NIBONG TEBAL - Melihat fizikalnya yang normal dan tingkah lakunya yang lincah, pasti ramai yang menyangka Anas Muhaimin Mohd. Fauzi, 2, sedang membesar seperti kebanyakan kanak-kanak seusianya.
Namun tidak siapa menduka, Anas Muhaimin sebenarnya sudah menanggung derita seawal usianya apabila disahkan menghidap masalah pada usus manakala paru-parunya pula dijangkiti kuman.
Bagaimanapun, kini kanak-kanak malang itu menderita jangkitan kuman pada paru-parunya selepas pembedahan masalah usus dilakukan pada 3 Februari lalu di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah pada 3 Februari lalu.
Bapanya, Mohd. Fauzi Nordin, 32, berkata, anak sulungnya itu disahkan menghidap kedua-dua masalah itu pertengahan bulan lalu setelah menjalani pemeriksaan di sebuah klinik berhampiran.
Mengimbas kembali penderitaan Anas Muhaimin, Mohd. Fauzi memberitahu, sebelum itu dia menyangka anaknya itu hanya mengalami demam biasa tetapi setelah beberapa hari tidak sembuh, dia mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena.
"Bimbang dengan kesihatan Anas, saya bawa dia menjalani pemeriksaan di Hospital Sungai Bakap (HSB) dan kemudiannya dimasukkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) selama dua minggu.
"Selepas itu, baru doktor kesan dan sahkan dia menghadapi masalah pada usus dan paru-parunya," katanya ketika ditemui di rumahnya ketika lawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Nibong Tebal, Rashidi Zinol di Kampung Changkat di sini semalam.
Pada lawatan itu, Rashidi menghulurkan sedikit bantuan.
Disebabkan saluran usus anaknya semakin membengkak, satu pembedahan dilakukan di HSB sebelum dimasukkan semula ke HSJ untuk rawatan lanjut.
Jelas Mohd. Fauzi, biarpun berhabis kira-kira RM2,000 untuk pembedahan itu, kebimbangannya masih belum reda kerana masalah jangkitan kuman pada paru-paru anaknya masih belum selesai.
"Pihak hospital memberitahu saya, keputusan mengenai jenis penyakit yang menyerang paru-paru anak saya hanya akan diketahui April ini.
"Dengan pendapatan sebagai pemandu lori, saya tidak mampu menanggung kos perubatannya yang terpaksa diambil secara berkala selain kos pembedahan paru-paru yang mungkin akan dijalankan nanti," ujarnya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Mohd. Fauzi di talian 012-4964483 atau menghulurkan sumbangan ke akaun EON Bank melalui nombor 0078200065882.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: