Monday, January 3, 2011

Konsert Ambang 2011 AmBank sungguh meriah


TAN SRI AZMAN HASHIM tidak ketinggalan mendendangkan beberapa lagu termasuk lagu popular filem Bollywood, Kuch Kuch Hota Hai.


MERIAH dan di luar dugaan apabila Konsert Ambang 2011 Kuala Lumpur sempena sambutan Tahun Baru di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, Sabtu lepas dibanjiri kira-kira 10,000 penonton.

Kebanjiran orang ramai ke konsert yang dianjurkan oleh Kumpulan AmBank edisi keenam itu tidak menghairankan memandangkan senarai artis popular yang membuat persembahan pada malam itu.

Mereka terdiri daripada legenda rock, Amy Search, sifu dunia muzik tempatan M. Nasir, Datuk David Arumugam daripada Alleycats, Ramlah Ram, pemenang Malaysian Idol musim kedua Daniel Lee, juara Bintang RTM 2009, Ernie, serta bintang-bintang urban tanah air Mizz Nina dan Pop Shuvit telah berjaya menghidupkan kemeriahan konsert tersebut.

Bukan sekadar nyanyian para artis, konsert tersebut dimeriahkan lagi dengan persembahan tarian 1Malaysia dan tarian kebudayaan Melayu daripada Artis Budaya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), tarian Cina oleh kumpulan CN Dancez dan tarian India daripada Vahaara Arts.


SAMBUTAN hangat peminat khusus buat Amy Search.


Bagi memastikan kemeriahan konsert yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara menerusi TV2 dari pukul 10.15 malam sehingga pukul 1.15 pagi itu sempurna, turut ditampilkan kumpulan Bhangra Gold Kartz dan kumpulan The Singing Shop.

Pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim berkata: "Tujuan utama konsert Ambang 2011 Kuala Lumpur adalah untuk menggalakkan hubungan yang lebih erat dan semangat muhibah rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama."


EMOSI yang mendalam daripada sifu M. Nasir.


Azman turut menyatakan, penganjuran konsert tersebut adalah usaha tanggungjawab sosial korporat AmBank.

Selain persembahan nyanyian dan tarian, suasana dimeriahkan dengan acara kemuncak pertunjukan bunga api menjelang pukul 12 tengah malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: