di rumahnya. Koleksinya bermula daripada model-model pertama keluaran tahun 1968 hinggalah yang terkini.

Katanya, antara yang menjadi kegilaan adalah model terhad antarabangsa seperti Treasure Hunt, model edisi khas seperti Mail In, Delivery, Garage, Classic, Convention Car dan tidak ketinggalan edisi cacat yang mempunyai kesilapan cetak, warna atau pemasangan komponen.

Edisi terhad

Edisi lebih istimewa adalah keluaran terhad Hot Wheels. Hanya 5,000 unit dikeluarkan setiap tahun.

“Cabaran utama ialah untuk mendapatkannya. Untuk mendapatkan model Treasure Hunt misalnya, pengumpul perlu sentiasa peka dan sering mengunjungi pasar raya yang menjualnya.

“Daripada 72 buah kereta Hot Wheels yang dijual setiap bulan akan ada sebuah model Treasure Hunt yang mempunyai label hijau.

“Walaupun dijual pada harga sekitar RM6.90 hingga RM8, namun di kalangan pengumpul harganya mampu mencecah RM15 ke atas,” jelasnya yang memiliki beberapa koleksi istimewa seperti Drag Bus, Thunder Roller dan Custom Convoy.

Dia mengakui, selepas berkahwin kira-kira empat tahun yang lalu isterinya, Norafidah Ashaari, 32, juga sukar menerima hobi itu kerana menganggapnya seperti kebudak-budakan.

Namun Rafeei berjaya meyakinkannya, lebih-lebih lagi ia mampu menjadi pelaburan yang menguntungkan dalam jangka masa panjang.

Malah, disebabkan faktor itu isterinya kini turut berminat mengumpulkan siri Mini Cooper dan Wolkswagen Beetle.

“Disebabkan kesukaran mendapatkannya, harga kereta ini terutama siri awal, khas dan terhad mampu meningkat berkali-kali ganda berbanding harga asal.

“Misalnya, baru-baru ini di laman web lelongan eBay, sebuah kereta Funny Car Snake and Mangoose tahun 1970 telah mencecah AS$4,000 hingga AS$5,000 (RM12,000 hingga RM15,000). Pastinya ia menguntungkan sesiapa yang memilikinya, siapa tahu, akan datang rezeki saya pula,” selorohnya yang sukar untuk menganggarkan wang yang sudah dihabiskannya setakat ini.

Mula ditubuhkan kira-kira tiga tahun lalu, HWCM kini boleh berbangga kerana mempunyai 700 ahli berdaftar di dalam dan di luar negara.

Penubuhan kelab itu pada dasarnya bertujuan mengumpulkan peminat-peminat Hot Wheels di samping mempromosikannya sebagai satu hobi yang sesuai untuk keluarga.

Seorang ahli jawatankuasa HWCM, Shakz Faizal Anwardeen berkata, setakat ini sambutan yang diterima amat menggalakkan terutama bilangan ahli yang semakin meningkat setiap tahun.

“Kami mahu buktikan kepada masyarakat hobi ini sesuai untuk semua golongan tanpa mengira gender, kaum, pangkat dan usia. Ada antara ahli-ahli kami merupakan golongan profesional, ahli perniagaan dan sebagainya.


AHLI-ahli Kelab Hot Wheels Collectors Malaysia sering mengadakan perjumpaan setiap Jumaat dan Ahad selain menganjurkan pertandingan serta makan malam.


“Kelab ini merupakan platform kepada mereka untuk berkenalan dan bertukar-tukar pandangan di samping mendapatkan info dan maklumat terkini tentang produk Hot Wheels,” katanya.

Antara aktiviti yang dilakukan HWCM ialah mengadakan perjumpaan setiap minggu pada setiap hari Jumaat dan Ahad, menganjurkan pertandingan dan makan malam tahunan.

“Perancangan kami ialah untuk mengembangkan sayap HWCM pada masa hadapan termasuk merancang pembinaan sebuah rumah kelab untuk kemudahan semua ahli kami,” ujarnya.

Ubah suai kereta

Berlainan pula Daniel Hew Chee Man, lelaki yang menetap di Desa Petaling itu lebih gemar mengumpul kereta Hot Wheels yang telah diubah suai berbanding mengumpul koleksi-koleksi sedia ada.

Menariknya, semua koleksi milik lelaki berusia 40 tahun itu dihasilkan dengan kreativiti dan imaginasinya sendiri menggunakan beberapa peralatan seperti pelekat, air brush, cat dan sebagainya.

“Saya lebih selesa menghasilkan rekaan sendiri kerana ia lebih menjanjikan kepuasan.

“Pada masa yang sama, imej yang ditampilkan lebih ranggi dan sporty serta jauh berbeza daripada yang terdapat di pasaran,”jelasnya yang banyak merujuk pada laman web dan buku mengenai pengubahsuaian kenderaan.


DANIEL lebih gemar mengumpul Hot Wheels yang telah diubahsuai.


Dia yang merupakan seorang arkitek memberitahu, masa yang diambil untuk menyiapkan sesebuah kenderaan bergantung rekaan dan aksesori yang digunakan.

“Jika dulu, saya melakukannya disebabkan minat dan inginkan kelainan, namun kini saya mula menerima tempahan di kalangan ahli dan peminat kenderaan cilik ini termasuk dari luar negara.

“Walaupun ia hanya sebuah kereta kecil, namun pengubahsuaian yang dilakukan mirip kereta sebenar. Antara yang popular ialah pengubahsuaian rim, body kit, pelekat dan warna,” ujarnya yang berkesempatan melakukannya pada masa lapang dan hari cuti.

Kemahiran Daniel menyebabkannya diberi peluang menghasilkan kenderaan istimewa untuk majlis makan malam ulang tahun pertama HWCM.

“Ia merupakan satu penghormatan kepada saya, lebih-lebih lagi apabila ada peminat dari luar negara yang mengenali kelab ini melalui rekaan kereta yang dihasilkan,” katanya.

Sementara itu, salah seorang ahli termuda HWCM, Joshua Lim Meng Yew, 12, bertuah kerana mendapat galakan daripada bapanya, Alvin Lim Eu Hoe, 42, yang mempunyai minat yang sama.

Minat Joshua mengumpul Hot Wheels bermula selepas dia menerima model Flame Rider Roadster keluaran McDonald’s, pemberian pengasuhnya pada usia empat tahun.

Sejak itu, Joshua melakukan pelbagai cara untuk menambah koleksi miliknya yang kini mencecah 2,000 buah.

Minat yang mendalam, menyebabkan pelajar darjah enam itu berkebolehan mengenali jenis-jenis kereta tersebut hanya berpandukan poster

“Saya sukakan kereta Hot Wheels kerana keunikannya. Setiap kereta yang dihasilkan berbeza dari segi warna, tayar, rim dan sebagainya.

“Lagipun ia hobi pada masa lapang yang sesuai untuk semua golongan. Pada masa hadapan saya berharap dapat mengumpul lebih banyak lagi koleksi Hot Wheels,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: