TARIKH 2 Januari 2010 mungkin tidak akan dilupakan sepanjang hayat seorang lelaki bernama Mohamad Helme Leman, 27, yang berasal dari Melaka.
Pada tarikh yang disifatkan keramat itu pemuda yang bekerja sebagai posmen tersebut bukanlah melangsungkan perkahwinan atau mendapat durian runtuh. Sebaliknya, pada tarikh itulah nyawanya hampir melayang apabila enam urat kaki kirinya putus selepas digigit seekor buaya ketika mandi di pantai Port Dickson.
Mengimbas kembali detik cemas pukul 8.30 pagi itu, pemuda berkulit hitam manis dan memiliki seorang anak lelaki itu memberitahu, sebelum kejadian dia sedang mandi bersama keluarganya di pantai tersebut dengan kedalaman air laut itu tidak sampai ke paras dada.
“Sedang saya mandi, tiba-tiba saya terasa ada sesuatu yang menarik-narik kaki kiri saya. Ketika itu saya sangka ia mungkin ikan tetapi saya masih ingat kelibat binatang itu iaitu seekor buaya yang panjangnya sedepa,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bachang baru-baru ini.
Ujar Helme, dia masih ingat bagaimana haiwan itu seperti melakukan acara tarik-menarik yang akhirnya buaya tersebut melepaskan gigitan dipercayai kaki kanan Helme mungkin tersepak bahagian biji mata buaya itu.
Katanya, selepas buaya tersebut melepaskan gigitan pada kakinya, dia pula hampir pengsan apabila melihat kakinya berlumuran darah termasuk beberapa urat kaki berwarna putih timbul.
“Lebih membuatkan saya sakit, apabila air masin terkena pada luka pada kaki.
“Ya Allah, masa itu hanya tuhan saja yang tahu saya menahan kesakitan tersebut termasuk menahan urat kaki yang sudah terkeluar,’’ katanya.
Peristiwa yang menimpa Helme itu menyebabkan dia fobia untuk mengingati peristiwa hitam itu. Kesannya sehingga sekarang dia begitu takut apabila melihat pantai ibarat seorang anak kecil yang takut dengan air.
Lebih berhati-hati
Boleh dikatakan selepas peristiwa malang itu, dia dan keluarganya langsung tidak ke pantai apatah lagi untuk bermandi-manda.
“Cukuplah dengan apa yang berlaku, saya betul-betul fobia bila lihat pantai apatah lagi melalui pantai Port Dickson, jiwa saya terus meremang mengingati tragedi itu,” katanya.
Walaupun sudah setahun berlalu, Helme tidak menafikan kesan akibat gigitan itu masih terasa hingga kini. Contohnya apabila dia tidur, kaki yang terkena gigitan itu seperti kebas kerana mungkin disebabkan perjalanan darah yang tidak lancar.
Namun perkara itu tidak mematahkan Helme untuk menjalani kehidupan seperti orang lain dengan melakukan aktiviti beriadah.
Helme memberitahu, cuma apa yang lebih penting dia kini perlu berjaga-jaga untuk melakukan aktiviti lasak dan melakukan rawatan susulan.
“Pada waktu ini, luka pada gigitan itu belum betul-betul sembuh kerana benang yang berada di dalam luka belum dikeluarkan. Jadi mungkin pada waktu yang terdekat ini, saya akan ke hospital untuk membuat rawatan susulan bagi mengeluarkan benang tersebut,” katanya yang sesekali mengusap-ngusap kakinya yang terasa kebas.
Ujar pemuda itu, apa yang dikesalkan sehingga sekarang, masih ada pihak yang tidak percaya reptilia yang mengigitnya ialah seekor buaya.
“Saya yang mengalaminya. Saya nampak sendiri binatang yang menggigit itu adalah seekor buaya dan bukan ikan atau sebagainya. Saya tetap dengan pendirian saya,’’ katanya yang menganggap peristiwa itu sebagai takdir yang telah ditentukan Allah yang Maha Esa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: