Sunday, February 6, 2011

Fantasi magis Zul, Adi


FILEM Haq mempamerkan sisi antagonis seorang Adi Putera dan protagonis Zul Huzaimy yang disertakan kuasa besar masing-masing.


DIUAR-UARKAN sebagai sebuah filem aksi dan superhero alam Melayu, Haq mencetuskan variasi respons dalam kalangan penontonnya.

Apa yang ketara, filem pertama terbitan KasehDia Picture itu menampil dua hero pujaan ramai, Zul Huzaimy Marzuki dan Adi Putera sebagai watak putih dan watak hitam.

Dengan kata lain, Zul sebagai hero manakala Adi pula simbol kejahatan yang mencetuskan konflik filem berkenaan.

Sedikit berbeza daripada filem Melayu biasa, pertentangan zahir dan batin dua watak itu 'diperindahkan' oleh kuasa magis dan kebolehan luar biasa.

Selain Zul Huzaimy, Adi Putera dan Nanu, turut membintangi filem berkenaan ialah Raja Farah, Fatimah Abu Bakar, Zulkifli Ismail, Ammar Adli Mohamed Norin dan Airul Adli Mohamed Norin.

Membakar persoalan yang bergumpal di hati khalayak, Zul dan Adi bercerita tentang rasa, aspirasi dan pemahaman yang berlingkar di sebalik penghayatan sebuah filem berjudul Haq.

Sensasi Bintang: Bagaimana dengan kepuasan sesebuah watak dalam filem, kalian pilih watak antagonis atau protagonis tambahan pula kena bermain dengan imej janaan komputer (CGI)?

ZUL HUZAIMY (ZUL): Watak antagonis rasanya lebih puas, watak protagonis pun puas juga tetapi apabila bermain dengan kuasa-kuasa macam adiwira seperti Haq, rasanya ada benda yang tak boleh diluahkan.

Kena hati-hati takut terlebih nanti keluar gerak-gerak atau visual yang sama dengan filem-filem adiwira yang pernah ditonton.

ADI PUTERA (ADI): Sebenarnya tiada kepuasan dalam lakonan, saya memberikan apa yang mencukupi dan boleh merubah karakter sama ada jahat atau baik.

Jadi bila ada CGI, pelakon kena ada ukuran untuk memposisikan diri, pengarah dan penyunting juga kena lebih kreatif.

Bagaimana mahu membuat khalayak percaya bahawa kuasa luar biasa itu memang ada dalam diri watak?

ZUL: Lakonan biasa tiada kesan CGI, saya harap penonton boleh terima kesan sebegitu. Tentang kuasa pula, saya lebih selesa jika disebut ilmu kebatinan. Apa yang penting bukannya luaran tetapi dalaman.

Untuk bawa watak baik yang ada kuasa batin agak sukar, bila buat lebih-lebih takut nampak tidak jujur.

ADI: Kuasa boleh berkait dengan nafsu kerana nafsu juga bermacam-macam perkara boleh terjadi. Soal keyakinan itu bergantung pada individu. Untuk meyakinkan orang juga berbalik kepada siapa ikon atau adiwira itu sendiri.

Masih ingat filem adiwira pertama yang menjadi kegemaran kalian dan kenapa?

ZUL: Saya suka Mighty Mouse, karakternya masih ada dalam kepala saya walaupun saya mula kenal watak Mighty Mouse itu pada usia empat atau lima tahun.

Saya ingat lagi, bapa saya beli mesin projektor dari Kuala Kangsar supaya kami adik-beradik boleh tengok kartun itu di rumah.

Ia animasi dan lagi pun ia bukan manusia, watak tikus yang ada kuasa itu sesuatu yang menarik, comel. Saya kurang gemar dengan Ultraman sebab ia bertukar jadi imej lain.

ADI: Superman. Saya mula tengok Superman sejak umur enam tahun dan tonton semua siri Superman sejak ia lakonan Christopher Reeve lagi.

Superman boleh terbang, adiwira lain biasanya ada kekuatan tapi Superman boleh terbang ke mana sahaja sampai ke planet lain.

Jika diberi pilihan, kuasa bagaimana yang dimahukan?

ZUL: Saya pilih kuasa macam dalam filem Jumper, yang ada kuasa untuk berpindah tempat dan masa lain begitu sahaja. Saya suka bercuti jadi seronok kalau ada kuasa itu.

ADI: Kuasa terbang supaya saya boleh ke mana sahaja tanpa halangan.

Rasanya apa pendorong manusia untuk memiliki kuasa luar biasa?

ZUL: Sebab bulan dan matahari itu tiada tali dan tidak tergantung di mana-mana. Kita juga dituntut untuk percaya adanya alam ghaib.

Sedar atau tidak, setiap masa juga ada kuasa luar biasa, ada orang masih boleh hidup berminggu tanpa makan dan minum. Masa tubuh kita lemah juga, roh kita akan menolak kita ke alam atau tempat lain. Itu pun kuasa.

ADI: Sebab manusia selalu melalui kesusahan. Kesukaran untuk hidup menyebabkan kita terfikirkan jalan pintas iaitu kuasa untuk bebaskan diri.

Pernah terbayangkan malapetaka besar atau bayangan yang sangat menakutkan?

ZUL: Ada. Masa memandang ke langit malam gelap yang nampak bintang, kemudian ia bersinar penuh, saya takut ia terpadam dan jatuh menghempap bumi.

Masa itu, terfikir mana mahu lari. Terfikir juga bagaimana jika ada benda runtuh dari langit atau tiba-tiba ada batu yang entah dari mana menghentam kereta yang sedang dipandu.

ADI: Saya paling takut kalau rumah tangga saya hancur berkecai. Soal bencana lain, mati atau kiamat, itu semua pasti berlaku. Saya bersedia.

Watak adiwira yang digemari?

ZUL: Saya suka Joker kerana adalah satu pembohongan bahawa semua adiwira itu baik. Joker sangat jahat tapi dia juga ada perasaan kasih.

Saya pilih untuk si jahat yang buat baik sekali sahaja tetapi kebaikan dikenang sepanjang hayat daripada si baik yang buat jahat sekali tetapi kejahatannya dikenang sampai mati.

ADI: Saya tetap pilih Superman. Karakternya sangat kena dengan muzik latar filem itu sejak dulu lagi.

Saya gemarkan watak Superman sejak zaman Christopher Reeve sampailah ke hari ini. Tapi saya tak gemarkan Smallville sebab ia sudah menjadi drama bersiri yang panjang, saya tetap suka filem, ia tamat dalam satu cerita.

Seseorang adiwira itu harus bertopeng atau tidak?

ZUL: Kalau saya, rasanya tak perlu. Itu yang terjadi kepada Heath Ledger, dia tak perlu pakai topeng untuk jadi Joker, solekan sahaja. Dia Joker terbaiklah.

ADI: Tak perlu. Kalau saya jadi adiwira pun tak perlukan topeng. Tuhan telah berikan kita rupa, jadi kenapa identiti itu disembunyikan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: