Wednesday, February 2, 2011

Berkat tidak boros




SEPANJANG empat tahun bergelar pengisi di daerah seni, banyak pengalaman waima bercorak hitam atau putih telah dijalani oleh Mila. Dengan fizikal kecil molek, siapa sangka, bekas juara sulung wanita Akademi Fantasia 5 (AF5) itu terus berjalan tanpa henti sambil menjunjung ambisi.

Dengan kesendirian Mila berlayar di lautan hiburan penuh cabaran, rupa-rupanya, dia dalam diam pernah berdepan sedikit kesulitan dalam tempoh itu. Namun, berkat kebijaksanaan diri merencana untuk masa depan, setiap yang singgah di laluan depannya berjaya ditempuhi.

"Saya pernah berdepan sedikit masalah sekitar tahun 2009. Waktu itu, ekonomi agak bermasalah. Ia menyebabkan saya terasa bahangnya tambahan pula tawaran persembahan nyanyian ada yang dibatalkan pada saat akhir hingga kehidupan saya jadi agak mencabar.

"Begitupun, saya mengucap kesyukuran kerana berjaya mengharungi kesukaran ini selepas mengamal sikap menabung. Ini semua atas jasa keluarga yang selalu mengingatkan saya agar menyimpan wang dan tidak boros berbelanja dengan pendapatan diperoleh.

"Sudah menjadi lumrah, kalau dapat duit buat pertunjukan pentas, saya akan bayar segala yang perlu didahulukan. Kemudian, selebihnya barulah saya akan simpan," jelas Mila ketika ditemui pada pelancaran album keduanya yang berjudul Mila Jirin di ibu negara baru-baru ini.

Dalam tempoh empat tahun itu juga, akui penama lengkap Noorsyarmilla Jirin, banyak transisi ketara dapat disaksikan pada diri. Selain perubahan daripada orang biasa yang kini namanya mengharum di laman seni, dia juga mengaku bisnes serba glamor diceburinya banyak memberi pintu rezeki.

"Selepas menyertai dunia nyanyian, ia dilihat pantas mengubah kehidupan saya dan keluarga. Tidak terkecuali, saya mempelajari pelbagai benda dan pengalaman baru termasuk sedar setiap asam garam yang perlu dihadapi berada dalam kelompok ini.

"Industri ini diibaratkan bola. Ada waktu kita berada di atas dan ada masanya di bawah. Lantaran itu, saya kena sentiasa bersiap sedia untuk mempersiapkan diri mengharungi keadaan tertentu," tutur Mila yang bahagia dengan kelancaran kariernya pada tahun 2010.

Berkongsi cerita tentang atmosfera bekas graduan AF semakin ramai lenyap begitu sahaja termasuk juara lain, wanita berusia 24 tahun ini berpendapat, apa jua yang berlaku, ia berbekalkan usaha keras setiap individu. Tiada sesiapa harus dipersalahkan dalam hal ini.


KEMUNCULAN album keduanya ini dijangka mampu mengangkat bakat nyanyian Mila ke tahap yang lebih tinggi.


"AF ibarat menyediakan sampan untuk kami. Maka, ia terpulang kepada mereka untuk mendayung sampan ini. Selepas bergerak sendiri tanpa bantuan syarikat pengurusan sebelum ini, saya akui menjalani kehidupan sangat mencabar apatah lagi masih mentah.

"Pada masa itu, saya hanya fikir bahawa diri bakal didatangi dua kesimpulan - gagal atau berjaya. Alhamdulillah, saya dapat melalui setiap yang datang dengan sebaik mungkin. Malah, kerjasama saya bersama Erama Records Sdn. Bhd. baru-baru ini juga berjalan lancar.

"Syarikat yang menerbitkan album baru saya ini dengan kolaborasi MJ Panacea Records Sdn. Bhd. dianggap bersungguh membangunkan kerjaya saya pada tahap lebih tinggi," jawab anak jati Teluk Kumbar, Pulau Pinang itu yang menghidang pembaharuan pada album barunya.

Tonjol bakat menulis lirik

Raut wajah Mila sekelip mata berubah saat dihadapkan pertanyaan tentang album baru mengangkat judul namanya sendiri. Tersenyum kegembiraan dengan penampilan terkininya yang lebih segar, dia memberitahu kelahiran naskhah membawa pengertian tersendiri kepada hidupnya.

Album Mila Jirin yang diisi dengan lima buah lagu - Bebas, Malu-Malu, Luahan Hati, Kata Hati dan Kasih Yang Terdampar sebenarnya menjadi kepuasan tidak terhingga buatnya sementelah dia terlibat dalam proses di sebalik tabir termasuk menghasilkan lirik lagu Bebas.

"Untuk pengetahuan peminat, album ini mengandungi lebih banyak lagu rancak berbanding berentak perlahan. Saya belajar dan mengkaji sendiri pasaran sekarang. Namun, ini bukan bermaksud saya tidak mahu lagi menyanyikan lagu balada seperti permulaan dalam bidang ini.

"Tidak wujud soal saya tidak punya arah tertentu dalam bergelar penyanyi. Saya sebaliknya berdiskusi panjang lebar dengan pihak Erama dan MJ Panacea tentang kelainan hendak ditonjolkan kepada para peminat menerusi album solo kedua ini.


MUNCUL dengan imej baru yang lebih segar dan hebat, Mila mahu memastikan 2011 menjadi tahun yang merangsang kerjaya seninya.


"Muzik ditampilkan kali ini juga kedengaran lain berbanding album sulung yang lebih relaks. Dengan penggunaan pemuzik berkumpulan dan vokal, saya ingin menonjolkan kematangan diri selepas beberapa tahun berkecimpung dalam dunia nyanyian.

"Puas hati sangat sebab saya dapat melibatkan diri dalam penghasilan album ini. Kalau sebelum ini saya hanya merakam lagu di studio dan terus pulang ke rumah, sekarang semua lain kerana saya pergi ke rumah komposer untuk berbincang dengan lagu," tutur Mila.

Tidak hanya itu, pelontar Persis Mutiara itu juga buat kali pertama menguji bakat seninya dengan penghasilan lirik. Menerusi lagu Bebas, Mila meluah emosi diri selepas tidak lagi terikat dengan syarikat rakaman. Ia merupakan kisah benar berlaku kepada dirinya.

"Lagu ini ditulis pada Oktober 2010. Boleh dikatakan ia menjadi pertaruhan awal saya untuk menulis lirik. Bebas punya signifikan sendiri kerana ia berdasarkan pengalaman ditempuhi sebelum ini yang ingin merasai erti kebebasan," spontan kata Mila.

Bersungguh membikin album penuh walau dalam situasi penyanyi lain mengambil jalan pintas menghadirkan single, hakikatnya, Mila meraih inspirasi daripada kata-kata hikmah oleh penyanyi veteran terkenal, Jay Jay. Justeru, wanita dilahirkan pada 23 Disember 1987 ini enggan terkebelakang.

"Jay Jay pernah beritahu saya bahawa artis kena ada produk kalau tidak mahu hilang atau senyap daripada umum. Selepas itu, saya fikir ada benar katanya. Penghasilan lagu penting kerana ia boleh berkumandang di stesen-stesen radio," tambah Mila.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: