![]() |
| SEBAHAGIAN pelajar UTeM tertarik pada bahan pameran mengenai tabiat merokok sempena penganjuran Minggu Tanpa Tembakau di PPP, Durian Tunggal, Melaka. |
MELAKA 5 Okt. - Selaras dengan saranan kerajaan menghapuskan tabiat merokok dalam kalangan masyarakat dan kenaikan harga rokok baru-baru ini, sekumpulan pelajar serta kakitangan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menganjurkan Minggu Tanpa Tembakau sepanjang minggu ini.
Program yang bermula kelmarin itu dianjurkan bersama Kelab Pembimbing Rakan Sebaya (PRS), Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Unit Kaunseling Pelajar dan Klinik Pelajar dan Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UTeM.
Penyelaras program, Musliha Yusoff berkata, program yang akan berakhir Jumaat ini berlangsung di Pusat Persatuan Pelajar (PPP) kampus induk Durian Tunggal, dekat sini.
Menurutnya, objektif program itu bertujuan memberi kesedaran dan pengetahuan kepada seluruh warga UTeM dan masyarakat mengenai kesan negatif amalan merokok.
"Kita menekankan aspek kemudaratan dan penyakit yang dialami oleh perokok sekiranya terus mengamalkan tabiat merokok dan pada masa yang sama, kita cuba mengetengahkan usaha yang diambil oleh kerajaan dalam mencegah amalan ini," katanya di sini hari ini.
Kelmarin, kerajaan menaikkan harga sekotak rokok yang mengandungi 20 batang daripada RM9.30 kepada RM10.
Selain itu, menurut Musliha, pihaknya menggunakan tema 'UTeM Bebas Asap Rokok' bagi menjayakan program tersebut.
Kata beliau, pihaknya berharap melalui penganjuran program itu, ruang udara kampus UTeM yang sebelum ini dicemari oleh asap rokok akan berkurangan.
Ujarnya, antara aktiviti yang disediakan sepanjang program itu adalah pameran, ceramah dan seminar manakala perasmian program itu akan disempurnakan Dekan HEPA, Prof. Dr. Marizan Sulaiman.
"Kita berharap usaha menganjurkan program ini dapat mewujudkan kesedaran kepada pelajar dan masyarakat khususnya golongan perokok agar menghentikan tabiat merokok," katanya.
Beliau turut menasihatkan pelajar supaya tidak memulakan tabiat merokok bagi memastikan kesihatan yang berkekalan dan menghindari daripada pelbagai risiko penyakit.
Katanya, pelajar perlu mengamalkan gaya hidup sihat supaya menjadi masyarakat yang cergas antaranya mengambil makanan yang seimbang dan melakukan senaman.
Ini kerana, ujar beliau, tabiat merokok tidak mendatangkan sebarang faedah malahan ia menyebabkan pelbagai penyakit kronik.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: