PETALING JAYA: Pelakon Erry Putra mengalami nasib malang apabila kereta jenis Proton Waja berwarna hitam miliknya hilang dipercayai dicuri di kawasan rumahnya di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pagi Selasa.
Dia menyedari kehilangan kereta yang berpendaftaran WNQ 4910 itu ketika ingin keluar ke lokasi penggambaran sebuah drama di sekitar ibu negara.
Menurut Erry, dia terkejut apabila mendapati kereta tersebut sudah tiada di tempat yang biasa diletakkannya.
“Ketika ingin ke lokasi penggambaran kira-kira pukul 10 pagi tadi, saya terkejut bila kereta Waja yang saya parkir di tempat letak kereta luar kawasan rumah saya sudah tiada lagi. Sedangkan malam sebelumnya saya lihat ia masih ada di situ.
“Apa yang saya kesalkan, banyak dokumen penting dan peralatan untuk penggambaran saya simpan di dalam kereta itu,” katanya ketika dihubungi mStar Online,Selasa.
Tambah Erry, laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Sungai Besi, Kuala Lumpur pada pukul 1 petang Selasa.
“Saya sudah melaporkan perkara ini di Balai Polis Sungai Besi dan biar polis yang menyelesaikannya.
“Namun begitu, ada juga rakan-rakan Twitter yang beritahu saya ternampak kereta ini dibawa oleh dua orang lelaki berbangsa Melayu dan India dan masih berada di sekitar Lembah Klang,” katanya.
Dalam pada itu, Erry menganggap perkara tersebut menjadi pengajaran kepadanya agar lebih berhati-hati dan berharap kepada sesiapa yang melihat kereta berkenaan supaya melaporkannya kepada pihak polis.
“Saya sekarang masih lagi tertekan kerana kereta tersebut merupakan kereta kesayangan saya. Mujur saya ada sebuah lagi kereta untuk ke lokasi penggambaran.
“Perkara dah nak jadi, saya tak boleh nak cakap apa. Saya berharap ia dapat ditemui semula,” katanya sedih.
Selain kereta berkenaan, Ery turut mempunyai kereta jenis Toyota Wish.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: