Sunday, February 6, 2011

Belahan jiwa Ummi & Yusry




ADA adegan usik-mengusik dalam pertemuan dua nama yang jarang benar disatukan ini. Jika tidak mengenal manikam, tidak mustahil ada yang beranggapan terselit sesuatu di sebalik pandangan mereka.

Pada rembang petang Isnin lalu, bertuah rasanya apabila dapat melihat warna pelangi daripada raut lelaki berusia 38 tahun itu.

Itu warna yang membuka ruang percakapannya menjadi ramah dan bergurau senda. Sesuatu yang jarang diperoleh daripada Yusry Abdul Halim.

Tanpa segan, kerapkali dia mencelah, mengusik si bunga yang baru terbang dari kejauhan.

Ummi Nazeera banyak tersenyum mempamerkan sisi serius dan menyerlahkan kematangannya setelah semusim menjadi anak rantau di Melbourne, Australia.

Ujar Yusry, dia segan untuk turun padang kerana kerjanya lebih banyak di belakang tabir.

Cuma menjadi pengarah dan bukan wajah yang wajar mempromosikan filem keempat arahnannya, Hikayat Merong Mahawangsa yang bakal ditayangkan pada 10 Mac mendatang.

Mitos Merong Mahawangsa

Bila menyentuh soal kerja, Yusry memang boleh bersuara. Tambah lagi ini adalah hasil kerjanya yang ditunggu-tunggu khalayak.

Daripada judulnya sahaja, Hikayat Merong Mahawangsa sudah meremangkan bulu roma.

Menonton treler filem tersebut di laman YouTube seperti membakar keterujaan untuk menjadi antara orang pertama yang menyaksikannya di pawagam kelak.

Jujur Yusry, dia sebenarnya sedang membikin sejarah buat satu mitos. Ditelek-telek kembali, hikayat yang sudah divisualkan ini memang tiada sebuah fakta yang sahih.

Melihat hikayat ini lebih terarah sastera, kata Yusry, dia cuba merapatkan khalayak dengan elemen realiti berbanding mitos dalam filem dengan bajet RM8 juta itu.

Barangkali Yusry juga layak digelar penglipurlara versi milenium. Di tangannya, hikayat beratus tahun lampau itu mahu diberi sentuhan sendiri.

Elemen Hinduisme dan Buddhisme yang cukup menebal pada zaman itu dikurangkan sehabis baik bagi mengelak pertembungan sensitiviti masyarakat Islam.

"Filem ini mempunyai asas yang longgar. Saya cuba untuk membuatkan ia dipercayai. Masih merujuk kepada hikayat yang sebenar tetapi dikeluarkan mitos yang tidak boleh diguna pakai dalam budaya kita.

"Secara asasnya saya sedang 'mensejarahkan' sebuah mitos," ujar pengarah yang menjalankan kajian bersama penulis skripnya, Amir Hafizi.

Di sebalik ketelitian mencari keseimbangan antara fakta, mitos dan sejarah, Yusry mengakui terlalu besar kesukaran ditempuh sepanjang pembikinan filemnya ini.

"Pernah juga kapal yang kami bina pecah dihentam ombak dan ketika penggambaran di Terengganu, saya tidak pernah terfikir bahawa tiada orang India di sana yang boleh diambil sebagai pelakon tambahan.


YUSRI mengakui mitos Merong Mahawangsa menguji kemampuannya berkarya.


"Penggambaran terpaksa ditangguhkan dan kami perlu membawa orang India dari Kuantan, Pahang semata-mata untuk penggambaran di Terengganu," jelas Yusry yang menghabiskan penggambaran hampir dua bulan tanpa henti.

Gosip Maya & Kila Fairy

Senyum Yusry meleret saat fasa kedua wawancara bersamanya mahu dimulakan. Melihat reaksi penulis sahaja, dia tahu dan menunggu isyarat untuk memulakan ayat.

Persahabatannya bersama aktres cantik, Maya Karin masih enak untuk diajukan, sensasi Yusry membara apabila dikaitkan pula dengan pucuk baru, Kila Fairy, anak kepada penyanyi 90-an, Rohana Jalil.

"Saya dengan Maya sudah masuk dalam kategori kawan rapat yang tidak ada perasaan cinta. Boleh ke bercinta atau kahwin dengan kawan sendiri?

"Lelaki juga memerlukan wanita sebagai kawan baik untuk bercakap perkara yang jarang diceritakan bersama kawan lelaki," ungkapnya.

Persoalan siapa Maya di hatinya dibiarkan berlalu, nama Kila Fairy pula diacukan deras ke wajahnya.

"Alamak, Kila Fairy la pula. Dia baru berusia 19 tahun, muda sangat lagi nak digosipkan dengan saya.

"Kami rapat atas sebab kerja semasa penggambaran filem Karak. Itu sahaja. Tak ada sampai melibat perasaan," nafi Yusry meleraikan gosip terbarunya.

Maya bukan, Kila Fairy pun tidak, jadi siapa yang teristimewa di hatinya. Bingkas Yusry, sampai ke hari ini, dia belum bertemu cinta hati, calon isteri jauh sekali.

"Sejak bercerai dulu, saya ada berkawan dengan ramai perempuan tapi tiada yang istimewa.

"Ada yang dibawa tengok wayang, saringan itu ada tapi tiada dibawa bertemu ibu saya," katanya melirik kepada Ummi.

"Dengan Ummi pun saya pernah keluar," Yusry berseloroh nakal menembak si Embuk, aktres sandarannya dalam Hikayat Merong Mahawangsa.

Tidak perlu terheret dengan jodoh Yusry yang belum kesampaian, Ummi Nazeera dipelawa mencelah. Lama benar, khabar pemegang watak Cik Nin dalam Hantu Kak Limah Balik Rumah itu tidak disentuh.

Ummi kini berehat seketika daripada bidang seni sementelah dia kembali dikenali sebagai Nazeera Musa di kampus Universiti RMIT di Australia.


UMMI NAZEERA nekad memberi fokus seratus peratus untuk pelajaran buat masa sekarang.


"Di sana, panggilan Ummi agak susah disebut, mereka menyebutnya sebagai Yumi," katanya.

Ketaranya, anak bongsu daripada dua beradik itu kelihatan dewasa. Kepada kami, itu pertama kali wajahnya ditatap puas dalam satu sesi fotografi setelah lebih setahun Ummi mengikuti pengajian sejak 2009.

"Buat masa ini, fokus saya adalah pelajaran. Dulu saya pernah belajar di sebuah kolej swasta tempatan tetapi tidak fokus kerana asyik berlakon, sekarang saya tidak mahu perkara sebegitu berulang lagi.

"Bila berlakon saya boleh lupa pelajaran" jelas Ummi.

Seperti juga Yusry yang masih 'kosong', tiada sang penghuni yang bertakhta di hati, Ummi ketika ditanya soal cinta.

Seperti enggan tragedi lamanya diungkit semula, tidak mahu keberangkatannya ke bumi kanggaru itu disalahertikan sebagai pelarian daripada kontroversi.

"Niat saya untuk pergi belajar, bukan sebab lain. Benar ada berlaku perkara yang tidak perlu saya ungkitkan, tetapi itu hanya kebetulan.

"Saya memang sudah lama merancang untuk menyambung pelajaran," katanya.

Embuk milik Ummi

Tentang soal lelaki, Ummi tegas lagi. Ditanya tentang sifat yang harus dimiliki oleh seorang lelaki, katanya biarlah orangnya penuh tanggungjawab.

"Paling tidak boleh saya terima ialah lelaki kaki pukul, tapi puncanya mungkin kerana wanita itu yang melakukan provokasi," katanya tanpa huraian panjang.

Kembali fokus kepada komitmennya terhadap Hikayat Merong Mahawangsa, Ummi bangga diberi peluang terlibat dalam filem mega terbitan KRU Studio itu.

Kata Yusry, nama Ummi terpilih disebabkan parasnya melengkapi tuntutan zaman filem berkenaan. Ciri Melayu asli dikatakan ada pada raut wajah Ummi Nazeera.

"Hikayat Merong Mahawangsa adalah filem epik pertama lakonan saya. Itulah kali pertama saya masuk ke set penggambaran yang dibina semula," kata Ummi yang bakal muncul sebagai kekasih dan isteri Merong Mahawangsa dalam filem berkenaan.

Bekerja dengan Yusry disifatkan Ummi sebagai satu pengalaman menyeronokkan walaupun lelaki itu tegas sepanjang di lokasi.

Menterjemah siapa Embuk, kata Ummi, watak itu sedikit sebanyak ada kena mengena dengan dirinya.

"Embuk seorang wanita yang lemah-lembut, dia yatim piatu tapi dalam masa yang sama seorang yang keras kepala.

"Dia suka menidakkan perasaannya dan pada awal cerita, Embuk tidak menyenangi kehadiran Merong Mahawangsa ke daerahnya," jelas wanita berusia 20 tahun itu memperkenalkan karakter lakonannya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: