Friday, February 25, 2011

Cinta kilat Dira, Helmi




LANGSUNG tidak pernah menyangka, hati empunya diri bernama Dira Abu Zahar sekali lagi berputik dengan bibit-bibit cinta sejati yang hadir tanpa diduga. Tidak pernah memaksa diri untuk mencari cinta, Dira percaya naluri itu akan hadir dengan sendiri. Apatah lagi, wanita bertubuh kecil itu bukannya mempunyai masa untuk sentiasa memikirkan siapakah jejaka yang akan bertakhta di hati.

Melalui liku-liku kehidupan sendirian hampir setahun, setelah perkahwinannya yang dibina bersama salah seorang anggota kumpulan Bau, Ash atau nama sebenarnya Tengku Shafiz-Rullah Tengku Mohd. Shahid berakhir dengan kedukaan.

Bagaimanapun, Dira tidak pernah putus semangat untuk menerima insan yang sesuai dengan peribadinya. Namun, hati wanita mana yang tidak sunyi dan memerlukan teman hidup bukan sahaja sebagai peneman berkongsi kisah manis malah duka.

Itulah yang dilalui oleh Dira, 28, yang mampu mengukir senyuman manja apabila kehidupannya kini tidak kosong. Kekurangan untuk melancarkan lagi kehidupan telah diserikan dengan kehadiran seorang pengarah fotografi, Mohd. Helmi Mohd. Yusof. Helmi merupakan bekas tunang aktres dan model Nasha Aziz.

Lebih menggembirakan Dira ialah apabila hubungan yang dijalinkan hanya dalam masa sesingkat tiga bulan lalu disulami dengan perasaan cinta sungguh mendalam membuatkan pasangan itu memutuskan untuk bertunang.

Majlis pertunangan yang diadakan dua minggu lalu berlangsung lancar di kediaman keluarga Dira di Merlimau, Melaka. Ia memang sengaja diadakan secara tertutup dan di luar pengetahuan pihak media bagi memberi keutamaan kepada ahli keluarga dan sanak-saudara terdekat.

"Sebelum ini saya dan Helmi pernah kenal antara satu sama lain tetapi kami bukannya seorang rakan yang baik. Namun, disebabkan kerja Tuhan, tiba-tiba hubungan itu terjalin dengan lebih serius ketika pengambaran filem Untuk 3 Hari.


DIRA memberitahu, hanya menjalin cinta selama tiga bulan dengan Helmi sebelum mereka bertunang.


"Seterusnya, Helmi menyatakan hasrat untuk meminang. Setelah melihat Helmi begitu bersungguh dan bersedia, pintu hati ini terbuka," terangnya dengan nada cukup gembira.

Tidakkah tempoh hubungan singkat itu memberi gambaran bahawa anda dan pasangan seolah-olah terburu-buru?

Lantas, Dira menjelaskan dakwaan yang diberikan itu sebenarnya tidak tepat. Keputusan setiap pasangan untuk meneruskan hala tuju hubungan masing-masing pastinya sudah dibincang dan difikir semasak-masaknya.

Tidak semestinya jalinan cinta yang memakan masa bertahun-tahun akan menemui jalan kegembiraan. Atas dasar penerimaan kekurangan dan kelebihan sudah cukup membuatkan pasangan itu bahagia.

"Saya sendiri tidak mahu membuang masa selain kami sememangnya mempunyai keserasian. Jadi untuk jadikan hubungan kami lebih serius, saya rasa soal tempoh kenal mengenali tidak mendatangkan masalah.

"Paling penting kami saling memerlukan," jelas Dira.

Perkahwinan lalu mengajar

Wanita bertubuh kecil itu boleh dikatakan seorang individu yang memiliki semangat kuat. Ini kerana kegagalan bahtera alam perkahwinan yang lalu tidak pernah dijadikan alasan untuk Dira menemui pengganti.

Bahkan, dirinya sentiasa mengingatkan supaya jangan menjadikan kenangan pahit yang dialami mengganggu ruang kehidupannya dan cahaya mata kesayangan, Tengku Anggun Deandra Tengku Tengku Shafiz-Rullah, 2 tahun.


ANAK Dira, Tengku Anggun Deandra, boleh menerima kehadiran bapa baru dalam kehidupannya.


"Salah sekiranya saya menuding jari kepada orang lain dengan apa yang telah terjadi kepada saya sebelum ini. Kegagalan rumah tangga sebelum ini datangnya dari diri saya sendiri bukannya orang lain yang menimbulkan masalah.

"Kini saya perlu buka buku baru sekali gus menjadikan kekurangan pernikahan yang lalu dapat diubah," ujarnya ikhlas.

Kerancakkan tutur kata Dira sememangnya menggambarkan dia sudah melenyapkan kisah lalu dalam hidupnya. Soal trauma dengan perkataan suami juga tidak terlintas difikiran.

Baginya, tidak adil jika dia menghakimi Helmi dengan situasi yang pernah dilalui. Sikap setiap insan berbeza-beza, peluang harus diberi bukannya menjadikan perkara lalu sebagai penghalang untuk terus gembira.

"Jadikan perkara lalu sebagai pengajaran. Bina hidup baru dan saling mengingati antara satu sama lain," ungkapnya ringkas.

Menyentuh sedikit kisah anak tunggal kesayangannya, Dira sungguh gembira kerana Helmi merupakan seorang insan yang bijak menyesuaikan diri bermesra dengan Anggun.

Begitu juga dengan Anggun yang kelihatan tidak kekok apabila dibawa berjumpa malahan boleh menerima kehadiran Helmi di sisi ibunya.

"Dari awal lagi Anggun tidak menunjukkan sebarang reaksi yang pelik apabila berjumpa dengan Helmi. Sudah menjadi tanggungjawab untuk perkenalkan Helmi dengan anak saya supaya dia juga boleh menerima Anggun.

"Sudah cukup untuk saya lihat Helmi boleh mengawal keadaan jika bersama Anggun," katanya sambil gelak kecil.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: