Wednesday, October 6, 2010

Karnival kerjaya tonjol kebolehan pelajar


Sebahagian daripada pelajar yang menyertai Karnival Kerjaya, Pendidikan dan Keusahawanan anjuran Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin di Dungun, kelmarin.


DUNGUN 5 Okt. - Karnival Kerjaya, Pendidikan dan Keusahawanan anjuran Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) yang berakhir hari ini merupakan sebahagian daripada usaha membimbing pelajar merancang kerjaya mereka.

Ketua Unit Kerjaya dan Latihan institusi berkenaan, Yusma Yusuff berkata, karnival tiga hari itu memberi pendedahan kepada mereka mempersiapkan diri untuk menentukan hala tuju kehidupan kelak.

"Sejajar dengan hasrat kerajaan dalam melahirkan graduan yang memenuhi permintaan pasaran, karnival ini membantu para pelajar untuk meningkatkan keyakinan diri bagi menghadapi cabaran merebut peluang pekerjaan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambahnya lagi, karnival yang berorientasikan praktikal dan teori iaitu kursus dan temu duga merupakan gabungan yang efisien dalam melahirkan graduan PSMZA yang berkebolehan dan diyakini majikan.

"Selain itu, turut mengisi ruangan karnival ini ialah program Dialog Alumni Keusahawan untuk mencungkil hasil kejayaan bekas para pelajar PSMZA yang telah mencipta nama dalam sektor keusahawanan," ujarnya.

Yusma berkata, empat kursus telah dianjurkan bagi menyerapkan ilmu keusahawanan kepada peserta termasuk Kursus Keterampilan Diri dan Solekan, Kursus Usahawan Siber dan Kursus Jahitan serta Fesyen.

Jelasnya, memandangkan 80 peratus pelajar PSMZA merupakan dari bidang kejuruteraan, Akademi Binaan Malaysia turut diundang bagi memberi taklimat berkaitan prospek kerjaya dalam bidang berkenaan.

"Ia juga bagi memastikan sasaran sifar pengangguran berjaya dicapai selaras dengan pelan transformasi Jabatan Pengurusan Politeknik, Kementerian Pengajian Tinggi," katanya.

Beliau berkata, bagi mendekatkan para pelajar dengan sektor industri beberapa syarikat korporat turut dijemput untuk menyampaikan ceramah dan program pra-temuduga.

Ini termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB), Proton Edar Sdn. Bhd., Universiti Sains dan Pengurusan (MSU) dan Pusat Pembangunan Kemahiran Terengganu (Tesdec).

"Karnival ini telah memberi peluang kepada peserta untuk menonjolkan kebolehan diri serta memasarkan pakej terbaik kepada bakal-bakal majikan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: