SIAPAKAH pemimpin yang akan digulingkan selepas Hosni Mubarak? Mampukah rakyat Iran menggugat pemerintahan Presiden Mahmoud Ahmadinejad atau berjayakah Yemen menuntut pembaharuan politik sekali gus peletakan jawatan Presiden Ali Abdullah Saleh?
Teka-teki kini bermain di fikiran masyarakat dunia mengenai kepincangan pemerintahan di negara-negara di Asia Barat. Ternyata, rakyatnya enggan menunggu lama untuk memperjuangkan hak mereka sebagai rakyat yang ditindas selama ini.
Penggulingan Hosni Mubarak hasil demonstrasi pembangkang itu ternyata bukan penutup tirai pemberontakan di Mesir. Ibarat tsunami, gelombangnya telah menghempas kerusi-kerusi pemerintahan pemimpin negara Asia Barat sehingga mereka tidak lagi dapat duduk dengan selesa.
Pemberontakan kumpulan pembangkang di Mesir adalah pencetus yang membangkitkan suara rakyat di negara-negara Asia Barat yang selama ini membatu. Mesir menjadi teladan kepada jiran-jirannya di sekiranya mereka mahu pembaharuan berlaku dengan pantas.
Di Teheran, Iran, ketua pembangkangnya, Mahdi Karroubi berkata, dia sanggup membayar apa juga harga bagi membawa perubahan demoktarik kepada negara berkenaan menerusi demonstrasi jalanan yang diketuainya.
Tindakan yang mungkin membawa Karroubi ke tali gantung itu bukan sahaja bagi menyokong pemberontakan yang dilancarkan oleh penduduk di Mesir tetapi untuk membuka pekung pemerintahan pemimpin negara berkenaan, Presiden Mahmoud Ahmadinejad.
|
|
Dalam kejadian sama yang membabitkan beribu-ribu aktivis pembangkang Iran, dua individu maut sementara beberapa yang lain mengalami kecederaan manakala berpuluh-puluh penunjuk perasaan telah ditahan kerana menyertai protes haram yang bertujuan menguji kekuatan kumpulan reformis di republik Islam tersebut.
Laungan Allahu Akbar kedengaran dari atas bumbung beberapa bangunan di Teheran dalam mengenang kejadian protes yang dilancarkan ke atas Presiden Mahmoud Ahmadinejad pada 2009.
Tunjuk perasaan jalanan besar-besaran yang berlarutan selama sebulan itu dan mengakibatkan lapan orang maut, selain beberapa penangkapan serta pelaksanaan hukuman mati.
Laporan Fars mengenai keganasan penunjuk perasaan itu jelas menggambarkan pendirian keras pihak berkuasa untuk membendung kebangkitan semula pihak pembangkang.
Penunjuk perasaan
"Dua individu ditembak mati oleh penunjuk perasaan yang mengadakan perhimpunan di Teheran, manakala beberapa yang lain mengalami kecederaan," lapor Fars tanpa memberikan butiran terperinci.
Bagaimanapun, pendirian pihak berkuasa sehingga menyebabkan kematian itu hanya menyemarakkan lagi semangat aktivis pembangkang yang mahu kemenangan seperti dinikmati pemberontak Mesir turut berlaku di Iran.
Beberapa penunjuk perasaan di Iran melaungkan, 'Mati kepada diktator' semasa protes yang berlarutan di sesetengah kawasan sehingga lewat malam itu.
Gelombang pemberontakan yang turut memasuki Bahrain bagi mencabar pemerintahnya di negara Teluk yang merupakan sekutu penting Barat selain menempatkan Armada kelima tentera laut Amerika Syarikat (AS).
Kemiskinan dan kadar pengangguran yang tinggi telah memberi tekanan kepada rakyat Bahrain yang merupakan pengikut mazhab Syiah.
"Rakyat mahu rejim digulingkan," laung penunjuk perasaan sambil menumbuk dada mereka yang melambangkan simbol pengorbanan dan kesedihan.
"Kami menuntut hak kami secara aman. Saya yakin kehadiran kami dalam jumlah besar akan membolehkan hasrat kami tercapai," kata seorang pelajar universiti, Bakr Akil, 20, yang memakai kain selimut berlumuran dakwat merah dalam satu demonstrasi.
Penunjuk perasaan mendakwa pemerintah dari puak Sunah yang memerintah negara tersebut telah mengenepikan mereka daripada mendapat kemudahan perumahan, penjagaan kesihatan dan pekerjaan dalam sektor awam.
Ketika ini, penunjuk perasaan mahu Perdana Menteri, Sheikh Khalifa Salam al-Khalifa berundur berbanding Raja Hamad Isa al-Khalifa yang mempunyai kata putus dalam politik.
Terdahulu, kekerasan pihak berkuasa telah menyebabkan kehilangan nyawa seorang. Ali Abdulhadi Mushaima, 21 menjadi korban pertama selepas demonstrasi besar-besaran yang diadakan di Teluk selepas kejatuhan Presiden Hosni Mubarak di Mesir.
Ali terbunuh selepas ditembak semasa pertempuran dengan pasukan keselamatan yang cuba menyekat protes Hari Kemarahan bagi menuntut kebebasan dan hak politik lebih luas daripada kerabat diraja yang memerintah Bahrain.
|
|
Bantahan meningkat
Sekurang-kurangnya 25 orang cedera dalam pertempuran itu, dua daripada mereka dilaporkan dalam keadaan kritikal selepas terkena tembakan.
Bagaimanapun, seorang lagi pemuda maut selepas menyertai perhimpunan perarakan jenazah Ali dalam protes besar-besaran awal minggu ini. Dia meninggal dunia akibat terkena tembakan peluru penabur yang dilepaskan semasa kekecohan berlaku.
Kematian lelaki itu bakal meningkatkan protes dan hanya memarakkan api kebencian kepada pemerintah di Bahrain.
Bahrain yang majoriti rakyatnya bermazhab Syiah diperintah oleh kerabat diraja Sunah pimpinan Raja Hamad Al-Khalifa yang menguasai jawatan Perdana Menteri dan kementerian-kementerian penting.
Pertempuran di Yemen juga adalah bagi menuntut pembaharuan politik dan peletakan jawatan Presiden Ali Abdullah Saleh.
Di kalangan 23 juta rakyat di negara itu, 40 peratus hidup dengan pendapatan kurang daripada AS$2 (RM6.20) sehari, satu pertiga mengalami kelaparan kronik dan satu dalam dua orang memiliki senjata api.
"Revolusi lebih mudah berlaku di Yemen berbanding di Mesir kerana kemiskinan di sini lebih teruk dan lebih ramai rakyat yang kelaparan," kata Tawakul Karman yang merupakan pengerusi Wartawan Wanita Tanpa Rantai.
Penunjuk perasaan yang kebanyakannya pelajar universiti, peguam dan aktivis hak asasi itu melaungkan slogan mengutuk Saleh dan samseng-samseng presiden itu.
"Rakyat mahu menggulingkan rejim," laung mereka yang mengulangi slogan penunjuk perasaan di Mesir. Sepasukan kecil polis cuba menyuraikan penunjuk perasaan dengan gas pemedih mata dan belantan tetapi mereka meneruskan perarakan dari Universiti Sanaa menuju ke pusat bandar.
Ramai anggota polis dan hampir 2,000 penyokong kerajaan menantikan penunjuk perasaan tersebut di pusat bandar Sanaa. Tetapi, demonstrasi itu dijangka bertambah besar apabila ratusan lagi pelajar dan aktivis menyertai perarakan di ibu kota ini.
Awal minggu ini, batu dilontar dan belantan diayunkan di tengah Sanaa apabila penunjuk perasaan bertempur dengan polis dan penyokong Saleh. Pertempuran antara polis dengan beribu-ribu penunjuk perasaan juga tercetus di bandar Taez, selatan Sanaa semalam, menyebabkan kecederaan.
Sementara itu, Presiden Barack Obama dalam pendiriannya ke atas pemberontakan yang berlaku di negara-negara Asia Barat memberitahu, beliau percaya bahawa pemilikan kuasa se cara paksaan tidak akan bertahan lama, merujuk kepada pemerintahan Mesir di bawah Hosni Mubarak yang tidak direstui sebahagian rakyatnya.
Kuasa moral
Beliau berkata, pengajaran yang dapat diambil oleh semua negara ialah, mereka hanya dapat melihat perubahan yang berkekalan dan mendapat sokongan dalaman dan anta rabangsa, apabila ia datang melalui kuasa moral. Beliau bagaimanapun berdiam diri mengenai siapa yang harus mengambil alih pemerintahan Mesir serta perubahan yang harus dilakukan.
Dalam pada itu, pergolakan yang berlaku di negara-negara Asia Barat telah menimbulkan kebimbangan Israel seandainya ia mampu memandu agenda anti-Israel oleh rakyat Mesir. Jurucakap AS John Boehner memberi jaminan bahawa mereka akan berdiri di belakang Israel yang di anggap berkongsi nilai yang sama sekali gus mementang musuh sama dalam bentuk keganasan ekstrem.
"Orang-orang Israel telah banyak berkorban demi keamanan dan kestabilan. Dengan perubahan yang pantas berlaku di Asia Barat, AS akan bergabung dengan Israel bagi mengekalkan keamanan dan kestabilan di rantau berke naan," katanya.
Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr. Mohamad Agus Yusoff ketika dihubungi berkata, kerajaan yang gagal memenuhi tuntutan asas rakyatnya sebaiknya turun daripada takhta pemerintahan supaya dapat digantikan dengan kerajaan baru yang lebih baik.
"Negara-negara Asia Barat yang selama ini berdiam diri mendapat ilham selepas kejatuhan Hosni Mubarak untuk menuntut hak-hak mereka yang selama ini diabaikan oleh pemerintah negara setelah sekian lama.
"Selagi tuntutan mereka tidak dipenuhi, pemberontakan tidak akan berakhir tetapi merebak dengan pantas bukan sahaja di negara-negara Asia Barat tetapi juga di negara-negara lain seperti Algeria," katanya.
Menurut beliau, penduduk di negara terbabit berhadapan masalah luar biasa sejak sekian lama terutama jurang taraf hidup yang terlalu luas. Dengan erti kata lain, ada masyarakat kaya yang semakin kaya dan masyarakat yang hidup miskin dan semakin melarat.
"Masalah kemiskinan tegar, pengangguran yang tinggi, pendapatan yang terlalu rendah telah mendesak golongan yang selama ini ditindas dan hak mereka dinafikan bangkit menuntut keadilan serta tidak peduli lagi dengan ancaman yang bakal dihadapi," katanya.
Tambah Agus, perkara paling mustahak yang dituntut golongan berkenaan ialah perubahan yakni kehidupan yang lebih selesa dan ruang untuk terlibat dalam politik.
"Dua perkara ini adalah asas yang dapat menyelamatkan sesebuah kerajaan daripada digulingkan. Selagi perut rakyat dijaga, tiada yang hidup dalam kelaparan selagi itu kerajaan akan selamat," katanya.
Selain itu, masalah korupsi tidak dapat dielakkan sekiranya pemerintah yang sama menduduki kerusi pemerintahan melebihi dua penggal.
"Pemerintah tidak seharusnya meneraju negara melebihi dua penggal. Sekiranya mereka masih berkuasa melebihi sepuluh tahun, akan berlaku masalah rasuah secara berleluasa," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: