![]() |
| PEN Stylus yang terdapat pada gajet ini membolehkan pengguna melakukan kawalan pada skrin sesentuh. |
DUNIA hiburan sekarang dipenuhi teknologi tiga dimensi (3D). Selepas menguasai panggung-panggung wayang, dunia 3D beralih kepada kotak televisyen, permainan konsol dan juga permainan mudah alih.
Terkini Nintendo mengumumkan syarikatnya akan melancarkan konsol permainan 3D tanpa menggunakan cermin mata melalui permainan mudah alihnya Nintendo 3DS yang akan dilancarkan pada 26 Februari di Jepun, 25 Mac di Eropah dan diikuti dua hari selepas itu di Amerika Syarikat.
Produk yang akan dijual dengan harga antara RM900 dan RM1,200 itu akan dipasarkan dengan dua warna iaitu Cosmo Black atau Aqua Blue dan diyakini pelbagai pilihan warna akan juga diperkenalkan di masa depan.
Boleh diubahsuai
Antara ciri-ciri lain yang diperkenalkan untuk permainan bergerak ini ialah skrin sesentuh dan paparan 3D yang boleh diubahsuai, sama ada pengguna ingin menggunakannya atau tidak.
Nintendo menganggapnya sebagai butang 'kawalan ibu bapa' memandangkan mereka boleh menetapkan anak-anak mereka yang mana yang boleh bermain permainan 2D atau 3D.
Selain mempunyai butang-butang kawalan dan Control Pad dalam model DS sebelum ini, modul 3DS ini juga mempunyai Circle Pad yang memberikan kawalan 360 darjah kepada pengguna untuk mengemudikan dunia 3D mereka.
Gajet ini juga mempunyai sensor pergerakan terbina dalam dan sensor gyro yang mampu memberikan pengalaman menarik apabila dimainkan dengan permainan yang mempunyai ciri-ciri pergerakan.
Apa yang lebih menarik, pek 3DS dilengkapi dengan tiga kamera - satu daripadanya menghadap pengguna dan dua lagi menghala ke hadapan.
Dengan ciri-ciri itu, pengguna boleh mengambil gambar 3D mereka sendiri dan kemudiannya ditonton pada skrin konsol 3DS.
Dua kamera di hadapan itu juga boleh digunakan untuk disambungkan kepada kad 'augmented-reality' (AR) - yang membolehkan imej dan animasi dibaca di atas skrin 3D tersebut.
Dari segi sambungan pula, ciri-ciri StreetPass akan membolehkan pemain untuk berkongsi maklumat permainan seperti data karakter Mii, peta permainan dan skor tertinggi.
Ciri-ciri SpotPass pula membolehkan konsol itu disambungkan kepada hotspot dan rangkaian Wi-Fi bertujuan untuk mendapatkan kandungan baru dan kemaskini.
Konsol 3DS juga sesuai digunakan dengan kad permainan DS dan juga mempunyai slot kad SD dengan mempunyai kad SD 2GB.
Selepas pelancaran produk ini, Nintendo akan menawarkan perkhidmatan yang membolehkan pemilik DSi dan DSi XL untuk memindahkan permainan yang dimuatturun dari Nintendo DSi kepada 3DS.
Selain konsol yang canggih, peminat sentiasa bertanyakan bagaimana sokongan daripada syarikat pengeluar permainan?
Nintendo menyatakan selain daripada permainan sedia ada, terdapat lebih daripada 30 judul permainan akan berada di pasaran sebaik sahaja pelancaran 3DS tidak lama lagi.
Antara judul permainan itu ialah PilotWings Resort, nintendogs + cats and Steel Diver, The Legend of Zelda: Ocarina of Time 3D, Star Fox 64 3D, Kid Icarus: Uprising dan versi baru Mario Kart, Animal Crossing dan Paper Mario.
Model Nintendo sebelum ini iaitu Nintendo DS telah dijual lebih 130 juta unit di seluruh dunia dan ciri- ciri 3D baru sudah pasti dinanti- nantikan oleh peminat permainan konsol.
Sebelum ini, Sony juga telah memperkenalkan sistem PlayStation Move yang membolehkan pengguna bermain permainan 3D tetapi mereka harus memakai cermin mata khas.
Bagaimanapun, bagi memberikan saingan secara terus, kepada 3DS, Sony minggu lepas telah mengumumkan peranti bergerak terbarunya yang dikenali dengan nama kod NGP.
Kelebihan NGP ialah mempunyai pemproses 'quad-core ARM Cortex-A9, skrin sesentuh 5 inci, rangkauan telefon 3G dan sokongan WiFi.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: