3,692 pengajar di masjid, surau nikmati faedah berkuat kuasa Januari
KUALA LUMPUR: Seramai 3,692 guru takmir iaitu guru agama yang mengajar di masjid dan surau di seluruh negara menerima kenaikan elaun sebanyak RM800 sebulan berkuatkuasa bulan lalu.Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sempena Multaqa Guru Takmir Kebangsaan dan Sambutan Jubli Perak ke-25 Program Takmir Masjid dan Surau di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.
Perdana Menteri dalam ucapannya berkata, dengan pemberian elaun berkenaan, imej guru takmir dapat ditingkatkan sesuai dengan martabat guru berkenaan yang menyebar dan mengembangkan lagi syiar Islam di negara ini.
Katanya, guru takmir adalah satu kumpulan yang sangat penting dalam membangunkan Islam dan umatnya di negara ini kerana mereka merujuk kepada kumpulan mengimarahkan dan memakmurkan masjid dan surau.
“Memakmurkan masjid berkait rapat dengan usaha membangunkan insan yang berkualiti sesuai dengan usaha membangunkan umat Islam dan maju selaras dengan proses transformasi yang sedang dilaksanakan kerajaan untuk menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020,” katanya.
Najib turut mencadangkan supaya program takmir yang diadakan di masjid dan surau diberi pendekatan yang dapat menarik golongan muda menyertainya kerana kini hanya kira-kira lima peratus remaja saja mengikutinya.
“Penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) seperti alat multimedia akan dapat mengajak lebih ramai generasi muda menyertai program berkenaan seterusnya dapat menghasilkan modal insan yang sangat diperlukan untuk program transformasi yang dijalankan kerajaan kini,” katanya.
Kajian Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) mendapati 65 peratus peserta program takmir adalah mereka yang berusia 50 tahun ke atas.
Sementara itu, ditanya mengenai pelajar Malaysia yang dibawa pulang dari Mesir, katanya kerajaan kini sedang mengkaji beberapa alternatif untuk menentukan nasib pelajar berkenaan berikutan keadaan di negara berkenaan masih tidak selamat walaupun demonstrasi rakyat sudah berakhir.
Antara alternatif yang sedang difikirkan kerajaan termasuk mengadakan peperiksaan dan sebahagian pengajian di dalam negara, dan membawa pensyarah dari Mesir ke negara ini.
“Kalau keadaan di Mesir pulih kita akan buat persiapan secepat mungkin menghantar mereka, kalau keadaan masih berpanjangan dan tidak berubah, kita buat pertimbangan dan alternatif lain. Kita kaji pelbagai aspek lagipun kita tidak tahu bentuk kerajaan baru di sana dan bagaimana proses pemerintahannya sama ada keadaan akan aman dan stabil kembali,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: