Wednesday, October 6, 2010

IKM jadi pilihan generasi muda


Yusof Yacob (dua dari kanan) mengucapkan tahniah kepada Mohd. Hafiz Talib (dua dari kiri) sambil disaksikan ibu bapa pelajar itu di Kota Kinabalu, baru-baru ini.


KOTA KINABALU 5 Okt. - Kewujudan Institut Kemahiran Mara (IKM) di Kota Kinabalu pada Julai 2002 telah membuka lembaran baru kepada arus pendidikan di negeri ini.

Kewujudan institut kemahiran itu telah memberi peluang kepada generasi muda negeri ini menguasai bidang kemahiran seterusnya mencorak masa depan yang lebih baik.

Tidak hairanlah majlis konvokesyen kali keenam yang disambut baru-baru ini berlangsung dengan meriah, menyaksikan 172 pelajar menerima sijil masing-masing.

Sambutan yang menggalakkan daripada pelajar dan ibu bapa itu menunjukkan institut berkenaan terus mendapat tempat di kalangan masyarakat negeri ini.

Pelajar terbaik keseluruhan sesi Julai-Disember 2009, Mohd. Hafiz Talib, 21, berkata, keputusannya memasuki institut berkenaan amat tepat sekali.

Mohd. Hafiz yang mendapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK), 3.84 berkata, pilihannya ke institut berkenaan telah mencorak masa depan yang cerah kepadanya.

"Saya memilih IKM selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana amat meminati bidang kemahiran berbanding teori.

"Saya bersyukur kerana dengan usaha selama ini saya dapat mencapai keputusan yang cemerlang seterusnya dapat meneruskan lagi pembelajaran di peringkat yang lebih tinggi," katanya di sini baru-baru ini.

Mohd. Hafiz yang berasal dari Lawas, Sarawak berkata, selepas ini dia merancang menyambung pengajian dalam bidang seni bina di Kolej Yayasan Sabah.

Dalam pada itu, seorang lagi pelajar, Marirwan Redwan, 28, berkata, kewujudan IKM telah memberi banyak pilihan kepadanya untuk membentuk kerjayanya.

"Saya tidak menyesal apabila nekad berhenti kerja dan memasuki IKM kerana banyak peluang ada di sini.

"Selepas mengikuti kursus di sini saya boleh bekerja atau pun memulakan perniagaan sendiri malah, boleh menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi," katanya yang mendapat PNGK 3.67.

Menurutnya, pada masa ini dia telah mendapat tawaran menyambung pengajian peringkat diploma di sebuah institut pengajian tinggi tempatan.

Bagi Roslanah Assneh, 21, IKM telah memberi harapan baru kepadanya untuk meneruskan pembelajaran.

"Selepas SPM saya amat kecewa kerana tidak mendapat tawaran di institusi pengajian tinggi bagaimanapun ia terubat apabila saya mendapat peluang belajar di sini dan berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi selepas ini," katanya.

Sementara itu, Talib Jamaluddin, 65, berkata, kejayaan anak bongsunya, Mohd. Hafiz mendapat keputusan cemerlang amat membanggakan mereka sekeluarga.

Talib yang terharu dengan kejayaan anaknya itu berkata, dia sekeluarga sentiasa memberi dorongan kepada anaknya untuk belajar di IKM.

"Saya yakin dengan mengikuti latihan di sini akan memberi masa depan yang cerah kepada anak saya dengan pelbagai peluang pekerjaan yang ada dalam bidang kemahiran.

"Saya berterima kasih kepada kerajaan kerana menerima anak saya belajar di sini meskipun kami berasal dari Sarawak," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: