NAMA Faizal Ismail dan Fara Fauzana sudah sinonim dengan ‘panggilan hangit’ iaitu segmen pagi kendalian mereka yang tidak jemu diikuti oleh pendengar stesen radio panas di negara ini, HotFM.Mungkin ada pendengar sudah terkena dengan ‘permainan’ mereka, namun ramai juga tidak mengetahui dengan adanya segmen Panggilan Hangit, Faizal Ismail atau FBI dan Fara yang kadang-kadang dipanggil Fafau bukan saja dikenali bahkan turut menjadi nadi penggerak kepada HotFM sehingga bertapak dengan kukuh dalam bidang penyiaran radio walaupun baru lima tahun ditubuhkan.
Namun, dengan kerjasama dan gandingan penyampai yang ada, membuatkan HotFM menjadi semakin teguh bertapak bahkan menerima jolokan stesen radio terhangat dan dekat di hati pendengar.
Bagi Faizal, perubahan ketara dapat dilihat apabila dihujani panggilan setiap hari selain sokongan pendengar terhadap stesen radio itu membuatkan namanya kian menyerlah.
“Dulu orang tak kenal siapa itu Faizal Ismail tetapi sekarang, kalau keluar rumah atau di tempat awam orang lebih mengenali saya dengan nama Faizal panggilan hangit atau FBI. Tak dinafikan agak sukar untuk membuatkan orang mengenali kami tambahan pula HotFM ketika itu baru bermula, tetapi menerusi program dan segmen yang dibuat serta diperbaiki mutunya, mampu menarik minat pendengar,” katanya.
Kini, Faizal turut dikenali sebagai pengacara Muzik-Muzik serta program bual bicara terbarunya Apa Saja...FBI.
Kian menyerlah dan meningkat, itu yang dapat digambarkan di wajah lelaki berusia 35 tahun ini, yang juga bapa kepada Nurkhairina Iman berusia lapan tahun, namun bagi Faizal, pendengar dan peminat juga memainkan peranan sehingga mampu meletakkan namanya ke tahap sekarang.
Nama Faizal itu sendiri sekali lagi berada dalam senarai pencalonan akhir Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010 kali ke lima bagi kategori Penyampai Radio Lelaki Popular.
“Syukur Alhamdulilah nama saya masih tersenarai dalam peringkat akhir. Ini semua berkat daripada undian dan sokongan peminat. Kalau menang lagi, Alhamdulilah tetapi kalau kalah, itu rezeki untuk orang lain. Lagipun calon lain pun hebat belaka termasuk saingan daripada rakan sekerja (Kieran),” katanya.
Apapun bagi Faizal, kemenangan yang dimenanginya sebelum ini sudah mampu menyuntik semangatnya untuk terus memperbaiki mutu kerja dan memberi yang terbaik kepada peminat dan pendengar HotFM.
Bagi Fara, pencalonannya dalam senarai akhir ABPBH 2010 bagi kategori Penyampai Radio Wanita Popular dan Pengacara TV Wanita Popular meletakkan namanya pada satu tahap yang amat membanggakan dirinya.
Malah, dia tidak menyangka sokongan peminat dan pendengar HotFM yang memberikan kepercayaan kepadanya mampu meletakkan dirinya sebaris dengan selebriti dalam bidang lain.
“Kalau tak ada HotFM, orang tak kenal siapa itu Fara Fauzana. Tapi sekarang orang mudah mengenali saya dengan panggilan Fafau dan syukur Alhamdulilah saban tahun sokongan daripada peminat kian bertambah.
“Memang banyak perubahan yang berlaku dalam HotFM terutama sokongan daripada pendengar, malah boleh dikatakan setiap hari dihujani panggilan dan melayan bermacam-macam kerenah pendengar,” katanya.
Wanita berusia 31 tahun ini kian dikenali dengan celoteh dan gelagatnya di konti meskipun sibuk dengan rutin harian, Fara juga sibuk mengacara program Melodi selama enam tahun.
Berundur kerana masalah peribadi?
SELEPAS enam tahun mengendalikan program hiburan sensasi, Melodi, Fara akhirnya mengambil keputusan untuk mengundur diri dengan alasan sudah lama dan ingin memberi laluan kepada pengacara baru.
Bukan kerana menerima tawaran yang lebih menarik atau ditamatkan kontrak, sebaliknya, Fara menegaskan, pengundurannya daripada program yang paling diminati penonton di hujung minggu itu adalah sebab peribadi dan tiada kaitan dengan agenda lain.
“Niat untuk berhenti daripada Melodi sudah lama, sejak tahun lalu lagi tetapi masa tak sesuai. Sekarang saya nekad dengan keputusan sendiri bukan ada paksaan daripada sesiapa mahupun ditamatkan kontrak seperti yang didakwa.
“Bukan juga disebabkan masalah gaji atau mendapat tawaran daripada program lain tetapi ini adalah keputusan saya sendiri. Sebelum saya diberhentikan lebih baik saya memberhentikan diri saya sendiri,” katanya sambil berseloroh.
Apapun keputusan yang dibuat dan diperkatakan, namun Fara masih menyimpan sesuatu yang enggan diluahkannya dan tidak mahu mengulas lanjut tentang pengundurannya itu.
Baginya, keputusan yang dibuat itu adalah berdasarkan keputusannya sendiri dan memerlukan ruang baginya untuk meluangkan masa bersama keluarga di hari minggu.
“Saya tak mahu bercakap lebih lanjut berhubung perkara ini dan kita tunggu sidang media yang akan dibuat oleh TV3 nanti. InsyaAllah, saya akan mengacara rancangan ini sehingga 27 Mac depan dan selepas itu saya ada masa di hari minggu untuk bersama keluarga serta menghadiri kenduri kahwin,” katanya sambil tersenyum.
Seperti ada yang hendak diperkatakan, namun keputusan yang dibuatnya itu menunjukkan Fara sudah bertekad dengan pengundurannya itu.
Bagi Fara, siapapun penggantinya nanti rancangan Melodi tetap menjadi pilihan penonton di hujung minggu, malah Fara tidak berasa terkilan meninggalkan program yang sinonim dengan dirinya itu.
“Saya yakin, pengganti saya nanti akan turut tercalon dalam ABPBH, kerana program ini sudah menjadi pilihan peminat dan nama saya tercalon pun sebab Melodi. Saya tak menyesal kalau tidak dicalonkan lagi dalam kategori sama tahun depan. Mungkin saya akan dicalonkan bagi kategori lain pula mana tahu.
“Kalau kita sudah lama sangat mengendalikan sesuatu program itu, lama-lama peminat muak juga tengok muka kita, jadi lebih baik bagi peluang kepada orang lain pula yang mungkin lebih hebat dari saya,” katanya.
Bagi Fara, faktor bayaran bukanlah penyebab pengundurannya itu, malah turut menolak dakwaan yang mengatakan beliau menerima bayaran yang cukup lumayan di HotFM sehingga mengambil keputusan demikian.
Menurutnya dakwaan mengatakan dia menerima bayaran RM30,000 sebulan sebagai tidak berasas tetapi tidak menafikan boleh mendapat jumlah sebanyak itu kalau berpindah ke stesen radio lain.
“Saya dapat tak sampai jumlah itu, kalau berpindah ke stesen radio ini mungkin terima sebanyak itu. Tapi sudah selesa di HotFM,” katanya.
Rebut peluang selagi terdaya
FAIZAL pula baru mengendalikan program bual bicara terbarunya Apa Saja...FBI yang dianggap lama diidamkan.
“Memang berbeza menjadi hos dan penyampai radio sebab hos kena jaga penampilan diri dan cara persembahan tetapi radio kena jaga mutu penyampaian supaya diminati pendengar serta percakapan supaya pendengar tak rasa meluat dengan cara kita.
“Sudah lama nak program sendiri dan kini baru dapat, lagipun saya memang gemar menonton program bual bicara,” katanya.
Malah, Faizal tidak menafikan ramai penyampai radio yang sudah mula berjinak-jinak dengan program TV.
Namun, dengan adanya program sedemikian sedikit-sebanyak memberikan gambaran pencapaian dirinya yang dianggap bertambah baik.
Bagi Faizal, pemilihan penyampai radio sebagai pengacara TV menunjukkan peredaran zaman yang mana tugas itu dilihat sebagai seiringan. “Pemilihan penyampai radio adalah satu tren baru sebab mereka sudah ada karisma tersendiri dan tak perlu untuk mengasah bakat mereka disamping mengurangkan masa mengambil penyampai baru yang berbakat dan boleh mengacara dengan baik.
“Bagi orang yang tak biasa buat program TV mungkin agak kekok dan susah tetapi bagi saya, sudah biasa sebab mempunyai pengalaman mengendalikan Muzik-Muzik lebih empat tahun,” katanya.
Malah, Faizal tidak pernah menganggap dirinya sebagai syok sendiri tetapi apa yang dilakukan adalah untuk menguji bakat yang ada dan mencuba pembaharuan serta kelainan pada dirinya.
Bukan saja dianggap sebagai penyampai radio, malah berharap peminat dapat menerima perubahan yang dibuat bukan untuk menunjuk-nunjuk tetapi untuk lebih dikenali sebagai selebriti yang serba boleh.
Info:
NAMA PENUH: Fara Fauzana Mohd Fadzil
TARIKH LAHIR: 7 Februari 1980
KELUARGA: Kedua daripada tiga beradik
ASAL: Petaling Jaya, Selangor
KERJAYA:Penyampai radio HotFM dan pengacara Melodi (TV3).
FILEM: SH3 The Movie, Gila Gila Bola, Jin Notti, Kecoh Betul dan Andartu Terlampau... 21 Hari Mencari Suami
DRAMA: Hanya Segeluk Air, Mangkuk Tingkat, Fatamorgana, Kisah Benar, Nur, sitkom Fara, Gadis Cuci dan Gadis Cuci The Series
PENCAPAIAN: Pengacara TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2005 sehingga 2008 dan Penyampai Radio Wanita Popular ABPBH 2007, 2008 dan 2009.
NAMA PENUH: Faizal Ismail
KELUARGA: Anak kedua daripada enam orang adik beradik
ASAL: Seberang Jaya, Pulau Pinang
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Penyiaran), UiTM
STATUS: Berkahwin
ISTERI: Norazlina Ahmad Din
ANAK: Nurkhairina Iman, 8 Tahun
KERJAYA: Penyampai radio HotFM dan pengacara Muzik-Muzik dan Apa Saja...FBI
PENCAPAIAN: Penyampai Radio Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) tiga tahun berturut-turut (2007, 2008 dan 2009).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: