Tuesday, October 5, 2010

MAT’s Racing Team


Che Zamri Hamid (kiri) yang mencatatkan keputusan membanggakan pada penampilan kedua kelas Superbike pada pusingan ketiga Kejuaraan Malaysian Super Series.


SELEPAS keputusan membanggakan pada penampilan kedua kelas Superbike pada pusingan ketiga Kejuaraan Malaysian Super Series (MSS), bekas pelumba Cub Prix Malaysia, Che Zamri Hamid kini bersedia mencatat satu lagi kemenangan.

Sasaran podium adalah pada Pusingan 4 yang juga merupakan perlumbaan sokongan sempena Shell Advance Malaysian Motorcycle Grand Prix 2010 di Litar Antarabangsa Sepang, 10 Oktober ini.

Pelumba berpengalaman kelahiran Perlis Indra Kayangan yang agak lama menyepi di arena perlumbaan motosikal negara kini kembali menggegarkan litar kelas Superbike MSS 2010 bersama pasukan MAT’s Racing Team.

Ternyata bakat dan pengalamannya masih berbisa apabila berjaya menempatkan diri di atas podium pada kedua-dua perlumbaan kelas Superbike pada Pusingan 3 MSS di Litar Antarabangsa Sepang, baru-baru ini.

Kemunculan semula pelumba yang pernah beraksi di peringkat Asia ini juga mewakili penjenamaan produk palam pencucuh (spark plug) Mycomotive Auto Tecnology’s (MAT’s) yang bakal berada di pasaran seluruh negara.

“Walaupun sudah agak lama tidak berlumba tetapi berkat pengalaman, persediaan dan persiapan jentera sebelum hari perlumbaan nyata memberi keputusan positif pada penampilan kedua saya di MSS musim ini.

“Begitupun penampilan semula saya bersama pasukan baru yang dikenali MAT’s Racing Team mempunyai sasaran yang tinggi,''jelasnya yang bakal bergandingan dengan pelumba berpengalaman Indonesia, Ahmad Jayadi untuk sama-sama menggalas MAT’s Racing Team pada perlumbaan Pusingan 4 MSS itu nanti.

Menurutnya, pasukan mempunyai perancangan untuk pembabitan aktif dalam sukan pemotoran nasional dan pada masa yang sama membentuk penjenamaan produk palam pencucuh MAT’s untuk kegunaan motosikal dan kereta di negara ini.

Menurut Che Zamri penampilan semulanya pada baki Kejuaraan MSS tidak lebih sebagai salam pengenalan bersama MAT’s Racing Team kerana rancangan jangka panjang hanya akan bermula pada 2011.

“Penampilan MAT’s Racing Team pada baki saingan musim ini tidak lebih sebagai langkah permulaan kami untuk persediaan lebih rapi pada musim depan samada dalam kejuaraan MSS mahupun di beberapa kejuaraan motosikal dan kereta di negara ini.

“Sukan pemotoran nasional dan Asia akan menjadi medium kami membentuk penjenamaan serta mempromosi produk palam pencucuh selain beberapa produk alat ganti dan aksesori motosikal dan kereta jenama MAT’s di pasaran Malaysia,” jelasnya.

MAT’s Racing Team kini bersedia untuk melakar kemenangan podium MSS perlumbaan kelas Superbike sempena MotoGP di Sepang 10 Oktober ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: