Wednesday, February 9, 2011

Jadi DJ, Sheera sedia terima kritikan



Menjadi penyampai radio bukanlah minatnya. Namun berpegang kepada prinsip ‘itulah rezeki saya’ pelakon dan pengacara Sharifah Shahirah mencabar dirinya untuk bergelar seorang penyampai radio.

Mengikat kontrak selama setahun bersama stesen radio Suria fm, Sharifah Shahirah atau lebih popular dengan panggilan Sheera, sudah seminggu bersama-sama dua lagi rakan penyampai iaitu Halim Othman dan ZZ.

Mengakui sudah selesa bekerja di konti, namun banyak perkara yang perlu dipelajarinya.

“Saya sudah biasa bekerja secara langsung, terutamanya di depan TV. Walaupun di dalam studio tak ada yang melihat, masih juga ada rasa kekok pada hari pertama bersiaran.

“Banyak kali juga saya tersilap tapi saya dapat dua team yang bagus, jadi mereka berdua banyak membantu saya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Ramai yang teruja dengan celotehnya di corong radio, Sheera tidak menafikan kehadirannya sebagai penyampai radio dipandang enteng oleh sesetengah pihak.

“Saya sedar bukan semua orang akan suka dengan kita. Apa yang kita buat ada sahaja yang tidak kena. Tapi saya masih boleh berdiri dalam dunia seni ini kerana di sinilah saya mencari rezeki untuk keluarga saya.

“Memang pedih bila dapat tahu ada pihak mengata yang bukan-bukan mengenai diri saya. Orang macam ni seolah-olah tak boleh tengok kejayaan kita. Saya tak kisah kalau ada yang kritik dan memberi idea untuk perbaiki, tapi ini tidak. Mereka mahu menjatuhkan saya,” ujar Sheera.

Menganggap itu semua sebahagian dari cabaran bergelar anak seni, Sheera tidak pernah berputus asa. Sebaliknya semakin bersemangat untuk mengorak langkah menerusi pelbagai cabang seni.

“Setiap kali perkara macam ni berlaku saya akan teringat kepada Allahyarham Din Beramboi. Semasa hayatnya ramai yang mengutuk, tapi dia tetap terus bekerja. Saya jadi lebih kuat apabila teringatkan sahabat saya itu.

“Insya-Allah saya tak akan berdiam diri dan terus bekerja selagi ada tawaran dan rezeki buat saya,” kata ibu kepada empat anak ini.

Menurutnya lagi, tidak hanya dengan menjadi penyampai, malah ada juga yang seakan iri hati dengannya sejak awal lagi.

“Saya pernah menangis kerana kata-kata dusta orang di dalam internet. Paling terkejut apabila perkara yang tak pernah saya buat pun ada yang cerita di internet. Kerana itu, saya jarang nak membaca apa-apa komen di internet kerana banyak yang sakit hati daripada membina,” tambahnya lagi.

Meski pun begitu, Sheera tidak mahu tulisan ‘sampah’ itu menggugat kerjayanya. Sheera yang juga pengacara bagi rancangan Nasi Lemak Kopi O di Tv9 berharap akan ada sinar baru buatnya dalam meniti kerjaya sebagai anak seni.





ZZ seronok dengan team baru



Jika sebelum ini, ZZ hanya digandingkan bersama Halim Othman untuk mengendalikan slot pagi iaitu breakfast@suria, kini gandingan mereka berdua lebih mantap dengan kehadiran Sheera. Mengakui seronok dengan celoteh Sheera, ZZ mengakui walaupun baru seminggu Sheera bersama mereka, namun jumlah pendengar sudah ada peningkatan.

“Dalam seminggu sahaja, kami sudah menerima banyak panggilan yang rata-ratanya ‘gila-gila’ macam Sheera. Mungkin kerana aura Sheera berjaya menarik lebih ramai untuk mendengar kami. Segmen kami juga menjadi lebih rileks dan santai.

“Sheera bijak menyesuaikan diri bersama kami dan pendengar serta mudah belajar. Bukan hanya pemanggil, malah mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) juga semakin bertambah,” katanya.

Tambahnya, Sheera bukan hanya berbakat di pentas malah boleh bergelar penyampai radio popular suatu hari nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: