Thursday, February 10, 2011

Hujan sebulan, turun sehari


PENDUDUK cuba menyelamatkan diri dan harta benda menggunakan bot di Panchor, Muar, Johor.


TATKALA tumpuan diberikan terhadap kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Johor baru-baru ini, bah datang bagaikan mengiringi kehangatan suasana pembuangan undi.

Banjir besar yang melanda itu ternyata mengejutkan penduduk di beberapa buah negeri kerana datang tanpa memberi amaran.

Tambah menyedihkan juga datang ketika masyarakat Tionghua negara ini sedang bersiap sedia menyambut Tahun Baru Cina.

Beberapa kawasan terutama di empat buah negeri iaitu Johor, Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan terjejas teruk akibat dilanda banjir besar apabila hujan lebat turun secara berterusan selama beberapa hari pada penghujung bulan Januari lalu.

Lebih memburukkan keadaan, banjir besar yang melanda Pekan Labis, Johor kali ini disifatkan oleh beberapa penduduk sebagai antara terburuk sejak lebih sedekad lalu.

Ia lebih buruk daripada kejadian serupa pada 2006. Hampir seluruh Pekan Labis Lama yang terletak berhampiran sungai ditenggelami air sedalam kira-kira satu meter.

Bencana banjir besar itu juga telah menyaksikan puluhan ribu penduduk di Johor dan tiga buah negeri terbabit terpaksa mencari tempat perlindungan di pusat pemindahan sementara kerana kediaman mereka ditenggelami air.

Dengan jalan-jalan utama dinaiki air dan jambatan runtuh akibat arus deras, penduduk hanya mampu menanti bantuan daripada pihak berkuasa kerana terputus hubungan.

Bukan itu sahaja, bah yang melanda tanpa memberi amaran tersebut turut mengakibatkan mereka menanggung kerugian akibat kerosakan harta benda, tanaman, ternakan dan sebagainya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, banjir yang berlaku di empat buah negeri iaitu Johor, Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan merupakan fenomena cuaca luar biasa ekoran pemanasan global serta perubahan iklim di seluruh dunia.

Ujarnya, keadaan yang berlaku adalah di luar dugaan kerana kuantiti hujan yang sepatutnya untuk dua bulan turun mendadak dalam tempoh 24 jam.

“Mengikut taklimat pakar cuaca, hujan nampaknya beralih ke kawasan lebih selatan iaitu di luar perairan Malaysia.


SEORANG penduduk di Sri Tanjung, Johor hanya berjalan kaki dari rumahnya untuk ke pusat pemindahan.


“Bagaimanapun, kita mesti berhati-hati dan berjaga-jaga kerana perubahan cuaca boleh berlaku secara mengejut pada bila-bila masa,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara Dewan Serbaguna Kampung Air Panas, Labis.

Berdasarkan jumlah pada hari Isnin minggu lalu, mangsa banjir di seluruh negara melibatkan seramai 53,831 orang dengan di Johor sahaja mencecah 47,593 mangsa.

Sejumlah RM5.81 juta telah dibelanjakan sehingga Jumaat lalu untuk menguruskan pusat-pusat pemindahan di empat negeri terbabit yang terlibat dengan banjir.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sentiasa memastikan operasi di pusat pemindahan mangsa banjir negeri-negeri itu terutama penyediaan bantuan makanan dan keperluan asas berjalan lancar.

“Saya tengok keadaan memang mencabar (tetapi), boleh dikatakan semua kerja dan tanggungjawab yang dipikul semua pihak berjalan lancar,” katanya.

Sistem amaran banjir

Dalam pada itu, kerajaan akan mengkaji sistem amaran awal banjir yang lebih berkesan dalam usaha membantu penduduk untuk berpindah dengan cepat dan selamat.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau akan membawa perkara tersebut dalam perbincangan di peringkat Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan kelancaran usaha memindahkan mangsa banjir.

“Kalau kita lihat, banjir boleh berlaku begitu pantas dengan arus deras yang mungkin boleh membahayakan nyawa penduduk. Saya akan berbincang dengan MKN agar kita dapat memperkenalkan sistem amaran awal banjir.


PENDUDUK kampung menyediakan makanan di pusat pemindahan di Panchor, Muar, Johor.


“Kita akan mengkaji sistem-sistem amaran yang telah dipraktikkan di luar negara dan berharap dapat melaksanakannya segera kerana banjir boleh berlaku secara luar jangka,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara di Sekolah Agama Labis.

Sementara itu, seorang warga emas, Tye Baba, 64, dari Pekan Asahan, Jasin, Melaka berkata, dia menyedari rumahnya dinaiki air ketika mereka sekeluarga sedang sibuk membuat persiapan mengemas rumah kira-kira pukul 5 petang pada Isnin lalu.

“Mujurlah anak perempuan saya sempat menyelamatkan kuih bulan dan beberapa barangan perayaan lain untuk disimpan ke tempat lebih tinggi, kalau tidak, saya tidak tahu bagaimana nak sambut perayaan Tahun Baru Cina tahun ini,” katanya.

Tye Baba antara 70 keluarga yang terdiri daripada 306 penduduk sekitar Sungai Dua dan Pekan Asahan yang terjejas akibat banjir yang melanda kawasan itu sehingga paras satu meter.

Seorang lagi mangsa banjir di Kampung Serok, Bukit Ibam, Muadzam Shah, Rompin, Pahang, berkata, kejadian banjir tersebut bukan kali pertama berlaku di kampung itu.

“Memang setiap kali hujan lebat pasti kawasan rumahnya akan dinaiki air. Paling buruk berlaku pada tahun 2007, namun saya bersyukur kerana banyak bantuan disalurkan kepada penduduk,” katanya.

Katanya, air naik dengan begitu mendadak menyebabkan dia tidak sempat menyelamatkan kesemua barang di dalam rumah.

Bagaimanapun, keadaan kembali pulih secara beransur-ansur di empat buah negeri terbabit sejak Khamis lalu dan mangsa banjir mula membersihkan rumah masing-masing.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: