|
|
OKTOBER merupakan bulan yang penting dalam sukan golf di negara ini apabila Malaysia menjadi tuan rumah kepada tiga kejohanan bertaraf dunia.
Mungkin ramai yang tidak sedar kerana dari 14 hingga 17 Oktober akan berlangsung Terbuka Iskandar Johor (IJO) dalam siri Jelajah Asia yang menawarkan US$1.25 juta sebagai hadiah keseluruhan.
Pada 22 hingga 24 Oktober buat pertama kali nama-nama besar golf wanita dunia akan beraksi di Kelab Golf Kuala Lumpur (KLGCC) pada kejohanan Sime Darby LPGA Malaysia dengan hadiah keseluruhan US$1.8 juta.
Kemuncak kepada tumpuan komuniti golf dunia di Malaysia ialah kejohanan CIMB Asia Pacific Klasik Malaysia di bawah siri jelajah tersohor dunia Jelajah PGA pada 28 hingga 31 Oktober yang menawarkan hadiah US$6 juta.
Keseluruhan untuk bulan Oktober kejohanan golf di Malaysia menawarkan hadiah bernilai hampir US$10 juta yang bakal direbut oleh pemain tersohor dunia.
Dengan hadiah wang kemenangan sebanyak itu, sudah tentu nama-nama besar dalam dunia golf akan tertumpu di negara ini.
Bagi kejohanan IJO, tiga nama besar dalam Jelajah PGA dan Jelajah Eropah telah mengesahkan akan mengambil bahagian iaitu juara bertahan KJ Choi selain Ratief Goosen dan Padraig Harrington.
Malah IJO pastinya menjadi tumpuan jaguh-jaguh Asia seperti Thongchai Jaidee dan rakan-rakannya dari Thailand, jaguh Singapura dan Mardan Mamat.
Tetapi yang akan menjadi tumpuan tentunya Sime Darby LPGA Malaysia yang menjanjikan kehadiran pemain-pemain golf handalan wanita dunia.
Peminat golf di negara ini sudah pasti teruja untuk melihat secara langsung aksi pemain sensasi Michelle Wie dan pemain wanita nombor satu dunia Ai Miyazato. Nama-nama besar lain ialah Cristie Kerr, Jiyai Shin, Yani Tseng dan Suzann Pettersen. Ini semua merupakan nama-nama yang mewarnai sukan golf dunia.
Tetapi, kemuncaknya sudah tentu pada CIMB Asia Pasifik Klasik di Kelab Golf The Mines.
Dengan hadiah keseluruhan US$6 juta sudah cukup untuk menarik kehadiran jaguh golf dunia. Bintang yang telah mengesahkan penyertaan ialah jaguh Afrika Selatan Ernie Els.
Selain itu, peminat golf sudah tentu berpeluang melihat pukulan drive Bubba Watson pemilik pukulan drive paling jauh dalam Jelajah PGA.
Turut mengesahkan penyertaan ialah Jeff Overton, Tim Clark dan Adam Scott.
Watson, yang baru-baru ini berada pada ranking kelapan Tour, dan Overton (ranking keenam) juga adalah anggota pasukan Amerika Syarikat pada Piala Ryder 2010.
Pengesahan awal juga diterima daripada pemain nombor satu Jelajah Asia Noh Seung-Yul dari Korea Selatan.
Kejohanan PGA yang pertama di Asia Tenggara itu akan menyaksikan pemenang membawa pulang US$1 juta (RM3.4 juta).
Bagi pemain tempatan ini merupakan peluang untuk mereka bukan sahaja bagi merebut hadiah wang tunai yang lumayan, tetapi juga menimba pengalaman apabila beraksi bersama dengan pemain handalan dunia.
Beberapa pemain tempatan telah terpilih seperti dua remaja dari Sabah, Diana Tham dan Aretha Pan yang melayakkan diri menyertai kejohanan Sime Darby LPGA Malaysia.
Untuk kejohanan CIMB Asia Pasifik Klasik pula, Shaaban Husin menjadi wakil tunggal negara.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: